FOTO Hiasan.
FOTO Hiasan.
Sedetik Rasa

IBNU Qayyim berkata: “Maut itu adalah kebangkitan dan tempat kembali yang pertama. Allah menciptakan dua tempat kembali untuk setiap anak Adam dan dua kebangkitan.

“Kebangkitan pertama adalah perpisahan roh dengan jasad serta kembali semula ke tempat pembalasan pertama manakala kiamat besar adalah binasanya seluruh alam semesta serta makhluk hidup di dalamnya dan kemudian berganti menjadi alam akhirat.”

Tujuan hidup setiap manusia di atas muka bumi ini adalah untuk menyerahkan seluruh dirinya bagi menyembah Allah SWT.

Akhirat adalah kemuncak segala kehidupan. Nabi Muhammad SAW mengajar kita supaya meninggalkan ilmu yang bermanfaat, harta benda yang diinfakkan ke arah kebaikan serta anak-anak yang soleh sebagai jariah yang akan terus mengalirkan pahalanya meskipun tiada lagi amalan dapat dilakukan selepas kematian.

Allah SWT mengingatkan kita perihal orangorang yang sangat cintakan dunia serta mengumpul harta.

Mereka menyangka kekayaan yang dimiliki itu akan membuatkannya kekal hidup lama. Sebenarnya mereka berada dalam kerugian dan kesesatan.

Selepas meninggal dunia, tiada lagi peluang untuk melakukan amal kebaikan. Bagaimanapun, antara perkara yang dapat menghapuskan dosa selepas seorang itu meninggal dunia adalah istighfar iaitu permohonan orang-orang Islam lain kepada Allah SWT untuk saudara mereka yang meninggal dunia.

Di dalam al-Quran turut dinyatakan lima jenis ujian yang Allah SWT berikan kepada manusia iaitu ketakutan, kelaparan, kekurangan harta benda, kehilangan jiwa dan kebuluran.

Lima ujian itu adalah musibah yang dapat dijadikan petunjuk kepada manusia. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan daripada harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jua kami kembali. Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan daripada Tuhan mereka serta rahmat-Nya dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya.” (Surah al-Baqarah, ayat 155 hingga 157)

Dalam kelekaan manusia menghadapi dunia yang penuh ‘permainan’ ini menyebabkan hati semakin keras. Hanya dengan mengingati mati membolehkan manusia mempersiapkan bekalan bagi menghadapi perjalanan untuk menghadapi fasa seterusnya.

Maka, bersegeralah kita meninggalkan segala angan-angan kosong sehingga menyebabkan diri sentiasa sibuk mengejarnya. Tiada salahnya bercita-cita untuk mencapai sesuatu yang diingini namun jangan abaikan atau mengganggu ibadat kita kepada Yang Maha Esa.

Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Segeralah beramal sebelum datang tujuh perkara, apakah kalian akan menanti sampai datang kemiskinan yang melupakan, atau kaya yang membuat sombong, atau sakit yang merosakkan kehidupan, atau tua yang melemahkan kekuatan, atau kematian yang membinasakan, atau datangnya dajjal, makhluk ghaib yang paling buruk dinanti, atau datangnya hari kiamat, hari yang sangat dahsyat dan mengerikan?” (Hadis Riwayat Tirmizi)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Oktober 2018 @ 1:29 AM