GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Qira’ah Fatwa

SEORANG bapa bertolak dari rumahnya di Subang, Selangor dan mahu menghantar anak pulang ke pusat pengajian di Melaka.

Jarak perjalanan itu melebihi dua marhalah. Adakah dibolehkan untuk jamak solat sebelum tiba di rumah walaupun tidak bermalam di sana?

Ada tiga syarat sah solat musafir iaitu:

1. Perjalanan yang jaraknya 81 kilometer dan lebih. Oleh itu, tidak diambil kira perjalanan kurang daripada jarak berkenaan.

2. Seseorang hendaklah tidak berniat menetap selama empat hari di tempat yang dituju selain pada hari mula sampai dan pada hari akan keluar.

3. Apabila berniat menetap selama empat hari, jadilah tempat yang dituju itu seolah-olah negerinya atau tempat tinggalnya yang tetap.

Oleh itu, tidak harus solat qasar lagi di situ dan hak untuk solat qasar ke-
kal ketika dalam perjalanan sahaja.

Perjalanan yang tentu tempat tujuannya. Oleh itu, orang yang merayau-rayau tanpa tujuan ke tempat tertentu dan orang yang mengikut ketuanya tanpa mengetahui ke mana hendak dibawanya, perjalanan mereka tidak mengharuskan qasar kecuali setelah menjangkau jarak perjalanan yang jauh.

Ini kerana sudah diyakini jauh perjalanannya dan perjalanan itu bukan bertujuan maksiat.

Justeru, tidak diambil kira perjalanan musafir untuk berniaga arak, mengamalkan riba’ atau menyamun.

Ini kerana qasar adalah keringanan yang disyariatkan untuk menunaikan sesuatu tanggungjawab dan ia tidak boleh terkait dengan sebarang maksiat.

Tiada syarat sah yang mewajibkan bermalam. Sebaliknya, hukum syarak hanya menetapkan waktu maksimum iaitu tiga hari tidak termasuk hari pergi dan hari keluar.

Ini berdasarkan hadis al-Ala’ bin al-Hadhrami r.a, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiga hari bagi orang Muhajirin (boleh menetap di Makkah) selepas al-sadar (yakni selesai manasik haji).” (Riwayat al-Bukhari - 3933 dan Muslim - 1352)

Berkata Imam Abu Ishak al-Syairazi sebelum berdalilkan hadis berkenaan: “Jika seorang musafir berniat mukim (menetap) empat hari selain hari masuk dan hari keluar, maka jadilah sebagai seorang mukim (semata-mata dengan niat itu), dan terpotonglah (iaitu terhentilah) rukhsah musafirnya kerana berniat menetap tiga hari tidak menjadikan musafir itu seorang mukim.” (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhadzdzab - 4/359)

 Berkenan dalil solat jamak ketika musafir, daripada Ibn Abbas r.anhuma, katanya yang bermaksud: “Rasulullah SAW menjamakkan solat Zuhur dengan Asar ketika perjalanan (iaitu bermusafir) dan menjamakkan solat Maghrib dengan Isyak.” (Riwayat al-Bukhari - 1056)

Hadis seterusnya, daripada Ibn Abbas r.anhuma maksudnya: “Nabi SAW menjamakkan solat dalam perjalanan yang kami lakukan ketika peperangan Tabuk.

“Baginda menjamakkan solat Zuhur dengan solat Asar dan solat Maghrib dengan Isyak.

“Said bin Jubair berkata: Aku bertanya kepada Ibn Abbas: Apakah yang mendorong Baginda berbuat begitu? Jawabnya: Baginda tidak mahu menyusahkan umatnya.’” (Riwayat Muslim - 705)

Berdasarkan keterangan itu, dibenarkan bagi seseorang yang bermusafir ke satu destinasi melebihi dua marhalah untuk melakukan solat musafir seperti jamak dan qasar, sekalipun dia hanya balik hari dan tidak bermalam.

Sumber: Al-Kafi Li al-Fatawi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2019 @ 8:39 AM