GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.

SAMPAI satu masa nanti, kita semua akan melalui detik yang ‘menamatkan’ kegembiraan yang pernah dinikmati di dunia ini iaitu kematian.

Tempohnya pula tidak akan dilewatkan atau dipercepatkan walaupun sesaat.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan), maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaat pun dan tidak dapat pula mereka didahulukan.” (Surah al-A’raaf, ayat 34)

Pendakwah, Ustaz Johari Abdul Wahab berkata, ketika jenazah diusung untuk dibawa ke tanah perkuburan, setiap roh sudah tahu sama ada kubur itu akan menjadi tempat istirahat buatnya atau tempat dikenakan azab.

Dalam satu hadis, Abu Sa’id al-Khudri RA berkata: Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila jenazah diangkat dan orang ramai mengangkatnya di atas bahu mereka. Seandainya jenazah itu baik, jenazah itu akan berkata: Segerakan aku. Seandainya ia jenazah yang tidak baik, jenazah itu akan berkata kepada keluarganya: Celakalah. Ke mana mereka mahu pergi dengannya. Setiap makhluk akan mendengar suara ini kecuali manusia. Jika manusia mendengar, nescaya mereka akan terkejut.” (Sahih al-Bukhari)

Menurutnya, bagi yang beramal soleh rohnya sudah mengetahui apabila masuk sahaja ke lubang kubur, ia akan menjadi taman syurga dan menjadi tempat rehatnya sehingga hari kebangkitan.

“Bagaimanapun, jika diusung itu bukan orang soleh, rohnya akan meronta-ronta kerana mengetahui kubur itu akan menjadi antara lubang api neraka.

“Dalam hadis itu lagi, suara yang menakutkan turut akan didengari semua makhluk Allah kecuali manusia. Ada riwayat lain turut menyatakan, suara itu akan didengari seluruh makhluk kecuali manusia dan jin,” katanya.

Beliau berkata, setiap daripada kita bertanggungjawab ‘menghiasi’ lubang kubur sendiri kelak sama ada bakal menjadi taman syurga atau tempat dipalu.

“Ingat, tempoh berada di dalam lubang kubur itu lebih lama daripada masa kita berada di atas dunia ini.

“Nabi Muhammad yang dijamin syurga pun tetap memohon doa kepada Allah supaya dirinya dilindungi daripada empat perkara setiap kali melaksanakan solat fardu atau sunat.

“Nabi membaca doa itu selepas bacaan tahiyat akhir sebelum memberi salam iaitu memohon perlindungan daripada azab neraka jahanam, azab kubur, fitnah kehidupan dan kematian dan kejahatan fitnah dajal,” katanya.

Berbicara mengenai taman syurga, Ustaz Haslin Mohd Baharim menyatakan, syurga sebenar adalah selepas berlaku kiamat nanti.

“Bagaimanapun, di dunia ini Allah sudah memberikan tiga daripada taman syurga seperti dinyatakan dalam beberapa hadis iaitu Raudhah di Masjid Nabawi, berada dalam majlis ilmu serta menziarahi orang sakit di mana antara waktu ziarahnya sehingga dia pulang, dia sentiasa berada dalam taman syurga.

“Selain itu, jangan sesekali kita mencaci orang yang meninggal dunia walaupun mengetahui ada sisi jahatnya. Ini kerana sedetik taubat itu tetap diterima Allah.

“Begitu juga jika berlaku kematian dalam kalangan orang baik, maka segerakan pengebumiannya. Apabila urusan itu lambat dilaksanakan, ia akan menyeksa jenazah.

“Kita turut dilarang mengheret atau memijak dengan kuat tanah di kawasan perkuburan. Begitu juga kita ditegah duduk di atas kubur serta meratapi kematian dengan cara seperti menangis dengan suara kuat atau mengoyak baju kerana semua itu menyakitkan roh yang berada
di dalam kubur,” katanya.

Rasulullah bersabda maksudnya: “Sesungguhnya
di antara amal kebaikan yang mendatangkan pahala setelah orang yang melakukannya meninggal dunia ialah ilmu yang disebar luas, anak soleh yang ditinggalkannya, mushaf (kitab keagamaan) yang diwariskannya, masjid yang dibina, rumah yang dibina untuk penginapan orang yang sedang dalam perjalanan, sungai yang dialirkan untuk kepentingan orang ramai dan harta yang disedekahkannya.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

>>Penulis wartawan
Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Oktober 2019 @ 9:03 AM