FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mohd Rizal Azman Riffin

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Jika kamu bersyukur, Aku akan menambahkan untukmu. Dan jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku sangatlah pedih.” (Surah Ibrahim ayat 7) 

Ayat itu satu saranan daripada Allah SWT supaya bersyukur kepada-Nya atas segala nikmat yang dikurniakan.

Bersyukur atas nikmat Allah itu perlu dizahirkan bukan sekadar mengucapkan tahmid di ruang bibir semata-mata. Tetapi bersyukur itu hendaklah  diterjemahkan menerusi amal perbuatan yang diredaiNya seperti bersedekah, berinfak mahupun berwakaf dengan harta yang kita miliki.

Bersyukur atas nikmat Allah juga tidak terhad kepada nikmat harta benda dan kekayaan sahaja.  Ini kerana apa yang ada pada diri kita adalah nikmat Allah. Misalnya, anggota tubuh badan yang sihat.  Dengan adanya tubuh badan yang sihat membolehkan kita berurusan mengendalikan hal ehwal kehidupan dengan sempurna.

Selain itu, nikmat kesihatan tubuh badan baik juga perlu kita syukuri dengan menyebarluaskan manfaat untuk manfaat  insan lain. Melakukan kegiatan kesukarelawan misalnya antara yang boleh dilakukan sebagai petanda menzahirkan kesyukuran atas nikmat kesihatan yang kita kecapi.

Itu bagi mereka yang sihat dan sempurna kurniaan anggota tubuh badan. Namun, bagaimana pula dengan mereka yang kurang upaya, cacat pada anggota tubuh badan? 

Penulis kagum dengan satu paparan berita yang disiarkan akhbar ini pada 24 September lalu yang bertajuk, Saya takkan mengemis.

Laporan itu mengisahkan seorang bekas atlet paralimpik, Mohd Izhar bin Abdul@Saidun yang tabah menjalani kehidupan meskipun bergelut dengan kekurangan daya upaya pada kudrat diri.

Kisahnya harus  mencelikkan mata kita bahawa bukan semua orang kurang upaya(OKU) lemah fizikal dan tidak bermaya jiwa.  Sebaliknya, Mohd Izhar yang berusia 53 tahun itu membuktikan di sebalik kekurangannya dia tetap bersemangat mencari rezeki.

Menarik sekali untuk kita renungi antara ungkapan luahan hatinya: “Saya akui hidup saya susah, namun saya sentiasa berdoa kepada Allah supaya permudahkan semua urusan dan Alhamdulillah setakat ini kami sekeluarga tidak pernah berlapar.”

Perkara itu mempamerkan betapa kentalnya semangat berdikari yang ada pada dirinya.  Jika membaca keseluruhan laporan itu tentu kita memahami, setiap hamba Allah yang reda dengan setiap takdir yang menimpa dan menganggapnya sebagai dugaan, maka Allah SWT akan tetap membantu.

Hal itu dialami sendiri oleh Mohd Izhar yang pada mulanya seakan-akan putus asa selepas terbabit dalam kemalangan. Namun, Allah memberikannya cahaya kehidupan baru apabila bertemu jodoh sehingga dikurniakan tujuh anak.

Sesungguhnya Allah SWT tidak pernah mengabaikan hamba-Nya.  Setiap kesusahan yang dilalui pasti akan ditunjukkan jalan keluar untuk menggapai nikmat yang lebih baik.

Kebahagiaan hakiki pasti tertanam dalam jiwa seandainya kita sentiasa reda kepada-Nya dan tidak sesekali berputus asa atas kekurangan yang menimpa diri.

Rasulullah SAW pernah meng- ingatkan kita dengan bersabda yang bermaksud: “Redalah dengan apa yang telah Allah kurniakan, maka kamu akan menjadi manusia yang paling kaya.”

Seberat mana sekalipun kehidupan yang terpaksa ditempuhi, hendaknya kita penuh yakin Allah tidak akan sama sekali memberati sehingga di luar kemampuan diri.

Dalam Surah al-Baqarah, ayat 286, Allah berfirman yang bermaksud: “Kami tidak pernah membebani manusia melebihi kemampuannya...”

Begitu juga dengan satu kisah berlaku pada khalifah Umar al-Khattab. Diceritakan pada zaman Saidina Umar ada seorang pemuda sering memanjatkan doa di sisi Baitullah dengan ungkapan doa yang agak pelik.

Pemuda itu seringkali melafazkan doa: “Ya Allah, masukkanlah aku ke dalam golongan yang sedikit.” Doa dibacakan pemuda itu didengari Umar al-Khattab ketika beliau mengerjakan tawaf di Kaabah. 

Umar berasa hairan dengan permintaan dalam doa pemuda itu, lantas beliau memanggil pemuda itu dan bertanyanya: “Mengapakah engkau berdoa sedemikian rupa? Tidak adakah permohonan lain yang engkau pinta?”

Pemuda itu tidak panik dengan persoalan dikemukakan Khalifah Amirul Mukminin itu, sebaliknya dia tenang memberikan jawapan dengan berkata, “Wahai Amirul Mukminin, saya membaca doa itu kerana saya takut dengan penjelasan Allah dalam Surah Al-A’raf ayat 10, “Sesungguhnya Kami(Allah) telah menempatkan kamu sekalian di muka bumi dan Kami hasilkan bagi kamu di muka bumi (sumber) penghidupan. Tetapi amat sedikit kamu yang bersyukur.

“Kerana ayat Allah itulah saya memohon supaya Allah memasukkan saya ke dalam golongan yang sedikit itu kerana terlalu sedikit orang tahu bersyukur kepada Allah...”

Oleh itu, jinakkanlah hati dan lembutkan lidah kita untuk sentiasa bersyukur kepada Allah SWT.

Usah dipandang nikmat melimpah yang Allah kurniakan kepada insan lain, tetapi lihatlah betapa banyaknya nik-
mat yang Allah berikan kepada diri kita.

>>Penulis pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Pahang

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Disember 2019 @ 10:25 AM