GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ustazah Fatimah Syarha Mohd Noordin

TIADA paksaan dalam agama. Namun, konsep itu bukan bermakna kita tidak perlu berdakwah.

Ajaklah orang kepada Allah, namun jika dia menolak, kita tidak perlu memaksanya seperti paksaan yang dikenakan kepada orang Uyghur yang diseksa semata-mata kerana mengamalkan agamanya.

Usaha kita mengajak dan memujuk orang kepada Allah SWT perlulah bersungguh-sungguh kerana setiap orang diberi kebebasan.

Namun, seseorang itu akan bertanggungjawab di akhirat kelak terhadap apa yang dipilihnya. Kasihanilah insan tersayang yang tidak pernah mengenali Allah daripada lidah kita sampai hari kematiannya.

Kita bimbang dia akan mendakwa kita di hadapan Allah kerana tidak pernah mengajaknya. Ada orang yang hatinya berhajat mengajak insan tersayang kepada kebaikan, namun tatkala berhadapan dengannya dia tidak tahu topik apakah yang harus diungkapkan.

Di sinilah perlunya ilmu dakwah. Topik adalah bahan percakapan, tajuk, pati, isi atau judul manakala topik dakwah adalah kandungan dakwah untuk mengajak manusia membincangkannya sebagaimana tugas rasul menjelaskan jalan yang lurus kepada umat manusia daripada pelbagai agama, bangsa dan warna kulit.

Topik dakwah merangkumi rahmatnya Islam, akidah yang betul, akhlak mulia, perundangan yang sistematik dan sirah kehidupan Nabi Muhammad SAW.

Islam bermaksud tunduk, menyerah dan mentaati Allah SWT. Kepatuhan itu hendaklah lahir daripada kesedaran penuh, bukannya paksaan.

Kepatuhan kepada Allah adalah fitrah bagi setiap makhluk. Firman Allah SWT bermaksud: “Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu, mereka mencari lain daripada agama Allah? Padahal kepada-Nya lah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, sama ada dengan sukarela ataupun terpaksa, dan kepada-Nya lah mereka dikembalikan.” (Surah Ali Imran, ayat 83)

Alam ini bergerak dengan kepatuhan terhadap sistemnya. Sejauhmana pula manusia yang dimuliakan dengan akal bergerak dengan sistem paling menepati fitrah insani?

Itulah sistem yang diberikan Allah SWT, rahmat buat sekelian alam. Islam menjadi dasar peradaban dan akhlak manusia selari dengan asas dibawa Nabi Muhammad SAW yang releven sepanjang zaman.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhiratnya kelak daripada orang-orang yang rugi.” (Surah Ali Imran, ayat 85)

Islam sentiasa mampu menjawab tiga persoalan asasi iaitu dari mana kita datang, untuk apa kita diciptakan dan ke mana kita akan pulang?

Bagi soalan pertama, Allah SWT menjawab dengan firman-Nya yang bermaksud: “Wahai umat manusia, sekiranya kamu menaruh syak (ragu-ragu) tentang kebangkitan makhluk (hidup semula pada hari kiamat), maka (perhatilah kepada tingkatan kejadian manusia) kerana sebenarnya Kami telah menciptakan kamu daripada tanah, kemudian daripada sebuku darah beku, kemudian daripada seketul daging yang disempurnakan kejadiannya dan yang tidak disempurnakan, (Kami jadikan secara yang demikian) kerana Kami hendak menerangkan kepada kamu (kekuasaan kami), dan Kami pula menetapkan dalam kandungan rahim (ibu yang mengandung itu) apa yang Kami rancangkan hingga ke suatu masa yang ditentukan lahirnya, kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak, kemudian (kamu dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa, dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa) dan ada pula yang dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga ia tidak mengetahui akan sesuatu yang telah diketahuinya dahulu. Dan (ingatlah satu bukti lagi), engkau melihat bumi itu kering, kemudian apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya (dengan tumbuh-tumbuhan yang merecup tumbuh), dan gembur membusutlah ia serta ia pula menumbuhkan berjenis-jenis tanaman.” (Surah al-Hajj, ayat 5)

Seterusnya, untuk apa kita diciptakan? Persoalan itu juga dijawab dengan sangat terang dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.” (Surah Al-Zariyat, ayat 56)

Ibadat di sini mempunyai maksud yang luas. Ini termasuk ibadat khusus seperti solat, puasa, zakat dan haji serta ibadat umum yang mencakupi segala aspek kehidupan.

Tiada satu pun tindak- tanduk manusia yang tidak bernilai dosa dan pahala di sisi Allah SWT. Semuanya dicatat dan semuanya akan ditanya.

Perkara yang ketiga, ke mana kita akan pulang? Al-Quran menjelaskan kepada manusia ada kehidupan selepas kematian.

Kehidupan abadi itu akan mengaudit segala baik buruk amalan kita. Ia memberi anugerah kepada insan berintegriti dan merendahkan insan yang tidak mampu dibentuk oleh nasihat, adat, norma, etika dan undang-undang saat hidup di dunia.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Kalaulah kamu kufur ingkar (tidak bersyukur) akan nikmat-nikmat-Nya itu, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah tidak berhajatkan (iman dan kesyukuran) kamu (untuk kesempurnaan-Nya) dan Dia tidak redakan hambahamba-Nya berkeadaan kufur dan jika kamu bersyukur, Dia meredainya menjadi sifat dan amalan kamu. Dan (ingatlah) seseorang yang memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja). Kemudian kepada Tuhan kamulah tempat kembalinya kamu, maka Dia akan memberitahu kepada kamu tentang apa yang kamu telah kerjakan. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.” (Surah al-Zumar, ayat 7)

Selain itu, topik kalimah syahadah juga penting dibincangkan kerana ia pintu masuk kepada kesedaran dan kerelaan kita menyembah Allah SWT dan mengikuti ajaran Rasul-Nya.

Kalimah syahadah terbahagi kepada dua iaitu:

1. Asyhadu Alla Ilaha Illa Allah (Bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah)

Allah SWT melatih kita memperbaharui syahadah setiap hari dalam solat kita bagi mengelakkan kita menyembah hawa nafsu sendiri.

2. Asyhadu Anna Muhammad Rasulullah (Bersaksi bahawa Muhammad adalah utusan Allah SWT).

Kedatangan Baginda adalah penerus kepada rasul sebelumnya. Firman Allah SWT bermaksud: “Dan (Kami telah mengutuskan) beberapa orang rasul yang telah Kami ceritakan kepadamu dahulu sebelum ini dan rasul-rasul yang tidak Kami ceritakan kepadamu. Dan Allah telah berkata-kata kepada Nabi Musa dengan kata-kata (secara langsung, tidak ada perantaraan).” (Surah al-Nisa’, ayat 164)

Penulis adalah pendakwah dan Jawatankuasa Perundingan Wanita Rahmah, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Mawar Yadim)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Ogos 2019 @ 9:11 AM