MENJADI satu nikmat buat seorang hamba apabila dapat menitiskan air mata kerana takutkan Allah SWT
MENJADI satu nikmat buat seorang hamba apabila dapat menitiskan air mata kerana takutkan Allah SWT
Fadly Samsudin

RASULULLAH SAW bersabda bermaksud: “Dua mata yang tidak akan disentuh api neraka untuk selama-lamanya: mata yang menangis kerana takut kepada Allah dan mata yang bermalam dalam rangka berjaga di jalan Allah.” (Hadis Riwayat Tirmizi).

Menjadi satu nikmat buat seorang hamba apabila dapat menitiskan air mata kerana takutkan Allah SWT  serta mengenangkan dosa yang pernah dilakukan.

Dalam kalangan salafussoleh ada menyatakan, ‘menangislah kerana takutkan Allah SWT, jika tidak dapat menangis, maka perlu berusaha juga untuk menangis.’

Menangis itu sebenarnya fitrah buat manusia. Bukan ketika menghadapi situasi sedih atau takut sahaja manusia mudah mengalirkan air mata, adakalanya ketika gembira  juga mereka akan menangis.

Sepanjang usia kita ini, pernahkah kita menangis kerana mengenangkan dosa serta berasa takut kepada Allah SWT?

Seandainya tidak pernah atau kita terlalu sukar untuk menangis, itu menandakan hati kita terlalu kotor dan keras.

Tangisan paling istimewa seorang hamba adalah datangnya daripada hati yang benar-benar mengagungkan Allah SWT.

Allah SWT memuji hamba-Nya yang suka menangis kerana takut kepadanya menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan sebelumnya apabila al-Quran dibacakan kepada mereka, mereka menyungkur atas muka mereka sambil bersujud dan mereka berkata: ‘Maha Suci Tuhan kami, sesungguhnya janji Tuhan kami pasti dipenuhi. Dan mereka menyungkur atas muka mereka sambil menangis dan mereka bertambah khusyuk.” (Surah Al-Isra’, ayat 107-109)

Ternyata air mata yang tumpah  itu bukan perkara sia-sia. Kita perlu mendidik diri kita supaya menangis kerana mengingati Allah SWT.

Ketika umat manusia dikumpulkan di Padang Mahsyar kelak, semuanya berada dalam keadaan gusar dan terlalu takut menanti saat amalan mereka diperlihatkan serta dihitung.

Jika kita sentiasa memikirkan hal sedemikian pastinya akan melahirkan rasa gerun di hati.

Ia juga mampu membuatkan kita menangis lalu memohon kepada Allah SWT supaya melepaskan kita daripada segala azab seksaan itu.

Sahabat Nabi SAW juga sangat mudah terkesan dengan nasihat dan mereka juga mudah menangis kerana takutkan Allah SWT.

Daripada Anas RA,  katanya  Rasulullah SAW memberi satu khutbah yang belum pernah aku mendengar khutbah sepertinya sebelum ini. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sekiranya kamu mengetahui apa yang aku ketahui nescaya kamu akan sedikit ketawa dan banyak menangis.’

“Katanya (Anas): lalu para sahabat Rasulullah SAW menutup muka mereka dan menangis teresak-esak.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Abu Bakar as-Siddiq turut digelar oleh anaknya, Aisyah sebagai  Rajulun Bakiy iaitu orang yang selalu menangis.

Beliau sentiasa menangis di mana dadanya bergetar ketika solat di belakang Rasulullah SAW kerana mendengar ayat-ayat Allah SWT.

Maka, jika  kita benar-benar mengetahui tugasan dan tanggungjawab yang perlu dipikul di dunia ini cukup berat dan tidak mahu juga diri tergolong dalam golongan bermasalah di akhirat kelak,  sudah pasti kita akan sering menangis.

Menangis  itu dibenarkan, malah digalakkan terutamanya kerana  menyesal atas dosa dan maksiat yang dilakukan untuk  melahirkan rasa kesyukuran serta ketika timbul rasa khusyuk dalam beribadat.

Tangisan seumpama itu cukup tinggi nilainya kerana ia lahir daripada  gabungan rasa kesedaran dan keimanan.

Jika ada yang belum pernah menangis, maka menangislah ketika kita membaca atau mendengar ayat-ayat al-Quran atau ketika kita memanjatkan doa sewaktu bangun beribadat pada sepertiga malam.

>>Penulis wartawan
Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Disember 2019 @ 6:24 PM