GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Dr Nurkhamimi Zainuddin

SETIAP manusia akan menerima ujian daripada Allah SWT sama ada dalam bentuk kesusahan atau turut dikurniakan ujian kesenangan.

Ujian kesusahan itu termasuk kesakitan, ketakutan, kelaparan, kemiskinan, kehilangan harta, bencana alam atau kematian orang yang disayangi.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah, ayat 155 yang bermaksud: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan daripada harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”

Ujian diberikan Allah SWT kepada kita hanya untuk mengetahui siapa yang ikhlas, bersabar dan siapa pula berbohong dan selalu berkeluh kesah.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: ‘Kami beriman’ sedangkan mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdusta.’” (Surah al-An-kabut, ayat 2-3)

Insiden serangan serta tembakan terhadap jemaah di Masjid Al-Noor dan Masjid Linwood, New Zealand, baru-baru ini sehingga mengorbankan 50 mangsa serta mencederakan ramai mangsa amat menyedihkan kita semua.

Sehingga kini, kejadian itu masih menjadi bualan ramai. Itu antara ujian hebat buat umat Islam.

Namun, apa yang pasti kejadian yang berlaku itu ada hikmahnya. Bagi mereka yang ikhlas dan sabar, ujian kesusahan akan dihadapi dengan penuh ketabahan dan hati yang reda.

Mereka yakin ujian kesusahan itu akan menghapuskan dosa lalu.

Seorang mukmin sentiasa menyedari setiap ujian yang diterima sama ada susah atau senang adalah bagi meningkatkan lagi iman kepada Allah SWT.

Adapun orang yang suka berbohong dan lemah imannya terhadap qada dan qadar Allah SWT, apabila diberikan ujian kesusahan, iman akan digadaikan.

Mereka merayu kepada manusia atau makhluk lain untuk menghilangkan kesusahan yang dihadapinya.

Ujian kesenangan turut menjadikan manusia sombong dan angkuh. Bahkan, mereka merasakan semua yang diperoleh itu disebabkan kepandaiannya.

Tiada perbuatan paling berkesan bagi memelihara iman daripada berputus asa dan lemah semangat dengan ujian melainkan bersegera dan bersungguh-sungguh dalam beramal soleh.

Hadis Rasulullah SAW diriwayatkan Abu Hurairah bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Bersegeralah kamu semua untuk beramal (kerana akan datang) ujian-ujian ibarat keadaan-keadaan malam yang gelap. (Disebabkan ujian tersebut, adakalanya) seseorang itu beriman pada waktu pagi tetapi menjadi kafir pada waktu petang, dan beriman pada waktu petang tetapi menjadi kafir pada waktu pagi esoknya. (Lalu) Dia menjual agamanya dengan sesuatu daripada (kepentingan) dunia ini.” (Riwayat Muslim)

Peranan doa juga sangat penting dalam menjaga serta menguatkan iman supaya dapat menempuh apa sahaja dugaan yang mendatang.

Penulis Dekan Fakulti Pengajian Bahasa Utama Universiti Sains Islam Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2019 @ 9:29 AM