UMAT Islam harus menjadikan iktibar kejadian Laut Mati supaya menjauhi larangan Allah SWT.
UMAT Islam harus menjadikan iktibar kejadian Laut Mati supaya menjauhi larangan Allah SWT.
Fadly Samsudin

Sebagaimana kita ketahui, kaum Nabi Luth ditimpa azab serta penghinaan daripada Allah SWT akibat keingkaran serta sifat melampau mereka mengamalkan hubungan homoseksual.

Dalam kisah Nabi Luth, selepas matahari terbit tibalah seksaan Allah SWT dengan menurunkan hujan batu daripada tanah liat yang panas serta gegaran yang kuat sehingga kota itu musnah terbalik.

Kisah itu perlu dijadikan iktibar bukan hanya buat golongan homoseksual semata-mata, malah apa saja bentuk dorongan seksual songsang lain termasuk pengamal gaya hidup lesbian, biseksual dan transgender perlu berasa gerun dengan ancaman azab yang cukup dahsyat itu.

Berdasarkan perkembangan masyarakat hari ini, kita berasa sangat bimbang kerana ada yang semakin berani mencabar untuk terus mengamalkan budaya yang bertentangan dengan nilai moral sebagai manusia itu.

Kisah mengenai kemusnahan kaum Nabi Luth itu dinyatakan dengan jelas dalam Surah al-Hijr.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Akhirnya mereka pun dibinasakan oleh letusan suara yang menggemparkan bumi ketika matahari terbit. Maka Kami jadikan negeri kaum Luth itu tunggang balik (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan kami hujani atasnya dengan batu daripada tanah yang dibakar. Sesungguhnya balasan azab yang demikian itu mengandungi tanda-tanda bagi orang-orang yang kenalkan sesuatu serta memerhati dan memikirkannya. Dan sesungguhnya negeri kaum Luth yang dibinasakan itu terletak di jalan yang tetap (dilalui orang). Sesungguhnya keadaan yang demikian, mengandungi satu tanda yang memberi kesedaran kepada orang-orang yang beriman.” (Surah al-Hijr, ayat 73-77)

Bandar yang didiami kaum Nabi Luth digelar Sadom. Sehingga ke hari ini, kesan bala itu masih dapat dilihat sekiranya berpeluang pergi ke Jordan.

Seorang ahli arkeologi dari Jerman, Werner Keller yang membuat kajian di Laut Mati menyatakan, kawasan itu bukan tasik biasa tetapi ia terbentuk hasil malapetaka besar yang menimpa.

Di dalam al-Quran menyatakan, Allah SWT perintahkan Malaikat Jibril ‘jerkah’ mereka pada waktu subuh. Jerkahan Jibril ketika itu menjadi satu azab buat kaum Luth.

Tidak takutkah kita sekiranya bala seumpama itu atau lebih dahsyat lagi menimpa seandainya perilaku jijik itu terus berlaku dalam masyarakat kita?

Kita bimbang bala itu hadir tanpa sempat kita memohon keampunan daripada Allah SWT. Golongan songsang itu sebenarnya semakin menjadi-jadi kerana komuniti mereka semakin ramai, malah ada segelintir pihak mempertahankannya.

Selain itu, slogan yang sering dilaungkan menyatakan kecenderungan mereka itu adalah hak asasi yang perlu dihormati dan diiktiraf.

Begitulah keadaannya apabila nafsu sudah menguasai diri, hilanglah perasaan malu walaupun perbuatan yang dilakukan itu jijik dan terkutuk!

Semua itu adalah budaya kebebasan yang kini ada yang diamalkan di negara Barat. Sebenarnya, tiada satu agama pun membenarkan aktiviti atau hak untuk menikmati hubungan sejenis.

Seks sebenarnya adalah cabang kehidupan yang diiktiraf Islam dan ia dikira ibadat bagi memenuhi tuntutan antara pasangan lelaki dan perempuan yang sudah berkahwin.

Perkahwinan antara lelaki dan perempuan antara nikmat tertinggi Allah kurniakan kepada hamba-Nya supaya mereka dapat mengecapi kebahagiaan bersama pasangannya.

Selain azab menimpa kaum Nabi Luth, satu kejadian turut menimpa sebuah kota purba terkemuka dalam Empayar Rom di Itali dikenali Kota Pompeii.

Satu kejadian dahsyat melanda apabila keseluruhan bangunan serta penduduknya tertanam lebih 18 meter di dalam abu gunung berapi.

Pada 1594, ketika kerja menggali di kaki gunung berapi Vesuvius itu dijalankan, mereka menemui artifak serta puluhan tubuh manusia yang keras menjadi batu.

Kemusnahan Kota Pompeii dari muka bumi terjawab apabila masyarakat Pompeii dipercayai menjadikan kota itu sebagai pusat pelacuran dan aktiviti seks bebas.

Lebih mengejutkan, penemuan tubuh manusia yang menjadi batu itu berada dalam posisi seperti sedang melakukan persetubuhan termasuk liwat.

Penulis wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Ogos 2018 @ 11:36 AM