Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir

SALAH satu tanda yang semakin jelas kelihatan pada zaman ini adalah munculnya bangunan pencakar langit (skyscaper) di seluruh dunia. Isyarat ini dinyatakan oleh Baginda Nabi SAW dalam beberapa hadis yang berkaitan dengan tanda kiamat. Nabi SAW bersabda maksudnya:  "Tidak akan berlakunya kiamat sehingga manusia berlumba-lumba meninggikan bangunan." (Hadis Riwayat al-Bukhari Al-Fitan, hadis  no.7121)

Keadaan seperti ini muncul tidak lama selepas kewafatan Baginda Nabi SAW apabila masyarakat Islam pada ketika itu mula bermegah-megah dengan mendirikan bagunan dan memperindahkan rumah mereka. Perkara ini berlaku apabila umat Islam dilimpahkan dengan harta yang banyak sehingga dapat menakluki negara luar dan mengembangkan kekuasaannya.

Situasi ini menjadi lebih parah apabila ramai antara mereka mula dijangkiti dengan penyakit umat sebelum ini iaitu berlumba-lumba mengumpulkan harta dan menggunakannya untuk perkara di luar dari pandangan syarak.

Penduduk luar bandar yang pada ketika itu dalam keadaan fakir dan miskin turut dihamparkan dengan kekayaan dunia sehingga mereka berlumba-lumba membina bangunan bertingkat dalam pelbagai bentuk yang berbeza. 

Perkara ini berlaku sebagai mana kata Baginda Nabi SAW kepada Malaikat Jibril ketika Jibril bertanya kepada Baginda mengenai waktu berlakunya kiamat. Maka sabda Baginda Nabi SAW yang bermaksud:  "Dan kamu akan melihat pengembala kambing yang bertelanjang kaki dan dada lagi miskin berlumba-lumba meninggikan bangunan." (Hadis Riwayat Muslim Al-Iman, hadis  no.8)

Dalam Riwayat lain, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Dan jika kamu melihat pengembala ternak yang berlumba-lumba meninggikan bangunan maka itulah di antara tanda hari kiamat." (Hadis Riwayat Muslim Al-Iman, hadis  no.9)

Al-Hafiz Ibnu Hajar menjelaskan maksud berlumba-lumba dalam meninggikan bangunan ialah apabila seorang mendirikan bangunan, maka akan ada mereka yang lain ingin membina bangunan yang lebih tinggi dari yang sebelumnya. Perkara ini akan berterusan sehingga saat terhenti apabila kiamat tiba. 

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya daripada tanda-tanda kiamat iaitu kamu akan melihat pengembala kambing menjadi pemimpin dan kamu akan melihat pengembala ternak yang telanjang kaki dan dada serta kelaparan akan berlumba-lumba dalam kemewahan bangunan dan orang gaji akan melahirkan tuannya." (Hadis Riwayat Syuib Ar-Nauut Al-Iman- Sunan Dar al-Qutniy 3639)

Semua hadis di atas menjelaskan satu bentuk perubahan kepada kondisi manusia yang dikenali dengan keadaan miskin, lemah dan tidak berkemampuan kemudian berubah menjadi hebat, kuat dan kaya dalam tempoh yang singkat.

Isyarat ini dapat disaksikan secara langsung dalam beberapa dekat ini dengan kawasan tanah Arab yang sinonim dengan padang pasir dan sumber minyak menjadi tempat terkenal dengan pembangunan dan kemodenan yang melangkaui negara membangun yang lain.

Bangunan moden yang mencapai ketinggian luar biasa dilihat dibina dan sedang dibina dalam tempoh 10 tahun terkini.

Berdasarkan takrifan, bangunan pencakar langit ini ialah sebuah bangunan yang mempunyai struktur meninggi yang mencapai ketinggian minimum 224 meter. Ketinggian minimum ini meletakkan banyak bangunan dunia menjadi salah sebuah bangunan pencakar langit yang terkenal. Pembinaan bangunan pencakar langit ini semakin mendapat perhatian negara seluruh dunia dengan perancangan dan pembinaan yang secara tidak langsung melonjak nama sesebuah negara tersebut.

