PETUGAS barisan hadapan bertungkus-lumus mengendalikan kes Covid-19. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
PETUGAS barisan hadapan bertungkus-lumus mengendalikan kes Covid-19. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Oleh Dr Ahmad Sanusi Azmi


SUDAH hampir dua bulan petugas barisan hadapan (frontliner) kita bertungkus-lumus tanpa mengenal penat dan lelah mengendalikan kes membabitkan Covid-19. Ada dalam  kalangan mereka yang tidak dapat berjumpa keluarga, tertidur kepenatan, bahkan ada yang turut dijangkiti virus dek kerana berusaha menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia.

  Kemuliaan menyelamatkan nyawa

Kemuliaan tugas mereka dipandang tinggi di sisi Islam. Dalam al-Quran, Allah SWT memberikan kepada kita bayangan bahawa tugas menyelamatkan nyawa seumpama menyelamatkan nyawa seluruh manusia. Firman Allah bermaksud: “dan barangsiapa yang menghidupkan (berusaha menyelamatkan) nyawa, maka seumpama dia telah menghidupkan nyawa seluruh manusia.”

Mengapa al-Quran memberikan perumpamaan sedemikian? Ini kerana sekiranya nyawa seorang lelaki diselamatkan, kita bukan sahaja menyelamatkan kehidupannya, bahkan kita memberikan kesejahteraan kepada seluruh keluarganya. Bayangkan andai seorang ayah gagal diselamatkan, kesukaran yang dihadapi keluarga berkenaan bukan sahaja kesedihan yang menimpa mereka, bahkan kehidupan mereka mungkin terjejas teruk.

Ketika menghuraikan ayat ini, al-Imam Ibn Kathir menjelaskan bahawa semua usaha menyelamatkan nyawa manusia dikira termasuk dalam maksud ayat ini. Beliau menukilkan kata al-Imam Mujahid yang menyebutkan: “(yang dimaksudkan ayat ini termasuklah) mereka yang menyelamatkan manusia dari tenggelam lemas atau dibakar atau apa-apa kebinasaan.”

Justeru, usaha menyelamatkan nyawa dalam situasi hari ini boleh dianggap sebagai usaha menyelamatkan kehidupan manusia seperti yang digambarkan dalam al-Quran.

 

Rasulullah memuji penyelamat nyawa

Ingatkah kita mengenai kisah seorang lelaki (dalam sebahagian riwayat mengatakan pelacur) yang memberi minum kepada anjing? Tindakan lelaki berkenaan menyelamatkan anjing terbabit daripada kebinasaan. Lalu Rasulullah memuji lelaki (atau pelacur berkenaan) dan berkata: “Maka Allah memujinya dan mengampunkan dosanya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Menurut al-Imam al-Qurtubi, apa yang dimaksudkan dengan Allah memujinya ialah Allah menzahirkan pujian-Nya di hadapan malaikat dan menjanjikan buatnya syurga. 

Dalam menghuraikan hadis ini, Menteri Agama Mesir (Wazir al-Auqaf) Dr Muhammad Mukhtar Jum’ah memberikan huraian yang menarik. Kata beliau: “Bayangkan andai sekiranya menyelamatkan nyawa binatang sahaja pun diampunkan dosa, dipuji Allah dan dianugerahkan syurga, apatah lagi pahala mereka yang menyelamatkan nyawa manusia.”

Malah, dalam sebuah hadis lain pula Rasulullah menjanjikan bahawa mereka yang memudahkan urusan orang lain maka Allah akan memudahkan urusannya di akhirat kelak.

Sabda Rasulullah: “Dan barangsiapa yang melapangkan urusan seorang Muslim dari kesusahan, maka Allah akan melapangkan kesusahannya di hari akhirat kelak.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Perhatikan di sini bagaimana tingginya darjat mereka yang berusaha menyelamatkan nyawa manusia. Allah memuji mereka di hadapan malaikat, dosa mereka diampunkan, urusan mereka dipermudahkan di hari akhirat dan mudah-mudahan Allah menganugerahkan kepada mereka syurga yang kekal abadi.

 

Ganjaran petugas keselamatan

Bukan petugas kesihatan sahaja yang mendapat ganjaran di sisi Allah, mereka yang berusaha menjaga keamanan turut menerima ganjaran yang tidak ternilai di sisi Allah. Ini termasuk tugas seperti polis, askar, anggota Rela serta semua yang terbabit dalam menjaga keselamatan negara.

Berhubung perkara ini, Rasulullah diriwayatkan pernah memuji seorang Muslim yang mengawal keselamatan rakyat dalam keadaan ummah ditimpa ketakutan. Sabda Rasulullah: “Hendakkah kamu aku tunjukkan satu malam yang lebih baik dari Lailatul Qadar? (Iaitu malam) seorang lelaki yang berkawal pada malam yang menakutkan dan berkemungkinan dia tidak mampu pulang ke pangkuan keluarganya.” (Hadis Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi) Perhatikan di sini bagaimana Rasulullah memuji mereka yang menjaga keselamatan tanah air dalam keadaan ummah dilanda kebimbangan dan ketakutan.

Malah, Rasulullah membayangkan kepada kita bahawa ganjaran yang diperoleh lebih besar dari malam Lailatul Qadar.

Jelas bahawa mereka yang berjaga malam, mengorbankan nyawa dan masa mereka untuk kesejahteraan ummah akan beroleh ganjaran yang tidak ternilai di sisi Allah. Mari kita doakan bersama supaya Allah mengurniakan kesejahteraan buat anggota keselamatan serta petugas kesihatan yang berkorban untuk memastikan kesejahteraan bumi ini.

 

Penulis adalah Timbalan Pengarah Institut Sains Islam, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2020 @ 7:00 AM