DI dalam Islam kita digalakkan terbabit aktiviti tolong menolong termasuk menderma darah atas kebaikan untuk semua.
DI dalam Islam kita digalakkan terbabit aktiviti tolong menolong termasuk menderma darah atas kebaikan untuk semua.

HUKUM menderma darah ialah diharuskan, bahkan sunat dan digalakkan di dalam Islam kerana ia adalah aktiviti tolong menolong atas kebaikan.  Ini selaras dengan firman Allah SWT maksudnya: "Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa."  (Surah al-Ma'idah, ayat  2)

Namun begitu, hukum memasuki rumah ibadat orang bukan Islam diperselisihkan hukumnya. 

Secara ringkas, pendapat yang muktamad di dalam mazhab Syafie bahawa hukum memasuki rumah ibadat orang bukan Islam adalah haram sekiranya dimasuki tanpa izin atau rumah ibadat itu mempunyai patung atau gambar yang diagungkan, atau aktiviti memasuki premis itu meninggikan syiar agama mereka. Sebahagian ulama mengharuskan sekalipun dengan wujud patung dan gambar dengan syarat tidak mengagungkan syiar mereka atau masuk tanpa izin.  

Rujuk  Qowa'id al-Ahkam  (2/132) oleh Imam Izzuddin bin Abdissalam;  Tuhfah al-Muhtaj  (9/295) oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami;  al-Mawahib al-Madaniyyah  (2/398-399) oleh Syeikh Muhammad bin Sulaiman al-Kurdi.

Ini bersesuaian dengan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abi Talhah RA, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:  "Sesungguhnya Malaikat tidak akan masuk rumah yang di dalamnya mempunyai anjing dan gambar patung." (Riwayat al-Bukhari  dan Muslim)

Berdasarkan keterangan dan fakta di atas, kami cenderung kepada pendapat bahawa  diharuskan kepada orang Islam untuk menderma darah di rumah ibadat orang bukan Islam atas alasan keperluan dengan syarat ia dilakukan dengan izin serta tidak melakukan apa-apa amalan yang menjadi syiar kepada agama mereka. Begitu juga hendaklah aktiviti menderma darah itu tidak bertujuan mempromosikan agama mereka kerana membantu kekufuran adalah suatu kekufuran jua. Sebaiknya seseorang Muslim menderma darah di tempat-tempat yang jauh daripada tohmahan orang.

Sumber Al Kafi li al Fatawi Mufti Wilayah Persekutuan

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Jun 2020 @ 6:55 AM