Kembara Mukmin

Bukan mudah untuk mengawal kesabaran apabila berdepan musibah dan dugaan besar dalam hidup seperti ditimpa penyakit, kematian orang tersayang dan diuji dengan kesempitan hidup.

Setiap musibah yang menimpa diri akan diberi ‘pampasan’ oleh Allah SWT iaitu dihapuskan dosa serta ditingkatkan iman mereka.

Imam al-Ghazali dalam kitabnya, Ihya’ Ulumiddin mengemukakan makna sabar adalah menerima dengan lapang dada hal yang menyakitkan dan menyusahkan serta dapat menahan marah atas perlakuan kasar.

Menurutnya, sesiapa mengeluh apabila diperlakukan dengan buruk oleh orang lain, maka hal itu menunjukkan akhlak-nya yang masih buruk.

Akhlak yang mulia adalah menerima dengan lapang dada semua bentuk perlakuan yang menyakitkan. Kebanyakan perilaku atau tindakan yang muncul hasil dorongan semangat keimanan termasuk dalam kategori sabar.

Itulah sebabnya ketika Rasulullah SAW ditanya mengenai maksud iman, Baginda menjawab: “Iman adalah kesabaran.” Sabar adalah inti kepada amal kebajikan yang bersumberkan keimanan, bahkan termasuk dalam amalan paling utama.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Maka bersabarlah engkau sebagaimana sabarnya Ulul Azmi daripada kalangan ra- sul-rasul.” (Surah al-Ahqaf, ayat 35)

Rasul dalam kalangan Ulul Azmi mempunyai kesabaran cukup tinggi dalam menghadapi pelbagai hinaan, tentangan, seksaan serta cemuhan daripada kaum mereka.

Dalam ayat berkenaan juga, Allah SWT menyuruh Nabi Muhammad SAW bersabar seperti rasul sebelumnya iaitu Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan Nabi Isa.

Nabi Nuh misalnya, ketika menjalankan tugas dakwah, Baginda pernah dipukul kaumnya hingga tidak sedarkan diri.

Dalam ayat lain iaitu dalam Surah al-Qalam, ayat 48, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Maka bersabarlah menerima hukum Tuhanmu dan janganlah engkau bersikap seperti orang yang sudah ditelan oleh ikan. (Ingatlah kisahnya) ketika dia berdoa merayu dengan keadaan sesak terkurung dalam perut ikan.” (Surah al-Qalam, ayat 48)

Antara makna tersirat yang dapat diambil daripada ayat berkenaan adalah Nabi Muhammad SAW dilarang berkeluh kesah atau marah ketika menjalankan dakwahnya.

Al-Quran mengajarkan kepada orang beriman supaya terus bersabar ketika ditimpa kesusahan dan musibah. Sikap terbaik yang perlu dilakukan adalah ‘istirjaa’ iaitu mengembalikan semua urusan kepada Allah SWT dengan mengucapkan ‘Innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun’ (Sesungguhnya kita adalah milik Allah SWT dan kita akan kembali kepada-Nya juga).

Istirjaa mempamerkan sikap pasrah, reda dan berlapang hati dengan setiap keputusan Allah SWT. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda mengenai istirjaa, “Sesiapa mengucapkan istirjaa ketika ditimpa musibah, Allah SWT akan menghilangkan musibah itu, memberinya pahala yang baik serta menggantikannya dengan pengganti yang baik lagi disukai.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Jun 2018 @ 11:38 AM