JEMAAH  merakam gambar kenangan di Masjid Bir Ali yang menjadi lokasi tumpuan bagi ibadah haji serta umrah.
JEMAAH merakam gambar kenangan di Masjid Bir Ali yang menjadi lokasi tumpuan bagi ibadah haji serta umrah.
Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

SESUNGGUHNYA Allah SWT mengurniakan kawasan di bumi Madinah dan Makkah kaya dengan keindahan yang unik dan penuh dengan detik sejarahnya.

Tidak cukup buat pengunjung menyusuri sejarahnya sekiranya sekadar melakukan musafir rohani untuk umrah itu secara touch and go semata-mata.

Penulis melihat setiap lokasi yang menjadi tempat lawatan memberi kesan positif dalam mempersiapkan diri sebagai jemaah umrah atau sebagai tempat kunjungan ziarah.

Setiap kali melewati lokasi bersejarah, pastinya hati penulis tersentuh mengingatkan kembali lokasi berkenaan pernah dilalui insan paling mulia iaitu Nabi Muhammad SAW.

Lokasi berkenaan menjadi catatan peristiwa tertentu dan menjadi tempat tarbiah sahabat Baginda SAW, sekali gus mempunyai nilai sejarah yang istimewa.

Penulis ingin membawa kisah sebuah lokasi yang sangat dekat di hati umat Islam. Kawasannya dikelilingi bukit berbatu gersang dan berpasir. Letaknya tidak jauh dari Kota Madinah sekitar 11 kilometer dan jika ke sana dengan menaiki bas hanya mengambil masa 15 minit.

Lokasi ini sebenarnya tidak pernah sunyi dikunjungi jemaah umrah mahupun haji kerana di sinilah miqat atau batas sempadan ibadah berkenaan.

Tempat dimaksudkan ialah Bir Ali. Ia satu kawasan di sebelah barat satu lembah yang dikenali sebagai Lembah Aqiq.

Penulis bersama ahli keluarga semasa menunaikan ibadah umrah hujung tahun lalu menjadi antara jemaah yang singgah untuk berniat ihram sebelum meneruskan perjalanan ke Makkah.

SETIAP jemaah mengambil peluang singgah di Masjid Bir Ali.
SETIAP jemaah mengambil peluang singgah di Masjid Bir Ali.

Sepanjang laluan dari Kota Madinah menuju Bir Ali kami disajikan dengan pemandangan bukit-bukau berbatu yang tentu amat berbeza dengan apa yang kita alami seandainya bermusafir melalui lebuh raya di tanah air.

Apapun, hati tetap tidak sabar untuk sampai ke Bir Ali lantaran rasa keterujaan yang tidak terkata untuk menunaikan umrah di Makkah.

Sebaik saja bas yang membawa kami sampai di pekarangan kawasan parkir kenderaan yang lapang, penulis dapati ramai jemaah berada di kawasan berkenaan.

Hal demikian menambahkan gerak langkah untuk segera berada di Masjid Bir Ali, sekali gus berihram dan melakukan solat sunat ihram di dalam masjid terbabit.

Bagi penulis, Bir Ali bukan sekadar tempat bermiqat umrah atau haji kerana ia mempunyai liku sejarah tersendiri dan menarik untuk dihayati.

Bir Ali yang tersergam sebuah masjid itu sebenarnya bermula sebagai tempat Rasulullah SAW berteduh dan memakai ihram sebelum menuju ke Makkah.

Di tapak inilah sekarang berdirinya sebuah masjid yang terkenal sebagai Masjid Bir Ali. Lalu timbul pula pertanyaan lain. Mengapakah diletakkan nama kawasan berkenaan terbabit sebagai Bir Ali?

Secara ringkasnya, Bir adalah kosa kata Bahasa Arab bermaksud sumur atau telaga. Dikatakan bahawa Saidina Ali bin Abi Talib antara yang paling aktif dan banyak menggali telaga
di kawasan berkenaan yang bertujuan memberi kemudahan kepada mereka yang bermiqat
di sini sebelum berangkat ke Makkah menunaikan umrah.

Lalu, masjid dan tempat berkenaan dikenali sebagai Bir Ali hingga kini. Persekitaran Masjid Bir Ali sungguh mempesonakan dengan landskap taman yang ditanam dengan pokok tamar. Landskap yang berbentuk taman itu menjadi simbol kepada keharmonian dan ketenteraman jiwa.

DERETAN pokok kurma menjadi penghias Masjid Bir Ali dan keadaan itu memberi kedamaian kepada jemaah.
DERETAN pokok kurma menjadi penghias Masjid Bir Ali dan keadaan itu memberi kedamaian kepada jemaah.

Tambahan pula semasa bersiap berpakaian ihram dan bersedia bertolak ke Makkah, hati jemaah diselubungi banyak kerisauan apakah cabaran seterusnya bakal ditempuhi semasa berada di Makkah khususnya semasa bertawaf dan bersaie. Taman di persekitaran Masjid Bir Ali seolah-olah menjadi penenang jiwa kepada setiap jemaah umrah termasuk penulis sendiri.

Bagi saya apabila berada di sisi masjid Bir Ali dan persekitarannya adalah seperti mempersembahkan diri menjadi antara umat Baginda SAW dalam mengikuti jejak perjalanan sunnahnya. Sukanya hati tidak terperi tatkala selesai berihram dan menunaikan solat ihram di dalam masjid Bir Ali.

Suasana jemaah yang masing-masing berpakaian ihram serba putih tidak berjahit itu mencetuskan rasa tawaduk yang murni, indah, harmoni dan menggembirakan.

Penulis adalah pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Muadzam Shah,

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Februari 2020 @ 7:01 AM