FOTO hiasan. FOTO Raja Noraina Raja Rahim
FOTO hiasan. FOTO Raja Noraina Raja Rahim
Sedetik Rasa

Sakaratul maut antara peristiwa yang akan dilalui setiap manusia ketika di ambang kematian. Keadaan penderitaan ketika manusia melalui saat itu digambarkan cukup dahsyat.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-An’am, ayat 93 yang bermaksud: “Alangkah dahsyatnya sekiranya kamu melihat individu zalim itu dalam penderitaan sakaratul maut.

“Pada masa nyawa hampir putus, malaikat-malaikat menghulurkan tangan mereka bagi memukul dan menyeksa individu itu sambil berkata dengan menengking dan mengejek, ‘Keluarkan nyawa kamu daripada tubuh kamu sendiri.’

“Pada hari ini kamu dibalas dengan azab seksa yang menghina kamu sehina-hinanya. Ini kerana apa yang kamu lakukan kepada Allah adalah tidak benar dan kamu menolak dengan sombong dan takbur pada ayat-ayat keterangan-Nya.

“Tidak kira siapa pun kita, semua akan merasai betapa azab dan sakitnya mati kecuali mereka yang mati syahid. Al-Hasan meriwayatkan, Rasulullah SAW pernah mengingatkan perihal sakitnya serta keperitan akibat kematian.”

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Rasanya seperti dilibas 300 kali dengan pedang.” (Hadis diriwayatkan Ibnu Abi Dunya.”

Selain itu, Rasulullah SAW berkata, ketika Baginda sedang menghadapi sakaratul maut, maksudnya: “Sekiranya anak cucu Adam (manusia) tidak lakukan kecuali hanya bagi menghadapi kematian, dia pasti beramal.” (Hadis direkodkan oleh Ahmad)

Zaid bin Aslam berkata, “Sekiranya masih ada secebis dosa pada diri orang beriman yang tidak ditutup oleh amal kebaikannya, disulitkan untuknya kematian supaya dia dapat sampai ke syurga dengan sakaratul maut dan kesulitannya itu. Manakala golongan kafir yang melakukan kebaikan di dunia, dipermudahkan kematiannya sebagai balasan kebaikannya di dunia supaya dia dapat meneruskan perjalanannya menuju ke neraka.”

Bagi orang Mukmin, beruntunglah mereka apabila saat kematiannya ia dilakukan dengan lemah lembut oleh malaikat.

Al-Bara bin Azib berkata, pada satu hari kami mengiringi jenazah lelaki daripada golongan Ansar bersama Rasulullah sehingga sampai ke kuburnya.

Ketika jenazahnya dimasukkan ke dalam liang lahad, kami melihat Rasulullah duduk dan kami duduk mengelilinginya.

Kami terdiam menundukkan kepala seolah-olah ada burung di atas kami. Kemudian, Nabi menegakkan pandangannya ke atas dan ke bawah.

Selepas itu, Nabi menyatakan, “Aku berlindung dengan Allah daripada seksa kubur.”

Nabi mengulanginya beberapa kali kemudian menyatakan: “Sekiranya manusia meninggal dunia dan menghadap akhirat, sebelum mati dia didatangi malaikat yang duduk dekat kepalanya sambil berkata: ‘Keluarlah wahai jiwa yang tenang dan baik, pergi menuju ampunan dan keredaan Allah. Roh manusia itu pun keluar dan mengalir bagaikan titisan air.’”

Allah SWT akan memberi ganjaran kepada hamba-Nya atas setiap perkara yang dilakukannya.

Begitu juga dengan penderitaan ketika melalui saat kematian iaitu ketika menghadapi sakaratul maut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 September 2018 @ 12:08 PM