Hari ini, negara Timur Tengah menjadi antara negara yang paling banyak membina bangunan pencakar langit selepas China dan Hong Kong. Dalam tempoh 10 tahun terkini sahaja bangunan hebat dibina di Dubai, Arab Saudi dan Kuwait. Burj Khalifa di Dubai masih memegang rekod bangunan tertinggi di dunia dengan ketinggian mencecah 828 meter dan 163 tingkat. Shanghai Tower dengan 632 meter diikuti dengan Makkah Royal Clock Tower 601 meter. 

Kedudukan bangunan ini dilihat tidak kekal lama apabila beberapa bangunan pencakar langit sedang dibina di serata dunia. Berdasarkan portal web skyscrapercenter.com, Jeddah Tower di Arab Saudi akan mengambil alih status bangunan tertinggi dunia dengan ketinggian 1,000 meter. Manakala, bangunan Merdeka PNB118 di Kuala Lumpur pula bakal menjadi antara bangunan tertinggi dunia yang baru dengan ketinggian 644 meter. 

Perlumbaan membina bangunan ini dilihat akan terus berlangsung apabila 100 rancangan pembinaan bangunan pencakar langit dimuat naik dalam portal terbabit. Perkara ini menunjukkan gambaran yang akan berlaku pada akhir zaman semakin jelas kelihatan. Penguasa akan berusaha menjadikan sesuatu kawasan itu terkenal melalui kemegahan bangunan yang dibina.

Dalam riwayat Imam Ahmad daripada Ibnu Abbas, dia bertanya: "Wahai Rasulullah, siapakah pengembala kambing dan berkaki telanjang, lapar dan miskin itu? Baginda menjawab, 'Orang-orang Arab.'" (Hadis Riwayat Ahmad Hadis no. 2926)

Berdasarkan hadis ini, jelas menunjukkan negara Arab akan terus mendominasi bangunan pencakar langit ini sehingga menjadikan kehidupan masyarakat mereka berbeza dari tahun ke tahun. Apabila bangunan hebat ini berdiri megah, maka kehidupan manusia akan sedikit sebanyak berubah ke arah keduniaan dan meminggirkan kehidupan akhirat. 

Kebanyakan bangunan pencakar langit ini dibina atas kapasiti sebagai pusat perniagaan dan perdagangan di samping hotel mewah yang tersergam indah. Dengan kapasiti terbabit, maka masyarakat dunia akan menjadikan tempat terbabit sebagai tumpuan bagi pelbagaian aktiviti yang memungkinkan akan ada unsur yang berjalan luar dari syariat Islam. 

Bagaimanapun, dengan terbinanya bangunan pencakar langit ini, maka terbitnya pemahaman yang lebih jelas mengenai kadar waktu solat dan waktu berbuka puasa pada aras dan tingkat berbeza. Perkara ini seterusnya membuka mata masyarakat mengenai kepentingan ilmu falak dan penentuan garis masa yang tepat mengenai waktu solat.

Oleh itu, pembinaan bangunan pencakar langit ini adalah satu situasi yang ditentukan Allah SWT sebagai petunjuk dan pedoman kepada manusia mengenai keadaan dunia yang semakin hampir kepada penghujungnya.

Bagaimanapun, kemunculan bangunan pencakar langit sebagai tanda kiamat ini tidak boleh disandarkan terus dengan bangunan sedia ada. Ini kerana tempoh pembinaan dan perancangan masih berlaku dan tiada garis masa akhir yang menentukan kecuali kiamat berlaku melalui tanda-tanda lain yang dikhabarkan Baginda Nabi SAW.

Penulis  Pensyarah Kanan,  Fakulti Pengajian Bahasa Utama,  Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2020 @ 5:59 AM