KEDATANGAN tahun baharu menjadi titik tolak kepada usaha memperingati hijrah Rasulullah SAW.
KEDATANGAN tahun baharu menjadi titik tolak kepada usaha memperingati hijrah Rasulullah SAW.
Mohd Shahrizal Nasir

APABILA tiba tahun baharu Islam, ia dikaitkan dengan peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah. Takwim Hijri yang diguna pakai pada hari ini adalah salah satu syiar Islam kerana penggunaannya berkait rapat dengan pelaksanaan ibadah. 

Umat Islam menunaikan ibadah puasa wajib tatkala tibanya Ramadan. Hari raya Aidilfitri disambut tanggal 1 Syawal, manakala hari raya Aidiladha pada 10 Zulhijah setiap tahun. Ibadah haji pula ditunaikan pada bulan-bulan haji bermula seawal bulan Syawal dengan kemuncaknya pada Zulhijah.

Jelaslah pelaksanaan ibadah khusus mahupun sunat dalam Islam melibatkan ketetapan tarikh dalam takwim Hijri. Berbalik kepada kaitan tahun baharu Hijri dengan peristiwa Hijrah Rasulullah perlu difahami bahawa perkaitan tersebut berlaku apabila tahun pertama dalam takwim Hijri dikira dengan dimulai tahun pertamanya merujuk kepada tahun berlakunya peristiwa hijrah. Dengan kata mudah, tahun pertama dalam takwim Hijri dikira dari tahun berlakunya peristiwa agung tersebut.

Walau bagaimanapun, bukanlah bermakna Rasulullah berhijrah dari Makkah dan sampai ke Madinah pada tanggal 1 Muharam. Kitab  Al-Rahiq al-Makhtum  karya  Sheikh Safiyyur Rahman al-Mubarakfuri  menyatakan peristiwa hijrah berlaku pada Rabiul Awwal. Justeru perkiraan tahun dalam takwim Hijri adalah mengikut peristiwa hijrah manakala bulan pertama pula adalah Muharam.

Usaha mewujudkan takwim Hijri dilakukan Saidina Umar al-Khattab. Beliau memilih Muharam sebagai bulan pertama dalam takwim Hijri. Sebenarnya semua 12 bulan dalam takwim Hijri  sediakala digunakan sejak sebelum kedatangan Islam. Ketika Rasulullah masih hidup, baginda menjelaskan mengenai sesetengah ibadah dalam Islam menggunakan bulan-bulan tersebut. Ibadah puasa contohnya dilakukan dalam Ramadan dan ibadah haji dilakukan dalam Zulhijah.

Firman Allah SWT bermaksud:  "Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi di antaranya empat bulan yang dihormati…"  (Surah at-Taubah, ayat 36)

Saidina Umar adalah orang yang dikenal pasti menggunakan semua dua belas bulan ini dalam menentukan taqwim Hijri kerana masyarakat Arab sebelumnya tidak mempunyai kiraan tahun yang sistematik.  Nama bulan hijrah yang digunakan sekarang sebenarnya diambil daripada nama bulan yang digunakan orang Arab sebelum kedatangan Islam lagi. Cumanya masyarakat Arab tidak mempunyai perkiraan tahun seperti mana bangsa Rumawi yang mempunyai kiraan tahun Masihi.

Kedatangan tahun baharu menjadi titik tolak kepada usaha memperingati hijrah Rasulullah. Namun, perkara ini tidak boleh hanya dijadikan satu rutin peringatan semata-mata. Sepatutnya banyak faedah yang boleh diambil oleh umat Islam apabila membicarakan peristiwa hijrah. Terdapat banyak ayat al-Quran yang menyatakan perihal kemenangan dan ganjaran daripada tindakan sahabat bersama Rasulullah yang berhijrah ke Madinah.

