FOTO hiasan
FOTO hiasan
Dr Azlan Saiful Baharum

Al-Ukhuwah Al-Islamiyyah adalah satu konsep dalam Islam yang menyatakan bahawa setiap Muslim dengan Muslim lain adalah bersaudara.

Banyak ayat Al-Quran mahupun hadis Rasulullah SAW menjadi asas kepada konsep ini. Bahkan kerap kali kita mendengar kaitan di antara perkataan ‘ukhuwah’ dan ‘iman’ atau ‘Islam’.

Hal ini menunjukkan bahawa ukhuwah salah satu parameter utama keimanan dan keislaman seseorang. Ukhuwah salah satu daripada tiga unsur kekuatan yang menjadi ciri-ciri masyarakat Islam di zaman Rasulullah SAW iaitu pertama, kekuatan iman dan aqidah.

Kedua, kekuatan ukhuwah dan ikatan hati. Ketiga, kekuatan kepemimpinan dan senjata. Dengan tiga kekuatan ini, Rasulullah SAW membangunkan masyarakat ideal, memperluas Islam, mengangkat tinggi bendera tauhid dan meningkatkan bilangan umat Islam di muka bumi ini begitu pesat dan tempohnya kurang daripada setengah abad.

Catatan sejarah menceritakan kepada kita bahawa kaum Ansar sangat gembira menerima tetamu kaum Muhajirin hingga mereka berlumba-lumba menerima setiap sahabat Muhajirin yang sampai di Yathrib ketika itu (Madinah).

Mungkin kita berasa kagum dengan sikap unik sahabat Ansar ini yang kita sudah tentu tidak mampu dilakukan seperti mereka. Apakah yang mendorong mereka bersikap begitu?

Al-Quran sudah menjawab dengan menjelaskan rahsia yang mendorong sahabat golongan Ansar melakukan sesuatu yang luar biasa walaupun keadaan mereka yang sangat fakir dan sangat memerlukan bantuan.

Allah SWT berfirman memuji mereka: “Dan orang (Ansar) yang menetap di kota Madinah dan (beriman) sebelum kedatangan mereka (Muhajirin), mereka (Ansar) mencintai orang yang berhijrah kepada mereka (Muhajirin). Dan mereka (Ansar) tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (Muhajirin) dan mereka mengutamakan (Muhajirin), atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan.” Surah Al-Hasyr, ayat 9

Ukhuwah, cinta dan mengutamakan orang lain adalah syarat kebangkitan dan kemenangan, itulah strategi pertama dilakukan Rasulullah SAW dengan mempersaudarakan sahabat Ansar dan Muhajirin serta membangunkan masjid tempat membina persaudaraan dan kesatuan kaum Muslimin.

Ukhuwah tidak boleh dibeli dengan apa pun. Tapi ia diperoleh daripada penyatuan antara ikatan hati dan hati serta ciri istimewa daripada seorang Mukmin yang soleh.

Rasulullah SAW bersabda: “Mukmin satu sama lainnya bagaikan bangunan yang sebahagiannya mengukuhkan bahagian lainnya.” Hadis Riwayat Bukhari

Orang yang terikat dengan ukhuwah Islamiyah memiliki banyak keutamaan, antaranya, mereka merasakan kelazatan dan kemanisan iman. Sedangkan orang lain tidak merasakannya.

Rasulullah SAW bersabda: “Ada tiga golongan yang dapat berasakan manisnya iman: orang mencintai Allah dan Rasul-Nya lebih dari mencintai dirinya sendiri, mencintai seseorang kerana Allah dan ia benci kembali pada kekufuran sebagaimana ia benci jika ia dicampakkan ke dalam api neraka.” Hadis Riwayat Bukhari

Keduanya, mereka berada dalam naungan cinta Allah, di akhirat Allah SWT berfirman: “Di mana orang yang saling mencintai kerana-Ku, maka hari ini aku akan menaungi mereka dengan naungan yang tidak ada naungan kecuali naunganku.” Hadis Riwayat Muslim

Ketiganya, mereka adalah ahli syurga di akhirat kelak. Rasulullah SAW bersabda “Barangsiapa mengunjungi orang sakit atau mengunjungi saudaranya kerana Allah, maka malaikat berseru, ‘Berbahagialah kamu, berbahagialah dengan perjalananmu, dan kamu telah mendapatkan salah satu tempat di syurga.”’ Hadis Riwayat At-Tirmidzi

Seterusnya, bersaudara kerana Allah adalah amalan mulia dan mendekatkan diri kepada Allah. Rasulullah SAW pernah ditanya tentang darjat iman yang paling tinggi, baginda bersabda: “…Hendaklah kamu mencintai dan membenci kerana Allah…” Kemudian Rasul ditanya lagi, “Selain itu apa wahai Rasulullah?” Rasul menjawab, “Hendaklah kamu mencintai orang lain sebagaimana kamu mencintai dirimu sendiri dan hendaklah kamu membenci bagi orang lain sebagaimana kamu membenci bagi dirimu sendiri.” Hadis Riwayat Imam Al-Munziris

>>Penulis adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Februari 2020 @ 8:29 AM