GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Ustaz Hafiz Za’farani

ILMU akidah adalah ilmu paling utama berbanding ilmu lain kerana menjadi asas pegangan dan kepercayaan muslim.

Setiap nabi yang diutuskan kepada setiap kaum, akan mengajarkan akidah yang sama namun berbeza syariat mengikut zaman dan kaum yang diutuskan.

Seperti mana yang telah dimaklumi bahawa awal perkembangan ilmu akidah adalah pada zaman Rasulullah.

Lebih tepatnya ialah setelah Rasulullah diperintahkan untuk memulakan dakwah di Makkah.

Oleh itu, ilmu akidah adalah ilmu yang pertama diajar Nabi kepada umatnya. Bahkan banyak isu akidah muncul pada zaman Rasulullah SAW yang menjadi panduan kepada kita sekarang.

Sebelum kita memperincikan satu persatu, marilah kita melihat fasa perkembangan ilmu akidah.

Fasa pertama ialah zaman Rasulullah SAW, diikuti zaman Khulafa' Ar-Rasyidin, zaman Bani Umaiyyah (ke-3), Bani Abasiyyah (ke-4), Kemunculan Fitnah (ke-5) dan zaman kejatuhan Dinasti Turki Uthmaniyyah (ke-6).

Kali ini, memadai untuk kita menelusuri perkembangan ilmu akidah pada zaman Rasulullah SAW terlebih dahulu.

Penerangan zaman berikutnya akan dibentangkan pada siri akan datang. Membincangkan perkembangan akidah tidak akan lepas daripada kisah permulaan dakwah Rasulullah SAW kerana para ulama mengatakan selama 13 tahun Rasulullah SAW berdakwah di Makkah banyak memfokuskan pembentukan akidah dalam diri para sahabat.

Misi dakwah bermula setelah Rasulullah diperintahkan untuk berdakwah melalui surah Al-Muddaththir ayat 1-7, maka pada peringkat pertama Rasulullah SAW menyampaikan dakwah secara sulit yang disampaikan kepada ahli keluarga terdekat dan sahabat-sahabat terdekat seperti Abu Bakar As-Siddiq.

Di tangan Abu Bakar, ramai yang memeluk Islam seperti Uthman bin Affan, Thalhah bin Ubaidillah, Zubair bin Awwam, Sa'ad bin Abi Waqqas, Abu Ubaidah Al-Jarrah, Abdurrahman bin 'Auf, Al-Arqam bin Abi Al-Arqam dan ramai lagi.

Kemudian, setelah itu dakwah Rasulullah berpusat di rumah sahabat Baginda Al-Arqam bin Abi Al-Arqam. 

Inilah pusat dakwah pertama Rasulullah yang terletak di Bukit Safa apabila dakwah Rasulullah mula tersebar di kalangan orang ramai daripada kalangan orang miskin dan hamba. Kemudian Rasulullah diperintahkan untuk menyebarkan dakwah secara terang-terangan. Bertitik tolak daripada sini, Rasulullah menghadapi cabaran dan dugaan dalam usaha menyampaikan dakwah Baginda. 

Tidak terlepas juga sahabat-sahabat Rasulullah diseksa supaya meninggalkan agama Islam seperti keluarga Ammar bin Yasir yang diseksa bersama bapa dan ibunya Sumayyah. Antara isu akidah yang muncul ketika ini ialah melafazkan kata-kata kufur apabila dipaksa oleh orang kafir.

Hal ini timbul ketika Ammar bin Yasir diseksa oleh orang-orang kafir yang telah membunuh bapa dan ibunya. Kemudian orang musyrik itu memaksa Ammar bin Yasir untuk memuja berhala sekiranya hendak dilepaskan.

Oleh kerana azab yang amat dahsyat dirasai oleh Ammar bin Yasir, maka beliau telah melafazkan kata-kata kufur tersebut, lalu beliau dilepaskan.

Setelah itu, Rasulullah menemui Ammar bin Yasir dalam keadaan menangis kerana menyesali perbuatannya itu, lalu Rasulullah membacakan ayat Al-Quran: "Kecuali orang yang dipaksa, sedang hatinya tetap teguh dalam keimanan" (An-Nahl, ayat  106).

Pada hayat Baginda, Rasulullah banyak menumpukan berkaitan isu tauhid kerana perjuangan utama ketika itu ialah mentauhidkan Allah daripada segala berhala. Hal ini menunjukkan hasil ketika peristiwa pembukaan Kota Makkah, 360 berhala yang berada di sekitar Kaabah diturunkan yang melambangkan perjuangan tauhid Rasulullah di Makkah berjaya.

Zaman hayat Rasulullah dikenali sebagai zaman penurunan wahyu, oleh itu apa-apa isu akidah akan disoal terus kepada Rasulullah. Maka Baginda akan menjawab melalui wahyu sama ada daripada al-Quran atau hadis. Sebagai contoh, beberapa orang musyrik meminta Rasulullah menjelaskan berkaitan Allah.

Setelah itu, turun wahyu kepada Rasulullah dan Baginda memberikan jawapan kepada mereka dengan membaca surah Al-Ikhlas dari awal hingga akhir.

Selain itu, pernah berlaku pada zaman Nabi, orang kafir mempersendakan orang Islam dengan mengajak orang Islam murtad dan berjanji akan menanggung dosa orang murtad itu.

Lalu dijawab oleh Rasulullah melalui al-Quran bahawa seseorang itu tidak menanggung dosa seseorang yang lain.


Penulis adalah Setiausaha Muzakarah dan Syariat (Muhadis)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2020 @ 10:03 PM