Firman Allah SWT bermaksud:  "Sesungguhnya orang yang beriman, dan orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."  (Surah al-Baqarah, ayat 218)

Selain menjadi golongan yang mengharapkan rahmat Allah, orang yang berhijrah juga mendapat keampunan dan kasih sayang daripada-Nya. Firman Allah SWT bermaksud:  "Kemudian, sesungguhnya Tuhanmu (memberikan pertolongan) kepada orang yang telah berhijrah sesudah mereka difitnahkan (oleh kaum musyrik), kemudian mereka berjihad serta bersabar; sesungguhnya Tuhanmu sesudah mereka menderita dan bersabar dalam perjuangan adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."  (Surah an-Nahl, ayat 110)

Golongan yang melakukan hijrah semata-mata kerana Allah juga akan mendapat ganjaran istimewa bukan sahaja di akhirat malah ketika di dunia lagi. Firman Allah SWT bermaksud:  "Dan orang yang berhijrah kerana Allah, sesudah mereka dianiaya (ditindas oleh musuh Islam), Kami akan menempatkan mereka di dunia ini pada tempatnya yang baik dan sesungguhnya pahala (amal mereka yang baik itu) lebih besar di akhirat kelak, kalaulah mereka mengetahui."  (Surah an-Nahl, ayat 41)

Keistimewaan golongan Muhajirin yang berhijrah atas perintah Allah dan Rasulullah dinyatakan dalam al-Quran. Mereka adalah kelompok awal umat Islam yang berusaha menjadikan diri mereka lebih baik daripada keadaan sebelumnya dengan menyahut seruan daripada Allah. Mereka meninggalkan kehidupan di tanah air sendiri demi untuk memastikan kelangsungan dakwah Islam berkembang lebih maju. Itulah pengorbanan golongan Muhajirin yang perlu diambil iktibar oleh seluruh umat Islam.

Antara iktibar yang boleh dipelajari ialah semangat juang yang tinggi dan tidak berputus asa untuk memastikan Islam menjadi agama yang diterima oleh manusia. Oleh itu, hijrah sering dikaitkan dengan jihad kerana golongan Muhajirin yang berhijrah adalah kelompok manusia yang optimis dengan kejayaan yang bakal dikecapi hasil daripada usaha mereka bersama Rasulullah SAW.

Sesiapa yang melakukan kebaikan kerana Allah SWT dan Rasul-Nya, maka perbuatan tersebut diiktiraf sepertimana yang diniatkan. Sabda Rasulullah bermaksud:  "Maka sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya."  (Muttafaq alaih). Perkara inilah yang perlu menjadi ingatan setiap Muslim tatkala melakukan ibadah. Buatlah kebaikan hanya kepada Allah dan bukan untuk makhluk-Nya.

Selain itu, iktibar hijrah juga perlu disemat dalam diri apabila ia menuntut umat Islam meninggalkan perbuatan yang dilarang oleh Allah. Perkara inilah yang menyerlahkan keperluan agar sunah hijrah masih kekal relevan untuk diaplikasi dalam kehidupan. Tidak ada seorang pun yang terselamat daripada sebarang bentuk dosa. Maka perbuatan meninggalkan perkara buruk dan memperbanyakkan amalan baik adalah satu usaha hijrah yang praktikal dalam diri.

Sabda Rasulullah bermaksud:  "Seorang Muslim ialah orang yang kaum Muslimin lainnya selamat daripada gangguan lisan dan tangannya. Dan seorang Muhajir (orang berhijrah) adalah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah."  (Muttafaq alaih)

Kesimpulannya, iktibar hijrah perlu terus disemat dalam diri bagi memastikan setiap hari yang berlalu kita kekal menjadi Muslim yang progresif. Orang Islam tidak boleh hanya berdiam diri membiarkan kehidupannya berlalu sebagai golongan yang cukup sekadar menjadi orang Islam. Orang Islam perlu berusaha melakukan jihad dalam diri sendiri agar tidak tergelincir melakukan perbuatan dosa. Hal ini termasuk urusan jihad dan ia tidak akan dapat dicapai sekiranya tidak ada niat yang baik.

Peringatan ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW menerusi sabdanya bermaksud:  "Tidak ada hijrah setelah pembukaan kota Mekah, akan tetapi (yang terus ada ialah) jihad dan niat."  (Muttafaq alaih)

Penulis Pensyarah  Pusat Pengajian Bahasa Arab,  Fakulti Bahasa Dan Komunikasi,  Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2020 @ 5:59 AM