FOTO Hiasan.
FOTO Hiasan.
Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin

NABI Muhammad SAW sangat mempertahankan martabat manusia. Baginda SAW sentiasa mempertingkatkan status seseorang kerana semua manusia berasal daripada keturunan Nabi Adam.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami memuliakan anak-anak Adam, dan Kami beri mereka menggunakan pelbagai kenderaan di darat dan di laut, dan Kami memberikan rezeki kepada mereka daripada benda-benda yang baik-baik serta Kami lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang Kami ciptakan.” (Surah al-Isra’, ayat 70)

Setiap manusia mempunyai hak di hadapan Allah SWT. Namun, mereka dibezakan melalui ketaatan, keimanan serta mengamalkan akhlak yang baik.

Baginda SAW mempamerkan ciri-ciri itu dalam tingkah laku serta ketika berurusan dengan orang bukan Islam. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila kamu melihat jenazah maka bangunlah sehingga ia melintasi kamu.” (Riwayat Bukhari)

Suatu hari, Rasulullah mendapati rombongan yang mengangkat jenazah lalu di hadapan kemudian Nabi SAW pun berdiri. Sahabat segera memberitahu: “Itu jenazah orang Yahudi.” Nabi SAW pun menjawab: “Bukankah ia juga manusia?”

Rasulullah SAW juga pernah mengunjungi bukan Islam yang ditimpa penyakit iaitu bapa saudaranya, Abu Talib dan seorang budak lelaki Yahudi.

Islam turut memelihara hak jiran. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Jiran itu ada tiga golongan, ada jiran yang hanya mempunyai satu hak dan ada jiran yang mempunyai dua hak dan ada jiran yang mempunyai tiga hak.

Jiran yang mempunyai tiga hak itu adalah jiran Muslim dan yang mempunyai hubungan kekeluargaan. Maka, mereka mempunyai hak sebagai jiran, hak sebagai Muslim dan hak sebagai keluarga. Jiran yang mempunyai dua hak ialah jiran yang Muslim. Ia mempunyai hak sebagai seorang Muslim. Jiran yang mempunyai satu hak ialah jiran yang musyrik.” (Hadis Riwayat Abu Na’im dan Ibnu ‘Adiy)

Orang bukan Islam tetap mempunyai hak sebagai seorang jiran. Manusia secara fitrahnya hidup bermasyarakat kerana setiap orang saling memerlukan antara satu sama lain.

Nabi Muhammad SAW tidak diutus untuk menghalang manusia yang tidak mengikut Baginda daripada sebarang kebebasan. Sebaliknya, Baginda melayan mereka dengan penuh toleransi yang jarang berlaku.

Prinsip paling penting ketika Nabi Muhammad SAW melayani orang bukan Islam ialah tidak ada paksaan dalam beragama.

Walaupun Nabi Muhammad dan sahabat Baginda percaya ia adalah hak individu untuk mengamalkan Islam, mereka tidak pernah sama sekali memaksa seseorang itu untuk menganut agama Islam.

Al-Quran menekankan maksud itu dengan jelas menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Tidak ada paksaan dalam agama kerana sesungguhnya nyata kebenaran daripada kesesatan.” (Surah al-Baqarah, ayat 256)

Rasulullah SAW tidak pernah memaksa sesiapa untuk menerima agama Islam.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan jikalau Tuhanmu menghendaki, tentulah beriman semua orang yang di muka bumi seluruhnya. Maka apakah kamu (hendak) memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman semuanya?” (Surah Yunus, ayat 99)

Penulis Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan Profesor di Universiti Putra Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Disember 2018 @ 1:22 AM