Fadly Samsudin

Masyarakat kita sering mengaitkan mimpi sebagai petunjuk kepada sesuatu sama ada ia perkara baik atau buruk. Contohnya, jika bermimpi dipatuk ular tandanya akan ada orang masuk meminang.

Jika mimpi gigi patah dikatakan akan ditimpa kecelakaan. Pernah ketika kecil, ibu bapa kita menasihatkan sebelum tidur supaya membasuh kaki dan berdoa terlebih dahulu.

Perkara itu antara adab supaya kita tidak mendapat mimpi buruk dan tidur kita sentiasa dalam lindungan Allah SWT.

Pada umumnya, setiap tingkah laku, perubahan tabiat atau kebiasaan harian yang menjejaskan ketenangan boleh mendorong berlakunya mimpi ketika tidur.

Pernah juga dialami apabila kanak-kanak yang terlalu ‘galak' bermain pada waktu siang biasanya akan tersenyum dan kadang-kadang ketawa ketika tidur.

Pendakwah bebas, Mohd Fakhrurrazi Mohd Hanapi berkata, kepercayaan masyarakat kepada penafsiran mimpi adalah tidak bersandarkan mana-mana dalil syarie yang disepakati ulama.

Menurutnya, kitab rujukan seperti Tajul Muluk bukanlah kitab muktabar dan ia hanyalah petua orang terdahulu.

“Sebagai orang Islam, panduan kita berkaitan penafsiran mimpi adalah sebagaimana hadis Nabi SAW diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang bermaksud: Jangan engkau ceritakan mimpi itu kecuali kepada orang yang alim atau orang yang cerdik akalnya.

“Nabi Yusof yang diberikan mukjizat mahir menafsir mimpi sehingga baginda berjaya mengeluarkan Mesir daripada kemarau panjang melalui mimpinya ketika itu.

“Bahkan, dalam satu sabda Nabi SAW riwayat Bukhari dan Muslim menyatakan, sesiapa bermimpi berjumpa Baginda di dalam mimpi, maka ia benar kerana iblis tidak dapat menyerupai wajah Baginda,” katanya.

Beliau berkata, petanda bermimpi seperti gigi patah, dibelit ular dan dikejar ombak ada penafsirannya tersendiri sebagai tanda yang diilhamkan dengan syarat tertentu seperti orang itu bertakwa dan tidak melakukan maksiat.

“Maka, barulah petunjuk itu hampir kepada huraian simboliknya. Contohnya, sekiranya seseorang bermimpi berada dalam rumah ibadat agama lain, itu petanda akan ditimpa musibah sihir,” katanya.

Mohd Fakhrurrazi berkata, Nabi SAW mengajar umatnya supaya berlindung kepada Allah SWT daripada kejahatan iblis dan syaitan sekiranya mengalami mimpi buruk atau terkejut daripada tidur.

“Sebagaimana hadis diriwayatkan oleh Qatadah, Nabi memberitahu apabila seseorang itu bermimpi perkara buruk, dia hendaklah meludah atau meniup yang disertakan dengan sedikit ludah di sebelah kirinya sebanyak tiga kali.

“Di dalam hadis mursal riwayat Ibnu Sunni diriwayatkan oleh Muhammad bin Yahya bin Hibban bahawa Khalid bin al-Walid mengadu kepada Rasulullah SAW yang dia tidak boleh tidur malam.

“Baginda mengajar doa supaya dapat berlindung kepada Allah iaitu: ‘Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada syaitan dan daripada keburukan mimpi.’

“Malah, sebuah hadis marfu’ riwayat at-Tirmizi meriwayatkan Nabi SAW bersabda, apabila salah seorang daripada kamu bermimpi dengan mimpi buruk, janganlah dia ceritakan kepada orang lain dan hendaklah dia bangun lalu solat.

Katanya, mimpi ada tiga jenis menurut ilmu perubatan Islam iaitu mimpi benar, mimpi daripada syaitan dan mimpi mainan tidur.

“Nabi Ibrahim contohnya, baginda mengetahui petanda Allah SWT memerintahkannya supaya menyembelih anaknya melalui mimpi. Ini kerana mimpi nabi adalah syariat yang diwahyukan Allah SWT dan tiada keraguan padanya.

“Antara cara turunnya wahyu kepada utusan Allah adalah melalui mimpi atau secara terus. Adakalanya, mimpi yang dialami seseorang itu benar yang memberikan petanda atau firasat kepada orang yang berilmu dan soleh bagi menjelaskannya.

“Walau bagaimanapun, tafsiran itu tidak boleh dijadikan sandaran atau hukum semestinya ia berlaku. Tidak dinafikan juga, mimpi ketika tidur bukan disebabkan makhluk halus kerana ia terjadi akibat tekanan emosi atau psikologi kerana menonton cerita seram di televisyen, perjalanan darah tersekat-sekat menyebabkan bahagian anggota seperti tangan atau kaki berasa kebas dan tidak mampu bergerak seolah-olah dihempap lembaga,” katanya.

Beliau menyatakan, dalam Islam bukan isu basuh kaki yang menyebabkan seseorang akan bermimpi buruk.

“Isu utama yang cuba disampaikan orang terdahulu ialah pentingnya menjaga kebersihan diri dan rumah.

Reka bentuk rumah pada hari ini mempunyai tandas di dalam bilik tidur yang pasti menjadi tempat tinggal bagi jin dan iblis sekiranya ia kotor.

“Gangguan makhluk halus sama ada iblis dan jin kepada anak Adam melalui mimpi diperingatkan kepada kita oleh Nabi SAW.

“Sebab itu, kita diajar cara tidur yang mengikut sunah. Nabi SAW juga mengajar setiap orang mengingibas tempat tidurnya sebanyak tiga kali dengan hujung kainnya terlebih dahulu, kemudian baru baring di atas katil dengan mengiring ke sebelah kanan sambil membaca doa.

“Doanya seperti diriwayatkan hadis Bukhari dan Muslim yang bermaksud: Maha Suci akan Dikau ya Allah, Tuhanku. Pada-Mu ku letakkan lambungku dan dengan izin-Mu aku dapat mengangkatnya, andainya Kau ambil diriku ini, ampunilah akan dia, dan andainya Kau biarkan dia, peliharalah dia sebagaimana Kau pelihara hamba-hamba-Mu yang soleh.

“Dengan mengamalkan ayat-ayat itu, Allah SWT akan menurunkan malaikat bagi menjaga orang berkenaan daripada diganggu iblis dan syaitan sehingga waktu Subuh,” katanya.

Penulis wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Julai 2018 @ 12:18 PM