FOTO Hiasan.
FOTO Hiasan.
AL-FIQH

1. SETIAP kali imam meninggikan suaranya menyebut takbir intiqalat (Allahuakbar) sama ada daripada berdiri ke rukuk atau bangun daripada sujud dia berniat sebagai zikir dan juga untuk memaklumkan tentang pergerakannya. Adakah niat itu memadai sekali saja pada awal atau dimestikan pada setiap kali?

Setiap kali dia meninggikan suaranya menyebut takbir intiqalat, dia perlu berniat untuk memberitahu makmumnya tentang pergerakannya di samping niat sebagai zikir. Jika tidak diniatkan demikian atau ia niat secara umum saja, maka batal solatnya itu.

2. Seseorang yang sedang duduk membaca tasyahud akhir tiba-tiba membongkok badan dan menundukkan kepalanya kerana sesuatu sebab atau tujuan sehingga menyamai rukuk bagi mereka yang solat secara duduk. Kemudian dia menegakkan semula badannya, adakah perbuatan itu boleh membatalkan solat atau tidak?

Tidak membatalkan solat melainkan jika dia berniat untuk menambah rukun iaitu rukuk, maka batal solatnya.

3. Ada pendapat mengatakan, jika seseorang yang sedang bersolat itu mengeluarkan kata-kata yang sedikit secara tidak sengaja atau terlupa, ia tidak membatalkan solatnya. Apakah yang dimaksudkan dengan kata-kata yang sedikit itu?

Apa yang dimaksudkan dengan kata-kata sedikit itu adalah tidak melebihi enam perkataan dan berlaku secara tidak sengaja (lupa).

Jika dia syak, katakata itu membatalkan solatnya atau tidak, lalu dia pun berkata-kata pula dengan perkataan yang sedikit secara tidak sengaja, maka tidak membatalkan solatnya selagi jumlah perkataan yang disengajakan dan yang tidak disengajakan itu masih dikira sedikit selain ia berlaku secara tidak berturut-turut antara sengaja dan tidak sengaja.

Tetapi jika jumlah keseluruhan perkataan itu melebihi had dan berlaku secara berturut-turut, maka batal solatnya. (Bujairimi)

4. Apabila seseorang sedang solat, jika melakukan perkara makruh, adakah gugur sekalian pahala solatnya atau hanya gugur pahala perkara yang makruh itu saja?

Jika orang yang solat itu melakukan sesuatu yang makruh dan ia bukan daripada perbuatan yang dimakruhkan dalam solat, maka tidak menghalang dia daripada mendapat pahala solatnya.

Namun, sekiranya dia melakukan sesuatu yang makruh, dihukum sebagai perkara makruh dalam pelaksanaan solat, maka tiada pahala solatnya itu.

Sumber: Furu’ Al-Masa’il wa Usul al-Wasa’il oleh Maulana Al-Syeikh Daud bin Abdullah Al-Fathani dan disusun semula oleh Datuk Abu Hasan Din Al-Hafiz

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Disember 2018 @ 1:30 AM