GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
AL-FIQH

Apabila seorang wanita Islam bercampur gaul bersama beberapa wanita bukan Islam, adakah batal wuduk wanita Islam itu apabila dia bersentuhan dengan seorang daripada wanita berkenaan?

Bagaimana jika dia tidak tahu adakah wanita yang disentuh itu Islam atau kafir?

Tidak batal wuduk sekiranya bersentuhan dengan seorang daripada mereka kerana syak tidak boleh ditingkatkan menjadi yakin.

Apakah had kawasan dubur yang dikira batal wuduk sekiranya seseorang menyentuhnya?

Adakah yang dimaksudkan dubur itu ialah kawasan keluarnya najis atau dikira termasuk kawasan yang tertutup selepas keluarnya najis?

Had dubur yang membatalkan wuduk ialah apabila menyentuh kulit bertangkup yang menutupi lubang dubur seseorang.

Sekiranya seseorang lelaki berada dalam kalangan mahram perempuannya dan perempuan asing, kemudian dia tersentuh seorang perempuan yang tidak dapat dipastikan sama ada dia mahram atau tidak, adakah batal wuduknya?

Jika seorang lelaki berwuduk bersentuh perempuan dalam satu kumpulan perempuan yang kebanyakan mahramnya, tetapi dia tidak pasti yang disentuhnya itu benar-benar mahramnya atau tidak, maka tidak batal wuduknya walaupun keadaan dan suasana di tempat itu tidak terkawal.

Itu berdasarkan pendapat Syeikh Ramli dan ia berbeza dengan pendapat al-Zarkasyi.

Adakah batal wuduk seorang lelaki yang memegang kemaluannya ketika berada di dalam air?

Sekiranya lelaki yang berwuduk itu menyentuh atau memegang kemaluannya ketika di dalam air, batal wuduknya.

Tetapi tidak menjadi najis jika dia menyentuh benda bernajis ketika berada di dalam air yang banyak, mengikut fatwa Syeikh Ramli Kabir.

Sumber: Furu’ al-Masa’il Wa Usul al-Wasa’il oleh Maulana al-Syeikh Daud Abdullah al-Fathani dan disusun Datuk Abu Hasan Din al-Hafiz

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2019 @ 8:51 AM