GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Bersama Mohd Rizal Azman Rifin

ANTARA luahan rasa kasih dan cinta kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW adalah sentiasa berselawat ke atas Baginda serta keluarganya.

Malah, saranan supaya kita sentiasa memperbanyakkan bacaan selawat juga diingatkan menerusi khutbah Jumaat pada setiap minggu.

Berkat komitmen yang tinggi Baginda SAW bersama-sama sahabat pada awal penyebaran dakwah Islam, akhirnya agama Islam mula bertapak di serata benua dunia termasuk di rantau Nusantara.

Kini, umat Islam di seluruh dunia dianggarkan berjumlah 1.3 bilion. Walaupun masyarakat bukan Islam khususnya di Barat berusaha mencipta pelbagai persepsi negatif terhadap agama Islam dan penganutnya, ia tetap berkembang mekar.

Benarlah bahawa Nabi Muhammad SAW pembawa rahmat ke atas seluruh alam ini. Baginda SAW diutuskan bukan untuk bangsa Arab di tanah kelahirannya sahaja, tetapi Baginda adalah utusan Allah buat rahmat seluruh manusia dan alam ini.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan sungguh Kami tidak mengutusmu wahai Muhammad, melainkan untuk membawa rahmat kepada seluruh alam.” (Surah An-Anbiya’, ayat 107)

Apabila kita teliti sirah perjalanan hidup Baginda SAW, maka kita pasti temui pelbagai kisah menarik.

Rahmat yang dibawa Rasulullah SAW bukan setakat ke atas manusia semata-mata, tetapi terangkum juga makhluk tidak bernyawa sekalipun.

Buktinya, dikisahkan pada satu hari Baginda SAW memanggil seorang Badwi datang kepadanya dan Baginda menawarkannya memeluk Islam.

Lelaki Badwi itu tidak terus menerima ajakan Rasulullah SAW, sebaliknya dia menguji dahulu Baginda dengan berkata: “Kalau kamu boleh panggil pokok ini datang kepada kamu dan bersaksi bahawa kamu adalah Rasul, maka aku akan beriman.”

Rasulullah SAW tidak langsung menunjukkan rasa panik dengan permintaan lelaki Badwi itu, sebaliknya Baginda SAW memanggil pokok itu lalu bertanya siapa Baginda. Tidak semena-mena pokok itu menjawab: “Aku bersaksi tiada Tuhan selain Allah dan aku bersaksi sesungguhnya kamu adalah Rasul Allah.”

Akhirnya, lelaki Badwi itu beriman dan segera kembali ke kampung halaman dan menemui kaumnya untuk memberitahu perihal agama Islam yang baru dia beriman itu.

Begitu juga dengan kisah haiwan yang turut menerima rahmat yang dibawa Rasulullah SAW. Ada satu kisah di mana seekor unta digunakan pemiliknya sejak sekian lama dan ia sudah tua.

Apabila unta itu semakin lemah, tuannya tidak lagi memberikan perhatian terhadapnya. Makan minum sudah tidak lagi dihiraukan oleh tuannya.

Tidak seperti ketika unta itu masih kuat. Ketika Baginda SAW sedang merentasi satu kawasan, Baginda bertemu dengan unta itu.

Keadaan unta itu menarik perhatian Baginda kerana dilihat sedang menanggung kesusahan berdasarkan kesan air mata pada matanya.

Baginda SAW menghampiri unta itu sambil mengusap perlahan tubuhnya dengan tangannya yang mulia.

Baginda SAW berbicara dengan unta tua itu: “Di manakah tuan punya unta ini?”

Tiba-tiba seorang lelaki kaum Ansar muncul dan mengaku unta tua itu miliknya. Baginda memberikan nasihat kepada pemi-lik unta itu bahawa untanya mengadu mengenai sikap tuannya yang sudah lama menggunakannya untuk bekerja, tetapi kurang memberikannya makanan.

Lelaki itu insaf dan sedar kesalahannya. Benar apa yang Baginda SAW sabdakan: “Sesungguhnya aku adalah rahmat yang dihadiahkan oleh Allah.” (Hadis riwayat At-Tabrani)

Justeru, umat Islam perlu berusaha menguatkan diri untuk patuh dan taat kepada setiap ajaran yang dibawa Baginda SAW.

Baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Apa sahaja yang aku larang terhadap kamu, maka jauhilah. Dan apa sahaja yang aku perintahkan kepada kamu, maka kerjakanlah semampu kamu. Sesungguhnya faktor yang membinasakan umat sebelum kamu adalah kerana mereka banyak bertanya (yang tidak berguna) dan bersikap menyelisihi nabi-nabi mereka.” (Hadis riwayat Imam Muslim)

Allah SWT juga mengingatkan supaya menerima ajaran Rasulullah SAW dengan sepenuh hati dan tidak sesekali mengabaikannya.

Hal itu jelas seperti apa yang terkandung dalam Surah Al-Hasyr, ayat 7 yang bermaksud: “Apa yang diberikan oleh Rasul kepada kamu, maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagi kamu, maka tinggalkanlah. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat keras hukuman-Nya.”

Umar al-Khattab pernah berkata: “Kami adalah kaum yang dimuliakan Allah dengan Islam, maka jika kami mencari kemuliaan dengan selain cara-cara Islam, nescaya Allah akan menghinakan kami.”

Penulis pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Pahang

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2019 @ 9:48 AM