GAMBAR hiasan. FOTO Iqmal Haqim Rosman
GAMBAR hiasan. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Qira’ah Fatwa

Saya dari Kuala Lumpur hendak balik ke Perak menggunakan perkhidmatan kereta api ETS yang dijadualkan bertolak jam 4 petang dan dijangka tiba di Perak jam 6 petang.

Saya bergerak dari kolej sebelum Zuhur dengan tujuan untuk berjalan-jalan bersama kawan di pasar raya stesen ETS berkenaan.

Bolehkah saya solat Zuhur dan Asar secara jamak taqdim dan qasar di surau pasar raya berkenaan?

ALLAH SWT memberikan rukhsah iaitu keringanan bagi umat Islam yang bermusafir untuk memendekkan solat empat rakaat kepada dua rakaat.

Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa ‘mengqasarkan’ (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir.” (Surah al-Nisa’, ayat 101)

Ibnu al-Arabi ketika mentafsirkan ayat itu mengatakan: “Dan yang berkata yang dimaksudkan mengqasarkan ialah memendekkan jumlah daripada empat kepada dua.” (Rujuk Ahkam al-Quran - 2/459)

Ibnu Kathir menyatakan ayat itu bermaksud mengurangkan jumlahnya iaitu memendekkan solat yang empat rakaat kepada dua rakaat. (Rujuk Tafsir al-Quran al-Azim - 1/672)

Bahkan, Nabi SAW menyatakan rukhsah qasar adalah pemberian daripada Allah SWT.

Sabda Nabi Muhammad SAW daripada Saidina Umar bin al-Khattab bermaksud: “Ia adalah sedekah yang diberikan Allah ke atas kalian. Maka terimalah pemberiannya.” (Riwayat Muslim - 1605)

Syarat bagi membolehkan solat qasar dilakukan ketika bermusafir ada 11. Antara syarat itu ialah jarak perjalanan atau permusafiran melebihi dua marhalah iaitu dianggarkan sejauh 82 kilometer.

Ulama membincangkan juga bilakah bermulanya permusafiran seseorang sehingga dibenarkan untuk mengqasar dan menjamakkan solatnya.

Imam al-Nawawi menyatakan, jika seseorang bermusafir dari satu negeri, maka awal permusafirannya adalah ketika dia melepasi tembok kawasan.

Jika di belakangnya ada bangunan, mengikut qaul al-asah, dia perlu melepasi bangunan berkenaan.

Jika tiada tembok, maka awal permusafirannya adalah ketika dia melepasi bangunan. Bukannya kebun, kawasan kampung atau daerah sama seperti negeri. (Rujuk Minhaj al-Talibin wa Umdah al-Muftin - halaman 128)

Dapat difahami daripada kenyataan Imam al-Nawawi bahawa bermula permusafiran seseorang itu ketika seseorang keluar melepasi kawasan dia bermukim.

Ibnu Naqib al-Misri menyebut, sekiranya satu-satu negeri itu ada tembok, maka boleh diqasarkan solat dengan hanya melepasi tembok berkenaan.

Sama ada di luar tembok itu ada bangunan atau tidak. Jika tidak ada tembok, maka perlulah melepasi bangunan keseluruhannya. Tidak disyaratkan melepasi kebun, ladang dan tanah perkuburan yang ada. (Rujuk ‘Umdah al-Salik wa ‘Uddah al-Nasik - halaman 138)

Oleh itu, berdasarkan penjelasan itu, kami berpandangan boleh untuk melakukan solat Zuhur dan Asar secara qasar dan jamak di surau pasar raya itu kerana saudara sudah melepasi kawasan atau daerah permukiman.

Ditambah pula jarak permusafiran di antara tempat mula ke destinasi yang ingin dituju melebihi dua marhalah.

Sumber: Al-Kafi Li Al-Fatawi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Disember 2018 @ 12:10 AM