Ustaz Hafiz Za’farani

USUL aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) adalah asas yang penting untuk mengetahui dan mengenali golongan yang selamat (firqah najiah) seperti hadis yang Nabi sabdakan bahawa umatnya akan terpecah kepada 73 golongan, semuanya ke neraka melainkan satu yang selamat.

Oleh itu, asas ini perlu diyakini dengan kemas dalam hati setiap Muslim agar terselamat daripada akidah yang menyimpang daripada ajaran Islam yang tulen. Antara usul akidah ASWJ ialah meyakini 6 rukun iman yang menjadi tunjang akidah umat Islam. Rukun berkenaan seperti yang sedia dimaklumi iaitu beriman kepada Allah, malaikat, kitab, rasul-rasul, hari kiamat serta qada dan qadar. Setiap satu daripadanya mempunyai perinciannya tersendiri.

Kita dituntut untuk beriman kepada Allah yang mempunyai segala sifat-sifat kesempurnaan-Nya dan ternafi segala sifat-sifat kekurangan ke atas Allah. Oleh itu, seluruh umat Islam sepakat tidak boleh menisbahkan sifat makhluk ke atas Allah kerana semua sifat makhluk ialah kekurangan seperti sifat berubah-ubah, berjisim, beranggota, bergerak diam, bertempat, dipengaruhi masa dan lain-lain. Demikian juga tidak boleh menisbahkan Allah itu duduk di Arasy atau turun ke langit dunia kerana bertempat dan bergerak itu jelas hanya sifat makhluk.

Oleh yang demikian ulama mentakwilkan makna zahir yang tidak layak dinisbahkan kepada Allah kepada makna yang layak dinisbahkan kepada-Nya. Hal ini sudah diakui ulama sejak beratus tahun lagi, bahkan para sahabat seperti Ibnu Abbas juga mengamalkan kaedah takwil.

Kedua beriman kepada malaikat. Sejak dari kecil semua orang sudah diajarkan malaikat adalah makhluk daripada cahaya yang tidak mempunyai hawa nafsu, tiada jantina dan semata-mata taat kepada perintah Allah. Tambahan lagi, kita wajib beriman kepada 10 malaikat utama yang disebutkan dalam nas iaitu Jibril, Mikail, Izrail, Mikail, Rakib, Atib, Munkar, Nakir, Malik dan Ridhuan berserta tugas-tugas mereka.

Ketiga wajib kita beriman kepada semua kitab yang diturunkan kepada rasul yang dipilih oleh-Nya iaitu Taurat diturunkan kepada Nabi Musa, Zabur diturunkan kepada Nabi Daud, Injil diturunkan kepada Nabi Isa dan al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad. Sesiapa yang menafikan satu daripada kitab suci ini maka ia akan menyebabkan kerosakan akidahnya kerana empat kitab ini sudah disebut dalam al-Quran.

Keempat pula adalah beriman kepada para rasul. Terdapat 25 Rasul yang wajib diimani iaitu bermula daripada Nabi Adam, Idris, Nuh, Hud, Salleh, Ibrahim, Luth, Ismail, Ishaq, Yaakub, Yusuf, Ayub, Zulkifli, Syuaib, Musa, Harun, Daud, Sulaiman, Ilyas, Ilyasa', Yunus, Zakaria, Yahya, Isa dan Muhammad.

Hal ini sudah disepakati dalam kalangan ulama ASWJ namun ada seorang tokoh yang cuba menentang arus dengan mengatakan rasul pertama ialah Nuh dan rasul yang terakhir ialah Muhammad. Maka secara tidak lansung dia telah menafikan dua rasul iaitu Nabi Adam dan Nabi Idris. Hal ini telah disebutkan oleh Syeikh Muhammad Bin Abdul Wahhab dalam kitabnya Al-Usul Al-Thalathah Al-Wajibah.

Hal ini jelas bercanggah dengan akidah ASWJ, bahkan para ulama seperti Imam Mulla Ali Al-Qari mengatakan sesiapa yang menafikan satu rasul maka ia akan menyebabkan kekufuran. Oleh itu, hendaklah kitab beriman ke atas 25 rasul tersebut.

