GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Qira’ah Fatwa

ADAKAH dikira sebagai rukshah untuk melaksanakan solat secara qasar sekiranya kita pergi melancong dan berhibur bersama keluarga dan rakan-rakan?

Terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi bagi membolehkan solat qasar dan jamak dilakukan.

Antara yang disebutkan oleh fuqaha ialah:

• Solat yang diqasarkan adalah solat fardu yang empat rakaat.

• Ada tujuan walaupun dengan mana-mana arah.

• Permusafirannya adalah permusafiran yang diharuskan bukan kerana maksiat.

• Mempunyai tujuan yang baik seperti pergi kerana urusan perniagaan dan lain-lain.

• Jarak perjalanan adalah sejauh dua marhalah iaitu dianggarkan sejauh 82 kilometer.

• Melepasi negeri atau kawasan tempat bermukim.

• Ada pengetahuan berkenaan hukum-hakam solat qasar dan jamak.
(Rujuk Al-Taqrirat Al-Sadidah Fi Al-Masail Al-Mufidah, halaman 314-315)

Berkenaan sama ada perjalanan itu bertujuan melancong diberikan rukhsah untuk solat secara qasar, kami kemukakan pandangan empat mazhab seperti berikut:

Mazhab Hanafi

Diriwayatkan bahawa Imam Abu Hanifah mengharuskan seseorang yang sedang dalam apa jua bentuk permusafiran untuk melakukan solat secara qasar.

Hatta, musafir untuk melakukan maksiat sekalipun dan pandangan itu dipersetujui Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah dan Ibn Hazm al-Andalusi. (Rujuk Majmu’ah al-Rasa’il li Ibn Taimiyyah 2/60 dan Al-Syarh al-Mumti’ Syarh Zad al-Mustaqni’ 4/349)

Mazhab Maliki

Syeikh Muhammad ‘Alisy menyatakan, menurut Mazhab Maliki, qasar solat sewaktu sedang melancong tidak disunatkan, bahkan hukumnya makruh. (Rujuk Minah al-Jalil 1/401)

Mazhab Syafi’e

Salah satu syarat yang perlu dipenuhi bagi membolehkan seseorang memperoleh rukhsah jamak dan qasar sewaktu bermusafir adalah dia mesti mempunyai tujuan perjalanan yang jelas.

Al-Imam al-Mawardi, Al-Imam Muhyiddin al-Nawawi, Imam al-Ramli dan Imam Ibn Hajar al-Haitami menyatakan dengan jelas, al-tanazzuh iaitu rekreasi dan melancong adalah satu tujuan perjalanan yang jelas kerana ia adalah untuk mengubati diri sendiri daripada lemahnya semangat, kebosanan jiwa dan meningkatkan semangat.

Maka, perjalanan untuk melancong dan rekreasi diharuskan untuk solat jamak dan qasar. (Rujuk Al-Hawi al-Kabir 2/880, Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 4/33, Mughni al-Muhtaj 1/268 dan Al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra 1/231)

Mazhab Hanbali

Imam Ibn Qudamah pula meriwayatkan dua pandangan dalam mazhab Hanbali.

Pandangan pertama yang diriwayatkan daripada Imam al-Khiraqi mengharuskannya manakala pandangan kedua pula, riwayat daripada Imam Ahmad bin Hanbal tidak mengharuskannya.

Ini kerana melancong bukan maslahah yang diiktiraf syarak. Imam Ibn Qudamah memilih dan mentarjihkan pandangan pertama iaitu harus untuk qasar. (Rujuk Al-Mughni 2/100)

Kesimpulannya, kami menilai dan memilih pandangan majoriti ulama iaitu mazhab Hanafi, Syafi’e serta pandangan Ibn Qudamah dalam mazhab Hanbali yang mengharuskan qasar solat ketika bermusafir untuk melancong bersama keluarga dan rakan-rakan.

Jika perjalanan itu bertujuan maksiat seperti berjudi, maka tidak diharuskan untuk qasar solat. Perjalanan jauh memenatkan walaupun menaiki kapal terbang.

>>Sumber: Al-Kafi Li al-Fatawi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 November 2019 @ 9:01 AM