GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Mohamad Muhaimin Mohamad Zaki

UMAT Nabi Muhammad sangat beruntung kerana dapat merasai mukjizat al-Quran. Berbeza kitab lain, setiap huruf al-Quran memberikan ganjaran pahala kepada setiap pembacanya.

Khabar gembira itu ditegaskan melalui sabda Nabi dalam sebuah hadis bermaksud: “Siapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran maka baginya satu kebaikan dengan bacaan tersebut, satu kebaikan dilipatkan menjadi 10 kebaikan semisalnya dan aku tidak mengatakan alif laam miim satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Laam satu huruf dan Miim satu huruf.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)

Al-Quran bukan sahaja untuk dibaca, dihafal atau ayatnya dijadikan hiasan di dinding rumah, namun perlu diterjemahkan dalam kehidupan seseorang Muslim.

Bila kali terakhir kita khatam al-Quran? Adakah kita hanya membudayakan al-Quran ketika bulan Ramadan?

Kita perlu menjadi golongan digelar sebagai sebaik-baik umat iaitu terbabit dalam proses pengajaran dan pembelajaran al-Quran.

Bukan saja mendapat ketenangan, bahkan kehidupan lebih terurus apabila rahmat daripada pembudayaan al-Quran itu memancar dalam kehidupan.

Amat malang jika umur yang semakin meningkat, tetapi diri masih tidak tahu membaca al-Quran. Ada ganjaran dijanjikan Nabi Muhammad kepada mereka yang masih lemah penguasaan al-Quran, namun mereka memiliki keazaman tinggi untuk memperbaikinya.

Aisyah R.A meriwayatkan, Rasulullah bersabda bermaksud: “Orang yang membaca al-Quran dan dia mahir membacanya, dia bersama dengan malaikat yang mulia. Dan orang yang membaca al-Quran dengan tergagap-gagap (tidak mahir) serta sukar membacanya, baginya ganjaran dua pahala” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Melalui pengamalan penulis yang menjadi guru agama dan al-Quran, sebilangan individu menjadikan alasan sibuk dan malas bagi mengelakkan diri mempelajari al-Quran.

Lebih menyedihkan, ada segelintir masyarakat bersikap suka memperkotak-katikkan amalan membaca al-Quran pada malam dan waktu tertentu.

Pernah kita fikir kenapa fikiran selalu berserabut dan sering memikirkan pelbagai masalah duniawi? Kata ulama, kita banyak mendengar kata-kata manusia yang tidak terlepas daripada dosa berbanding dengan kata-kata Allah yang terhindar daripada sebarang dusta.

Allah berfirman yang bermaksud: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah hati menjadi tenteram” (Surah Ar-R’ad ayat 28)

Justeru, beberapa langkah perlu diberikan keutamaan supaya membaca al-Quran itu dapat dijadikan amalan rutin.

Pertama, jangan merasa rendah diri sekiranya tidak mahir membaca al-Quran. Ambil masa mempelajarinya kerana ia akan menjadi syafaat dan hujah buat diri kita di akhirat kelak.

Ada pelbagai cara untuk mempelajari al-Quran sama ada secara bersemuka, dalam talian dan sebagainya.

Selain itu, amalan bertadarus atau diadakan secara halaqah (kumpulan kecil) juga dapat merangsang minat seseorang mendalami al-Quran.

Apabila belajar seorang diri memang mudah merasa malas, namun jika dilakukan secara berjemaah pasti ada rakan menyuntik semangat selain menyemak kualiti bacaan.

Ia penting supaya kesalahan dapat diperbaiki dan tidak berulang lagi. Seterusnya, menanam tekad supaya dapat mengubah diri ke arah lebih baik sejajar pertambahan usia.

Apabila al-Quran dibudayakan seperti dilakukan golongan salafussoleh terdahulu, antara ganjaran dan kebaikan yang diperoleh termasuk memiliki daya ingatan yang kuat, memperelok pandangan mata, dimurahkan rezeki serta dipermudahkan segala gerak kerja.

Malah, turut dijanjikan pelbagai kenikmatan bermula saat kematian, sewaktu berada di dalam kubur dan dimuliakan Allah pada hari kiamat kelak.

Penulis penuntut Ijazah Doktor Falsafah Pengajian Islam (Syariah), Bahagian Pengajian Islam, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 12:39 PM