GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Fatimah Syarha Mohd Noordin

Pengalaman melahirkan anak pasti tidak dapat dilupakan setiap wanita. Tidak dapat digambarkan kesakitan yang ditanggung.

Namun sakit itulah yang memberi makna hidup dan membuatkan wanita lebih mensyukuri nikmat sihat pada hari ini.

Ia juga mengangkat darjat seorang wanita, malah doanya juga tiada hijab. Seandainya seorang ibu itu meninggal dunia sekalipun saat menanggung sakit, pasti dia beroleh pahala syahid.

Jika begitu tukarannya, apalah sangat sakit itu kerana anugerah yang menanti cukup besar.

Bagi wanita yang kali pertama mengandung, apa perasaan mereka sebelum melahirkan anak pertama?

Memang tidak sabar mahu menatap wajah si manja. Apa yang pasti, kekuatan fikiran yang tidak disiapkan awal akan ‘diserbu’ pelbagai kerisauan termasuk bagaimana rasa sakit ketika bersalin, mampukah kesakitan itu ditanggung, sempurnakah bayi yang bakal dilahirkan dan sebagainya.

Bagaimanapun dalam ayat ini, Allah SWT memujuk kita betapa Dia sangat dekat.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan demi sesungguhnya, Kami mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya.” (Surah Qaf, ayat 16)

Berikut adalah cara menguruskan emosi ketika menghadapi saat untuk melahirkan anak:

1. Memperbanyakkan meminta perlindungan daripada Allah SWT.

Dengan ‘taawwuz’, kita meminta perlindungan daripada Allah Yang Maha Kuat. Itulah perisai kita.

2. Maafkan semua orang.

Jika fikiran negatif datang daripada orang-orang berada di sekeliling kita, maafkan dia.

Kita mungkin berasa puas melihat hidupnya resah kerana kemarahan dan kebencian, tetapi apa maknanya kepuasan itu jika kesan kebencian itu meresahkan hidup kita?

Kita berhak berasa marah atau benci, lebih-lebih lagi kepada insan yang menyakiti hidup kita.

Al-Quran membimbing dengan sikap indah ini. Allah SWT memujuk: “Terimalah apa yang mudah engkau lakukan dan suruhlah dengan perkara yang baik serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya). Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan daripada syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-A’raf, ayat 199-200)

Bagaimana jika perbuatan buruk orang kepada kita itu begitu menyakitkan? Rasai keindahan berjiwa besar seperti Nabi memaafkan umatnya.

Malaikat hampir mahu terbalikkan bukit melihat kejahatan umat memperlakukan Baginda. Tetapi apakah pendorong jiwa pemaaf Nabi SAW?

Baginda memujuk jiwanya dengan kemaafan sambil menyatakan, mereka (umat yang melakukan kejahatan terhadap dirinya) itu belum tahu.

Hati manusia memang terasa sukar memaafkan. Bagaimanapun, mahukah kita menaik taraf perasaan sama seperti perasaan orang yang merindui keuntungan besar di sisi Allah SWT.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik, apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta-merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar daripada kebahagiaan dunia dan akhirat. Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan daripada syaitan, maka hendaklah engkau meminta perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dia yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah Fussilat, ayat 34-36)

3. Panggil nama-Nya.

Tiada satu kesakitan pun yang tidak dikira. Semuanya dalam pandangan Allah SWT belaka. Serulah nama-Nya, “Ya Rahman, Ya Raheem.”

Allah SWT memberitahu kita: “Dan pada sisi Allah jua anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia sahaja dan Dia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Dia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata.” (Surah al-An’am, ayat 59)

Manfaat dan mudarat yang terjadi kepada kita sepanjang proses melahirkan bayi semuanya dengan izin Allah.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia dan jika Dia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurnia-Nya. Allah melimpahkan kurnia-Nya itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya daripada hamba-hamba-Nya, dan Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Surah Yunus, ayat 107)

Jika Dia mahu menolong kita, tiada manusia yang mampu menahannya. Jangan kecewa jika Allah tidak memakbulkannya sekarang.

Selagi ada doa, tiada apa yang perlu dirisaukan. Kita ada Dia. Carilah lagi nama-
nama-Nya yang sedang memahami saat cemas itu.

4. Banyakkan bertaubat.

Walaupun sedang sakit, cuba kita hiburkan orang sekeliling. Kadangkala dengan hadiahkan dua biji oren kepada pekerja kebersihan, sudah cukup membuatkan kita mendapat doa daripadanya.

Kita gembirakan orang lain, Allah SWT pasti gembirakan hati kita pula. Dalam diam, siapa tahu kita bertuah mendapat doa tulus ikhlas daripada saudara seagama.

Insya-Allah, itu antara doa yang diaminkan malaikat. Selama menghadapi kontraksi, bacalah al-Quran dan fahami maksudnya.

Semakin lama menunggu bukaan jalan, semakin banyak boleh baca al-Quran. Begitu juga, baca bacaan yang boleh menyiapkan minda kita dengan fikiran positif. Solat juga jangan dilupa.

Selagi belum bersalin, kita tetap perlu solat. Solat secara jamak pun tidak mengapa jika ia memerlukan.

Penulis pendakwah dan penulis buku

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2019 @ 2:15 PM