Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
Mohamad Muhaimin Mohamad Zaki

ALHAMDULILLAH, kebanyakan masjid dan surau di negara ini dibuka kembali kepada masyarakat setelah dihadkan hanya kepada pegawai masjid ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu.

Lebih-lebih lagi bagi mereka yang merindui menjejakkan kaki ke masjid yang sebelum ini menjadi kelaziman buat diri dan keluarga untuk berjemaah, pastinya saat ini masa yang ditunggu-tunggu oleh mereka.

Terdapat pelbagai ganjaran yang besar bagi mereka sentiasa hidup dengan berpautkan hati mereka dengan rumah Allah SWT. Dalam al-Qur'an, Allah SWT mengkhabarkan bahawa mereka yang selalu hadir ke masjid adalah ciri-ciri orang beriman.

Firman Allah SWT dalam surah At-Taubah ayat ke-18 bermaksud: "Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi daripada golongan yang mendapat petunjuk."

Berdasarkan ayat ini, Sheikh al-Tantawi ketika menafsirkan ayat ini menjelaskan di dalam kitabnya orang yang mengimarah masjid adalah mukmin yang benar-benar beriman kepada Allah SWT dengan apa yang disuruh dan apa yang dilarang dengan petunjuk daripada Baginda SAW dengan hati yang penuh dengan keikhlasan.

Malah, Rasulullah SAW sendiri menceritakan khabar gembira kepada pencinta rumah Allah SWT dalam sebuah hadis riwayat Muslim yang bermaksud: "Sesiapa yang pergi ke masjid atau pulang, Allah akan sediakan baginya tempat dalam syurga seperti mana pergi dan pulang."

Selain itu, institusi masjid adalah antara institusi yang penting dalam membangunkan masyarakat madani. Peranan masjid termasuklah sebagai agen untuk menyatukan masyarakat dan membantu menyelesaikan urusan mereka bukan saja terhad kepada ibadah khusus semata-mata, namun juga pelbagai aspek yang lain seperti ekonomi dan sosial.

Impaknya masjid yang benar-benar berfungsi akan mewujudkan pelbagai faedah dan manfaat kepada masyarakat di sekitarnya seperti dalam aspek pembentukan kerohanian, keilmuan, ekonomi dan juga sebagai pusat rujukan dan khidmat kepada masyarakat. Bahkan fungsinya boleh dikembangkan sehingga kepada pengislahan komuniti, ekonomi dan sosial.

Memetik ucapan Setiausaha Politik Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Wan Mohamad Datuk Sheikh Abdul Aziz sempena Multaqa Imam-Imam Seluruh Negara beberapa tahun lalu mengenai pengimarahan masjid, "Institusi masjid satu-satunya institusi sosial umat Islam yang menjadi benteng terakhir untuk perpaduan umat Islam kerana ia bebas daripada pengaruh politik kepartian dan masjid menjadi milik semua umat Islam tanpa mengira latar belakang."

Berdasarkan catatan sirah, institusi masjid juga digunakan sebagai tempat untuk latihan jihad dan merawat Mujahidin sebagaimana yang terdapat dalam Sahih al-Bukhari. Selain daripada fungsi di atas, masjid juga berperanan sebagai pusat pengajian dan dakwah Islam, tempat kaum Muslimin bermesyuarat dan berbincang mengenai agama mereka baik tentang politik, ekonomi, pendidikan, jihad dan sebagainya yang memberikan manfaat buat ummah.

Malah, masjid juga adalah pusat bantuan kepada mereka yang memerlukan (fakir dan miskin), tempat perlindungan, tempat tidur dan istirahat musafir dan ibnu sabil, tempat mempererat ukhuwah sesama Muslim dan tempat manusia mencari pahala dan keredaan di sisi Allah SWT.

Justeru, masjid harus dikembangkan fungsinya agar tidak terhad sebagai tempat untuk menunaikan solat semata-mata. Mengambil ibrah ketika pandemik Covid-19 yang lalu, kebanyakan masjid dijadikan sebagai pusat sehenti bagi pemberian sumbangan malah pihak jawatankuasa masjid mengambil insiatif mengeluarkan sumbangan daripada dana simpanan masjid bagi membantu golongan yang memerlukan di kariah masing-masing.

Penulis adalah penuntut Universiti Sains Malaysia (USM)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2020 @ 9:53 AM