GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Dr Azlan Shaiful Baharum

SEMPENA majlis konvokesyen di kebanyakan universiti sekarang, penulis ingin memfokuskan adab yang perlu dipatuhi setiap  penuntut terhadap ilmu yang diperolehnya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Menuntut ilmu itu ialah kewajipan setiap Muslim.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Ia tidak boleh diukur dengan adanya segulung ijazah atau sekeping sijil, tetapi bagaimana cara seseorang berinteraksi dengan ilmu yang diperolehnya  sama ada bermanfaat untuk dirinya dan orang lain.

Atau ilmu itu  menjadikan dirinya lebih jauh daripada rahmat Allah SWT akibat  kurangnya adab terhadap ilmu dan pemberi ilmu itu sendiri.

Seorang penuntut ilmu harus menghiasi dirinya dengan adab dan akhlak mulia.

Dia harus mengamalkan ilmunya dengan menerapkan nilai akhlak  sama ada terhadap dirinya mahupun orang lain termasuk guru serta rakan seperjuangan.

Antara adab yang perlu diambil kira dalam proses menuntut ilmu adalah mengikhlaskan niat.

Seseorang tidak akan mendapat ilmu yang bermanfaat jika tidak ikhlas kerana Allah.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Padahal mereka tidak disuruh kecuali agar beribadat hanya kepada Allah dengan menumpukan ketaatan hanya kepada-Nya dalam (menjalankan) agama yang lurus, dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat dan itulah agama yang lurus dan benar.” (Surah al-Bayyinah, ayat 5)

Orang yang menuntut ilmu bukan kerana Allah termasuk dalam kalangan orang yang tidak akan dapat  mencium bau syurga.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang menuntut ilmu yang semestinya ia lakukan untuk mencari keredaan Allah, namun ia tidak melakukannya melainkan untuk mencari keuntungan duniawi, maka ia tidak akan mendapat menghidu haruman syurga pada hari kiamat.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Selain itu, rajin berdoa kepada Allah SWT  memohon supaya memperoleh ilmu bermanfaat.

Setiap penuntut ilmu hendaklah sentiasa memohon untuk mendapatkan ilmu bermanfaat,  memohon pertolongan  dalam mencari ilmu serta mengharapkan petunjuk Allah SWT.

Nabi SAW menganjurkan kita selalu memohon ilmu bermanfaat kepada Allah SWT dan berlindung kepada-Nya daripada ilmu yang tidak bermanfaat.

Pada zaman mencabar ini, terdapat  segelintir umat Islam gemar mempelajari dan mengamalkan ilmu yang tidak bermanfaat seperti sihir, ilmu hitam dan  pelbagai ideologi Barat yang menyimpang seperti liberalisme dan hedonisme.

Di samping itu,  ilmu itu juga perlu didalami secara bersungguh-sungguh  dan sentiasa dahagakannya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Dua orang yang tamak yang tidak pernah kenyang iaitu orang yang tamak terhadap ilmu dan tidak pernah kenyang dengannya dan orang yang tamak terhadap dunia dan tidak pernah kenyang dengannya.” (Hadis Riwayat al-Baihaqi)

Penuntut ilmu juga mesti menjauhkan diri daripada melakukan dosa dan maksiat dengan bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benarnya.

>>Penulis Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar & Alumni Fakulti Pengajian Bahasa Utama USIM

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 November 2019 @ 8:43 AM