FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Sebarkan Bahagia bersama Fatimah Syarha Mohd Noordin

Allah SWT menciptakan peristiwa yang berlaku di atas muka bumi ini sebagai ujian. Lalu diberikan banyak ujian kesenangan berbanding kesempitan.

Bagaikan banyak  cuaca terang  berbanding cuaca buruk bersama ribut petir.

Ribut petir tidak memanah kita setiap hari, begitulah ujian yang berat tidak menjengah kehidupan kita setiap masa.

Sesekali ujian berat menghimpit dan ia  tidak sesuai dengan keinginan kita, Allah SWT mahu kita tidak terlalu rasa cinta kepada dunia yang penuh cacat cela ini.

Di hujung nyawa, kita semua mengimpikan diseru sebagai jiwa yang tenang.  Dipanggil pulang ke rahmat dan kasih sayang Allah dalam keadaan reda dan diredai. 

Diiktiraf sebagai hamba-Nya dan dijemput masuk ke dalam syurga-Nya. Impian itu Allah SWT gambarkan kepada kita dalam Surah al-Fajr.

Demi mendapat kebaikan itu, ada ciri-ciri yang perlu kita lengkapkan dalam diri supaya dicatat oleh Malaikat Raqib dan Atid.

Selalu bersandar harapan kepada Yang Maha Memelihara

Allah SWT menguji kita sehingga tiba pada satu tahap, kita berasa jalan sudah buntu. Pada saat itu, tunjukkan kepada Allah SWT kita sentiasa berdoa dan berusaha, bukan berputus asa.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (daripada segala perkara yang menyusahkannya), serta memberinya rezeki daripada jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.” (Surah al-Talaq, ayat 2-3)

Ibn Kathir berkata:  “Sesiapa yang bertakwa kepada Allah dalam seluruh perintah-Nya dan menjauhi seluruh larangan-Nya, maka Allah akan menjadikan baginya jalan keluar dan memberikannya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka iaitu dari arah yang tidak pernah terlintas dalam hatinya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 14/31)

l

Selalu memohon pertolongan daripada Yang Maha Menolong

Apabila dihimpit masalah, kita berusaha mencari penyelesaian dengan pelbagai cara. Sehebat mana pun tip menyelesaikan masalah ditemui, tanpa sabar dan solat pada kedudukan teratas, ia tidak akan berkesan.

Dalam solat, kita berikrar berkali-kali Allah  yang kita sembah dan Dialah tempat kita memohon pertolongan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat, dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk.” (Surah Al-Baqarah, ayat 45)

l

Selalu memujuk jiwa agar tetap kuat

Apapun yang Allah SWT hadirkan dalam hidup kita adalah satu bentuk ujian iman. Allah SWT berfirman yang maksudnya:  “Dan janganlah kamu berasa lemah (dalam perjuangan mempertahankan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap
apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (bersungguh-sungguh) beriman.” (Surah Ali Imran, ayat  139)

l

Berkongsi masalah dengan orang bertakwa, beriadah, berfikiran positif

Selepas  mengadu kepada Allah SWT, ringankan  beban di jiwa dengan berkongsi masalah dengan insan bertakwa lagi boleh dipercayai.

Niat  mesti  bersih untuk mencari solusi. Seandainya insan yang ditemui tidak mampu memberi solusi sekalipun, sekurang-kurangnya dia meredakan tekanan dalam jiwa.

Selain itu, beriadah juga terbukti membantu meredakan tekanan. Cari  masa memberi hak riadah kepada badan.

Fikiran yang tegang lebih mudah kembali positif. Arahkan fikiran itu kepada hal positif, misalnya memikirkan masalah umat Islam di Palestin lebih besar berbanding sekelumit ujian sedang kita hadapi.

l

Tawakal

Umpama tawakal penumpang saat mereka menyerahkan urusan keselamatan kepada kepakaran juruterbang dan petugasnya saat pesawat berlepas.

Begitu juga seharusnya kita menyerahkan urusan kehidupan kepada kepakaran Allah SWT tanpa ragu dan bimbang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 8:04 AM