Kelima, beriman kepada hari kiamat yang pasti berlaku dan segala tanda-tandanya. Tanda-tanda kiamat yang kecil kebanyakannya sudah berlaku, malah menurut sebahagian ulama semua tanda-tanda tersebut sudah berlaku. Dalam hadis Jibril, Nabi menerangkan dua tanda kiamat iaitu golongan yang miskin yang berlumba-lumba membina bangunan tinggi. Hal ini terbukti dengan adanya Menara Abraj Al-Bait setinggi 601m di Makkah dan Buruj Khalifa setinggi 828m di Dubai. Manakala terdapat menara yang dalam proses pembinaan seperti Kingdom Tower Jeddah setinggi 1001m dan Nakheel Tower setinggi 1400m di Dubai.

Tanda kedua yang Nabi khabarkan kepada kita ialah ibu yang melahirkan tuannya. Hal ini juga sudah berlaku iaitu anak yang derhaka kepada ibunya sehingga ibu dijadikan seperti taraf hamba yang mesti mengikuti segala kemahuan tuannya iaitu anak sendiri.

Selain itu, terdapat juga beberapa tanda-tanda besar kiamat yang mesti kita yakini kerana ia sudah dikhabarkan dalam banyak hadis seperti keluar dajjal, lahir Imam Mahdi, turunnya Nabi Isa, keluar Ya'juj Ma'juj, terbit matahari daripada barat dan banyak lagi. Pada masa yang sama kita wajib beriman kepada perkara yang akan berlaku di alam akhirat seperti dibangkitkan semula di padang mahsyar, dihisab, mizan, titian sirath, syurga, neraka dan ahli syurga dapat melihat Allah.

Hal ini adalah asas akidah Islam. Sesiapa yang menafikannya akan membawa akidah yang menyeleweng daripada kebenaran. Contohnya, muktazilah menafikan kejadian ahli syurga melihat Allah, hal ini jelas menyeleweng daripada kebenaran kerana perihal melihat Allah sudah dikhabarkan dalam Al-Quran dan hadis.

Rukun yang terakhir ialah beriman kepada qada dan qadar. Sebahagian ulama memberi pengertian qada ialah ketetapan Allah dan qadar ialah perlaksanaan qada' (ketentuan). Manakala sebahagian yang lain berpendapat berlawanan daripada definisi tersebut iaitu qadar ialah ketetapan dan qada ialah perlaksanaan.

Perbezaan dalam menentukan takrif tidak menyebabkan kerosakan akidah, hanya berbeza pada lafaz. Namun, meyakini qada dan qadar adalah kewajipan setiap orang Islam. Dalam isu ini, ada beberapa kontroversi yang muncul pada satu ketika dahulu yang melibatkan golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah, Qadariah dan Jabbariah.

Bagi golongan Jabbariah, setiap sesuatu yang terjadi hanya daripada qadar Allah semata-mata dan manusia tiada ikhtiar. Manakala bagi golongan Qadariah, semua yang berlaku daripada ikhtiar semata-mata dan qadar Allah tiada peranan dalam urusan ini.

Apabila muncul kecelaruan ini, maka Ahli Sunnah Wal Jamaah sudah menetapkan pendirian bahawa manusia mempunyai ikhtiar dan ikhtiar hanya akan terhasil jika selari dengan qadar Allah. Oleh itu, asas akidah ASWJ tidak menafi salah satu daripada kedua-dua perkara yang menjadi pertikaian itu. Inilah yang dimaksudkan dengan usul akidah ASWJ.

Penerangan yang singkat ini adalah sebagai gambaran kepada pembaca sahaja. Setiap satu daripada usul ini pula mempunyai perincian yang wajib diimani dan dipelajari oleh setiap Islam. Kita wajib mengetahui asas akidah Islam dan juga akidah yang terseleweng agar kita dapat menjaga keimanan kita yang menjadi syarat untuk memasuki Syurga. Semoga keterangan yang padat ini dapat mencetus keinginan dalam hati untuk mendalami akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Penulis adalah Setiausaha Muzakarah Hadis dan Syariat (Muhadis)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Julai 2020 @ 8:01 AM