FOTO Hiasan. Youtube
FOTO Hiasan. Youtube
Sedetik Rasa

TERDAPAT satu doa yang Nabi SAW pesan kepada Saidina Muaz bin Jabal supaya tidak sesekali ia ditinggalkan selepas melaksanakan solat iaitu Allahumma a’inna ‘alaa zikrika wa shukrika wa husni ‘ibadatika bermaksud: “Ya Allah, bantulah aku untuk sentiasa mengingatiMu.”

Semua nabi dan rasul sentiasa mengingati Allah SWT pada setiap masa. Amalan berzikir adalah antara jalan paling luas untuk mengenal Allah SWT serta ingin berada hampir dengan-Nya.

Malah, kelebihan berzikir juga ada diceritakan di dalam al-Quran iaitu sewaktu Nabi Yunus ditelan ikan Nun. Selepas ikan yang besar itu menelan Nabi Yunus ia berenang ke dasar laut.

Mengikut logik, tiada manusia yang boleh hidup dalam keadaan begitu. Bagaimanapun, satu ibadat yang tidak pernah ditinggalkan Nabi Yunus ketika menghadapi saat-saat sukar serta berada dalam suasana gelap gelita di dalam perut ikan Nun itu adalah zikir.

Nabi Yunus berdoa kepada Allah SWT, La ilaha illa anta, Subhanaka, inni kuntu minaz zhalimin yang bermaksud: “Tiada Tuhan melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau, Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang yang menganiaya diri sendiri.”

Setiap zikir yang diamalkan, bahkan ibadat lain termasuk membaca al-Quran, solat dan doa kita akan diangkat ke langit.

Ada zikir yang naik sehingga langit pertama saja kemudian ia akan hilang. Bagaimanapun, zikir para nabi akan naik dari langit pertama hingga ketujuh, malah dikenali oleh seluruh penduduk di langit.

Sebab itu, ada orang jasadnya berjalan di atas muka bumi tetapi namanya sentiasa disebut dan dikenali seluruh penduduk langit.

Nabi Yunus adalah seorang yang cukup terkenal di langit. Ketika Nabi Yunus berterusan berzikir, ia naik ke langit dan suaranya itu sangat dikenali semua malaikat.

Bagaimanapun, zikir yang diungkapkan itu datangnya dari tempat yang pelik iaitu Nabi Yunus berzikir dari dalam perut ikan Nun yang terletak di dasar laut.

Sebab itulah penting sekali memanjatkan doa serta merayu kepada Allah SWT supaya menerima segala amal ibadat yang kita lakukan.

Allah SWT turut merakamkan keadaan zikir Nabi Yunus itu. Allah SWT menyatakan di dalam al-Quran, sekiranya Nabi Yunus tidak memperbanyakkan zikirnya, maka baginda tidak akan diselamatkan oleh-Nya.

Seperkara lagi hakikat yang manusia perlu ingat dan dijadikan panduan untuk selalu melazimi amalan berzikir. Tidak kira apa saja makhluk yang berada di atas muka bumi ini turut berzikir kepada Allah SWT dengan cara mereka sendiri yang tidak difahami manusia.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucapkan tasbih bagi Allah dan tiada sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya, akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun. (Surah al-Israa’, ayat 44)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 January 2019 @ 1:30 AM