FOTO Hiasan.
FOTO Hiasan.
Fadly Samsudin

BAGI umat Islam, isu lesbian, gay, biseksual, transgender (LGBT) adalah isu akidah yang sangat serius. Status jantina dan orientasi seksual mengelirukan golongan mengamalkan LGBT itu akan menyebabkan berlakunya kerosakan yang sangat besar terhadap hukum-hakam dalam perkahwinan, faraid dan keturunan manusia.

Penyakit LGBT jelas bukannya disebabkan sifat semula jadi atau sesuatu yang ditentukan oleh genetik. Ia adalah pengaruh

yang ‘diasuh’, kemudian terus diparahkan lagi dengan faktor persekitaran serta gerakan komunitinya yang semakin lantang menuntut hak mereka diiktiraf.

Dalam sejarah, al-Quran menyebut bagaimana kaum Nabi Luth diazab disebabkan mereka melakukan jenayah seperti apa yang manusia lakukan pada hari ini.

Firman Allah dalam Surah al-A’raaf, ayat 80 hingga 84 yang bermaksud: “Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: ‘Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun daripada penduduk alam ini sebelum kamu?

‘Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas.

‘Dan tidak ada menjawab daripada kaumnya selain daripada berkata: ‘Usirlah mereka (Nabi Lut dan pengikut-pengikutnya yang taat) dari bandar kamu ini, sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang (mendakwa) mensucikan diri.

‘Maka Kami selamatkan dia dan keluarganya (serta pengikut-pengikutnya) melainkan isterinya, adalah ia daripada orang-orang yang dibinasakan. Dan Kami menghujani mereka dengan hujan (batu yang membinasakan). Oleh itu, lihatlah, bagaimana akibat orang-orang yang melakukan kesalahan.’”

Bagaimanapun, Islam menzahirkan pendekatan cukup indah dan terbaik iaitu masalah LGBT yang melanda seluruh dunia ketika ini perlu dibendung dengan bijaksana. Bukannya bersifat menghukum, tetapi ingin mendekati mereka dengan memberi keadilan serta mengajak semula kepada kehidupan diredai Allah SWT

Pensyarah Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Ustaz Mohd Faizul Azmi berkata, penyelesaian kepada isu LGBT perlu bertepatan dengan ciri utama Islam yang bersifat syumul dalam menguruskan dan memberi panduan kepada manusia.

Menurutnya, masyarakat perlu diberi kesedaran bahawa kumpulan atau gerakan LGBT terbabit sekarang bergerak secara terancang dan bersifat global.

“LGBT bukan lagi gerakan bersifat individu, malah ia kumpulan yang bergerak secara global serta mempunyai falsafah. Apabila ia membentuk satu gerakan falsafah tersusun, sudah pasti mereka mempunyai agenda besar dalam mengubah sesebuah masyarakat.

“Fenomena tidak sihat itu bukan hanya dihadapi negara kita, tetapi turut membabitkan masyarakat dunia dan agama lain. Sekiranya golongan LGBT boleh bersatu di bawah payung yang sama dalam memperjuangkan dan menuntut hak songsang mereka, kita sepatutnya menggerakkan usaha bagi membasmi gejala itu.

“Bermula dengan sekecil-kecil perkara sehinggalah kepada perkara yang lebih besar dan rumit. Contohnya, menjelaskan kepada masyarakat dari sudut psikologi, hukum syarak, undang-undang, dakwah, perubatan, sosial dan hak asasi,” katanya.

Mohd Faizul berkata, golongan terbabit sebenarnya mendapat sokongan dan pembiayaian dari luar untuk menggerakkan kumpulan itu.

“Selain itu, umat Islam berdepan dengan perkembangan membabitkan tuntutan hak asasi manusia yang bergerak di bawah Gabungan NGO Hak Asasi Manusia (COMANGO).

“Negara kita juga tidak terkecuali kerana apabila hak minoriti diletakkan sebagai perkara penting untuk mendapat status negara maju, maka tuntutan golongan terbabit perlu mengikut kehendak serta prinsip antarabangsa.

“Apabila kerenah serta tuntutan yang dinyatakan tidak dilayan, mereka akan menimbulkan kekecohan serta terus mendesak badan antarabangsa itu,” katanya.

Beliau berkata, jika dahulu mungkin ada ibu bapa marahkan anaknya berpewatakan lembut, mereka akan pulau serta menghalau anak itu dari rumah.

“Hari ini cukup berbeza. Jika itu tindakan dilakukan terhadap anak yang mempunyai masalah LGBT, di luar sana terdapat komuniti yang akan membela sehingga dia akan kekal dalam keadaan begitu.

“Untuk menarik semula golongan itu kembali kepada fitrah, diri pelaku itu sendiri perlu mengetahui bagaimana tahap kesedaran perbuatan yang mereka lakukan itu salah di sisi agama, moral dan kemanusiaan.

“Contohnya, dalam fiqh turut dibincangkan berhubung masalah antaranya golongan mukhannas dan khunsa. Masyarakat kita ada juga yang terkeliru antara kedua-duanya.

“Khunsa adalah seorang yang mempunyai dua alat kelamin manakala mukhannas pula adalah lelaki yang tingkah laku, keadaan dan perasaannya dibuatbuat seperti perempuan, bukannya terjadi secara semula jadi.

“Dahulu, ulama tidak membincangkan perkara itu secara terperinci kerana perkara yang ganjil atau pelik tiada hukum baginya. Bagaimanapun, melihat kepada statistik individu yang terbabit dengan LGBT ini semakin meningkat, maka kita semua perlu sepakat menyatakan ia satu perkara yang merosakkan masyarakat, negara dan tamadun,” katanya.

Katanya, kita tetap mengiktiraf golongan yang terjebak dengan LGBT itu dari sudut diri mereka sebagai manusia serta tidak menafikan hak yang sepatutnya mereka dapat.

“Mereka juga tidak terlepas daripada melakukan kesalahan seperti kita namun tidak sekali-kali kita reda dengan perbuatan dan maksiat yang mereka lakukan kerana ia bertentangan dengan fitrah dan ajaran Islam,” katanya.

Penulis wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Oktober 2018 @ 2:00 AM