FOTO Hiasan. Agensi
FOTO Hiasan. Agensi
Kembara Mukmin

JANGAN tinggalkan walaupun satu amal soleh meskipun kita rasakan ia kecil. Gunakan peluang melakukan amal kebaikan pada setiap masa biarpun hanya memberi senyuman kepada orang lain.

Dalam satu hadis sahih Riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jangan kamu memandang rendah terhadap perkara-perkara yang kecil (iaitu kerana ia amat besar timbangannya di sisi Allah SWT) walaupun hanya sekadar berwajah manis kepada saudara kamu.” (Hadis Riwayat Muslim)

Selain itu, jika ada orang susah, cuba kita ringankan tangan membantunya. Begitu juga jika ada orang sakit, kita perlu ziarah dan memberi kata-kata semangat kepadanya.

Lakukan apa saja amal soleh tanpa memilih kerana kita semua tidak pernah mengetahui kadar pahala yang dijanjikan Allah SWT.

Untuk melakukan amal soleh itu pada awalnya ia mesti dipaksa. Misalnya, bukan mudah untuk kita bangun melaksanakan solat malam.

Seandainya tidak dipaksa, mungkin sampai bila-bila pun kita tidak akan mampu melakukannya. Sama juga halnya dengan membaca al-Quran, jika kita tidak paksa atau membuat jadual untuk menjadikannya rutin harian, sudah pasti untuk membaca sebaris ayat sekalipun tidak mampu dilakukan.

Semua itu terjadi kerana syaitan akan sentiasa memasukkan angan-angan sehingga seseorang itu bertangguh. Ia sudah cukup untuk melemahkan manusia, seterusnya meninggalkan amal soleh berkenaan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan), dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.” (Surah al-Ankabut, ayat 69)

Sementara itu, jika ada ahli keluarga yang sudah meninggal dunia, terdapat beberapa amal soleh yang boleh dilaksanakan anak mereka.

Antaranya, memperbanyakkan beristighfar memohon supaya Allah SWT mengampuni serta merahmati mereka. Sebagaimana kita melaksanakan solat jenazah, maka doa itulah yang kita semua mohon daripada Allah SWT.

Terdapat dalam hadis menyatakan, Allah akan meninggikan darjat seorang hamba soleh di syurga. Orang itu bertanya kepada Allah SWT bagaimana pahala-pahala itu diperolehnya. Lalu Allah SWT menyatakan, semua itu kerana istighfar daripada anaknya.

Daripada Abu Hurairah, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah ‘Azza Wajalla meninggikan darjat seorang hamba-Nya yang soleh di syurga sehingga hamba itu bertanya: ‘Ya Rabb, Bagaimanakah semua ini (boleh menjadi) milikku? Allah menjawab dengan firman-Nya bermaksud: ‘Kerana istighfar anakmu untuk dirimu.’” (Hadis Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)

Maka, amat beruntung sekali orang tua yang beriman dan beramal soleh. Lebih daripada itu, dia memiliki anak serta zuriat keturunan yang sentiasa mendoakan kesejahteraan ketika mereka hidup dan meninggal dunia.

Kemudian, setiap Mukmin perlu berusaha untuk menyebar atau mengajarkan ilmu kepada orang lain.

Ibu bapa terutamanya perlu sentiasa titipkan pesanan agama buat anak mereka.

Contohnya, apabila seorang ayah mengajar anak-anaknya memakai pakaian sopan dan menutup aurat sehingga perkara itu menjadi pegangan hidup anaknya, maka sudah pasti perkara itu menjadi ilmu bermanfaat yang pahalanya berkekalan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 November 2018 @ 1:30 AM