FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Penulis adalah pendakwah

ALLAH SWT sentiasa sudi dengan kita. Dia menanti kita kembali kepada-Nya.

Bagai seorang ibu yang sentiasa menanti anaknya pulang walau sebesar mana rajuk dan marahnya, Allah SWT lebih hebat lagi menawarkan penerimaan buat hamba-Nya yang kembali bertaubat.

Allah SWT lebih sayangkan kita berbanding sayangnya ibu kepada kita. Dia yang menciptakan kita daripada tidak ada kepada ada.

Ibu kita mengandung dan melahirkan kita dengan pertolongan-Nya jua.

Ironinya, kita sering kali bertangguh untuk berbaik semula dengan-Nya dan menutup kes terhadap segala konflik yang ada.

Akibatnya, kita terasa hidup ini sempit, kosong, sedih, perit dan sukar.

Allah SWT mengingatkan orang yang berpaling dari ayat-ayat-Nya, “Aku akan membebaninya mendaki pendakian yang memayahkan,” (QS Al-Muddatstsir [74]: 17).

Kenapa memilih hidup yang sukar tatkala ada cara yang mudah iaitu hidup dekat dengan Allah SWT. Bertaubat tidak sukar.

Semudah mengungkap istighfar juga, kita boleh bertaubat dengan syarat kita menyesali dosa, membencinya dan berazam tidak akan mengulanginya lagi.

Andai terbuat lagi, bagai orang yang kembali demam setelah dulunya demam. Laluilah proses mengambil ubat yang sama.

Ubat hati adalah istighfar. Istighfar adalah memohon ampun kepada Allah SWT dengan kalimat, “Astaghfirullaahal’aziim.” Kalimah lain yang semakna dengan permohonan taubat juga dikira.

Banyak kelebihan istighfar yang disebut dalam al-Quran dan sunnah.

Berikut diringkaskan sebahagian kekuatan istighfar yang disebut dalam al-Quran dan hadis sahih:

1 Menjemput keampunan

“Sehingga aku berkata (kepada mereka): “Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun.” (Nuh 71:10)

2 Mendatangkan kekayaan

“(Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu; Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).” (Surah Nuh: 11-12)

3 Keluar dari kesempitan dan terbuka pintu rezeki

“Barangsiapa beristighfar secara rutin, pasti Allah SWT memberinya jalan keluar dalam kesempitan dan memberi rezeki yang tiada terhingga padanya.” (Hadis Riwayat Abu Daud).

4 Bertambah kekuatan di atas kekuatan yang sedia ada

“Wahai kaumku! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepada-Nya, supaya Ia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada; dan janganlah kamu membelakangkan seruanku dengan terus melakukan dosa!” (Surah Hud 11:52).

5 Mendapat kenikmatan hidup

“Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (dari perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat kepada-Nya; supaya Ia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu.” (Surah Hud 11:3)

6 Mendapat rahmat Allah SWT

“Alangkah baiknya kalau kamu memohon ampun kepada Allah SWT supaya kamu diberi rahmat.” (Surah al-Naml 27:46).

7 Diampunkan dosa saat penutup majlis

“Barangsiapa yang duduk dalam satu majlis (perkumpulan orang) lalu di dalamnya banyak perkataan sia-sia atau (perdebatan) kemudian sebelum ia bangkit dari majlis membaca (Istighfar): “Subhaanakallahumma wa bihamdika asyhadu allaa ilaaha illa anta astaghfiruka wa atuubu ilaih.”

“ Maksudnya, ‘Maha suci Engkau Ya Allah, dan aku memuji-Mu dan aku bersaksi bahawa tiada Allah melainkan Engkau, aku memohon ampun dan bertaubat kepada-Mu. Maka ia akan diampuni kesalahan-kesalahan yang diperbuatnya selama di majlis itu.”’

(Hadis Riwayat Tirmizi, Nasa’i, Ibnu Hibban, Abu Daud dan Al-Hakim).

8 Menghindari azab

“Dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar (meminta ampun).” (Surah Al-Anfaal 8:33).

Allah SWT mengkategorikan orang yang suka meminta keampunan Allah SWT sebagai orang yang bertakwa.

Allah SWT menjanjikan syurga kepadanya dan itulah impian kita semua.

Firman Allah SWT:

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang yang bertaqwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa Syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga pasangan-pasangan / isteri-isteri yang suci bersih, serta (beroleh pula) keredaan dari Allah”.

“Dan (ingatlah), Allah sentiasa melihat akan hamba-hamba-Nya; (iaitu) orang-orang yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah beriman, oleh itu, ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharalah kami dari azab neraka.”(Dan juga) orang-orang yang sabar (dalam menjunjung perintah Allah), dan orang-orang yang benar (perkataan dan hatinya) dan orang-orang yang sentiasa taat (akan perintah Allah), dan orang-orang yang membelanjakan hartanya (pada jalan Allah), dan orang-orang yang beristighfar (memohon ampun) pada waktu sahur. (Surah Ali Imran: 15-17)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 January 2020 @ 1:32 PM