Fadly Samsudin

Tiada siapa dapat menduga bila saat ajal mereka akan tiba. Tiada juga jaminan, golongan yang sihat dan kuat masih jauh lagi dengan kematian.

Mungkin dalam kalangan kita, ada yang kehilangan rakan atau saudara-mara dalam bulan Ramadan ini. Apa perasaan kita apabila mengenangkan, sebelum kematiannya dia masih sempat bergurau, berbalas WhatsApp serta berbuka puasa bersama-sama.

Itulah Ramadan terakhir buat mereka dan berakhirlah sudah urusannya di dunia ini. Kini, di alam barzakh mereka hanya bergantung kepada amalan yang pernah dilakukan ketika hayatnya.

Kita pula bagaimana? Masihkah berpeluang bertemu Ramadan yang akan datang? Persiapan menghadapi kematian perlu sentiasa dijadikan ingatan.

Pada hari-hari terakhir Ramadan ini, ditambah pula kita berada pada 10 terakhir Ramadan, jangan lunturkan semangat untuk meneruskan ibadat.

Ada antara kita mungkin merasakan sudah terlepas peluang mendapatkan ganjaran beribadat pada malam lailatulqadar yang dikatakan sudah berlalu pada malam tertentu.

Alasan itu menyebabkan mereka tidak lagi pergi mengimarahkan masjid dan surau. Al-Quran juga sudah tidak dibaca manakala amalan bersedekah yang hebat dilakukan pada awal Ramadan terus dilupakan.

Ketika Ramadan memasuki hari-hari penghujung ini, perbanyakkan serta mengulangi doa memohon keampunan daripada Allah SWT.

Antaranya, “Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul afwa fa’fu ‘anni.” Maksudnya, “Ya Allah sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, suka kepada keampunan, maafkanlah kesalahan-kesalahanku.”

Doa itu boleh juga kita panjangkan buat ibu bapa, isteri atau suami, anak-anak, datuk, nenek serta cucu tersayang dengan penuh pengharapan supaya Allah SWT senaraikan kita antara individu yang terlepas daripada api neraka.

Selain itu, doakan juga jika ada ahli keluarga yang sakit supaya Allah SWT berikan kesembuhan, bagi yang masih hidup semoga Allah kurniakan mereka kebahagiaan, doakan kita semua dimatikan dalam keadaan khusnul khatimah serta bagi ahli keluarga yang sudah meninggal dunia, mengharapkan Allah SWT ampunkan segala dosa mereka dan jadikan kubur mereka salah satu taman dari taman syurga.

Amalan manusia itu dikira mengikut bagaimana ia berakhir. Ini bermakna, walaupun seorang itu melaksanakan ibadat pada awalnya cukup baik dan ikhlas, jika akhirnya timbul perasaan riyak, maka segala kebaikan itu akan ‘lenyap’ begitu saja.

Manusia tidak tahu bagaimanakah masa mereka sama ada bahagia atau celaka. Sebab itu, kita perlu sentiasa berada dalam keadaan takut dan sabar di atas landasan yang diredai Allah SWT.

Sebagaimana Allah SWT berfirman dalam Surah Luqman, ayat 34, yang bermaksud: “Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat), dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuan-Nya.”

Dalam ayat itu juga dinyatakan setiap manusia tidak mengetahui di mana bumi atau tempat mereka akan mati. Jangan fikirkan di mana kita akan mati, namun perlu fikirkan bagaimana cara kita mati.

Ulama menyatakan, lailatulqadar itu bermula dari waktu Maghrib sehingga ke Subuh pagi esoknya. Walaupun bukan malam lailatulqadar sekalipun, jika kita dapat bermunajat dan bertahajud pada malam-malam terakhir Ramadan ini, fadilatnya cukup besar.

Apakah hikmah seluruh umat Islam difardukan berpuasa sebagaimana orang-orang terdahulu? Adakah Allah SWT mahu menyeksa hamba-Nya?

Matlamat puasa diletakkan pada tempat khas iaitu objektifnya sangat jelas supaya dapat melahirkan umat Islam yang bertakwa.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Namun, melihatkan tabiat dan akhlak manusia terutamanya di media sosial ketika menghadapi Ramadan kali ini, ia penuh calar-balar dan luka.

Di laman Facebook, kita boleh lihat bagaimana netizen memberi komen terhadap sesuatu isu, langsung tidak menunjukkan mereka sedang berpuasa.

Ramai yang berpuasa hanya tidak makan dan minum saja, namun gagal menahan diri daripada mengumpat, memfitnah, mencerca dan mengeji ketika berinteraksi di laman sosial berkenaan.

Dalam satu hadis daripada Abu Hurairah, katanya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jangan dengki-mendengki, jangan tawar-menawar untuk mengelirukan orang lain, jangan benci-membenci, jangan pulau-memulau dan jangan kamu membeli barang yang dibeli oleh orang lain. Jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara.

Orang Islam adalah bersaudara dengan orang Islam yang lain. Tidak boleh menzalimi, meren- dah-rendah dan menghinanya.

Takwa adalah di hati, Nabi mengisyaratkan tiga kali. Cukup seseorang itu dianggap jahat sekiranya dia menghina saudaranya sesama Islam. Setiap orang Islam ke atas orang Islam diharamkan darahnya, hartanya dan maruahnya (hak kemuliaannya).”

Oleh itu, teruskanlah berpuasa pada saat akhir ini dengan sedaya upaya untuk memperbaiki diri kita. Jangan sesekali wujudkan rasa serta perasaan benci kepada sesama Muslim.

Masih sempat lagi ‘luka’ yang dialami pada awal puasa diubati pada saat akhir ini. Semoga kita dapat akhiri Ramadan ini dengan mendapat rahmat Allah SWT, seterusnya melayakkan kita bersama orang soleh yang tersenarai sebagai golongan dibebaskan daripada api neraka.

Penulis wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Jun 2018 @ 11:59 AM