Fatimah Syarha Mohd Noordin

Allah SWT menghantar kita ke ‘universiti’ Ramadan untuk menyiapkan keperibadian diri dengan bekalan takwa.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Apakah silibus yang perlu dilalui dalam ‘universiti’ Ramadan untuk menggilap potensi takwa?

Antara silibusnya ialah al-Quran. Jadikan Ramadan bulan merayakan al-Quran.

Bacalah al-Quran dengan tadabbur. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai manusia, sesungguhnya datang kepadamu pengajaran daripada Tuhanmu, ubat bagi apa yang ada di dalam dada, pimpinan serta rahmat untuk orang-orang beriman.” (Surah Yunus, ayat 57)

Penjelasan daripada al-Quran membantu kita melihat sesuatu bukan hanya dengan mata zahir atau nafsu tetapi melihat dengan mata hati.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Bukanlah mata yang buta, tetapi yang buta adalah hati berada dalam dada.” (Surah al-Haj, ayat 46)

Jadikan al-Quran sebagai wirid. Kita mungkin tidak mampu menjadi seperti sahabat Rasulullah SAW seperti Uthman, Zaid bin Thabit, Ibnu Mas’ud dan Ubay bin Ka’ab yang khatam al-Quran seminggu sekali.

Sekurang-kurangnya, kita menjadi orang beriman yang tidak membiarkan satu hari pun berlalu tanpa wirid al-Quran.

Adab bertilawah al-Quran kita hendaklah sentiasa berusaha bersunguh-sungguh dalam tadabbur dan berfikir mengenai pengertiannya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Inilah kitab, Kami turunkan kepada engkau, penuh keberkatan supaya mereka perhatikan ayat-ayatnya dan supaya orang mengerti dapat fikirkannya.” (Surah Shaad, ayat 29)

Dalam wirid hafalan pula, programkan supaya hafalan sentiasa bertambah di samping kekalkan yang sedia ada.

Biar tiada seorang pun tercicir daripada kemuliaan menghafal al-Quran. Natijah daripada silibus al-Quran ini, kita akan mengikut cara hidup ditetapkan al-Quran.

Al-Quran juga mengajar kita mesti berpaling daripada cara hidup yang bertentangan dengan kehendak Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak beriman seorang kamu hinggalah kemahuannya mengikut apa yang aku bawa.”

Kita hendaklah sentiasa ingat pada akujanji supaya sentiasa berada di landasan matlamatnya.

Akujanji (Mua’hadah). Asasnya ialah firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan tepati perjanjian dengan Allah apabila kamu berjanji dan jangan kamu batalkan sumpahmu itu, sesudah meneguhkannya, sedang kamu menjadikan Allah sebagai saksimu. Sesungguhnya Allah mengetahui apa kamu lakukan.” (Surah an-Nahlu, ayat 91)

Cara (kaifiat) membuat perjanjian atau akujanji itu ialah sentiasa memperingatkan diri ketika munajat perjanjian dengan Allah dan menjadikan Allah SWT sebagai saksi perjanjian itu.

Akujanji itu ialah:

1. Tidak mengabdikan diri kecuali kepada Allah.

2. Tidak mohon pertolongan melainkan daripada-Nya.

3. Tetap iltizam atas jalan-Nya yang lurus.

4. Tidak mengikut jalan orang yang sesat iaitu penganut agama lain dan ideologi selain Islam.

5. Membayangkan akibat ceroboh atau ingkar perjanjian dgn Allah.

Apabila berpegang teguh dengan akujanji serta mengotakan janji yang diikrarkan itu lebih 17 kali sehari, ia akan membuahkan takwa.

Seterusnya, pastikan diri kita sentiasa mendekatkan diri dengan Allah SWT atau disebut (muraqabah).

Kita berusaha beribadat seperti yang ditakrifkan Rasulullah SAW terhadap istilah ‘ihsan’ iaitu “Kamu menyembah Allah seolah-olah melihat-Nya, jika kamu tidak melihat-Nya sesungguhnya Ia melihatmu.”

Maksud muraqabah ialah kita menghadirkan (merasakan) kebesaran Allah SWT ketika sunyi dan terang.

Caranya ialah dengan mengamati niat sebelum dan ketika melakukan amalan.

Ada beberapa jenis muraqabah iaitu:

1. Muraqabah ketika melakukan ketaatan dan melakukannya dengan bersungguh-sungguh.

2.Muraqabah meninggalkan maksiat dengan bertaubat, menyesal dan meninggalkan maksiat.

3. Muraqabah dalam melakukan perkara harus, memelihara adab dan bersyukur atas nikmat-Nya.

4.Muraqabah ketika ditimpa musibah, menerima dengan reda dan sabar.

Itulah jalan menuju takwa dan proses berada di jalan muttaqin. Sebagaimana yang diinginkan Allah SWT, “Mudah-mudahan kamu bertakwa.”

Pada bulan mulia ini, perbanyakanlah muhasabah diri iaitu menghisab diri selepas beramal.

Tujuan muhasabah supaya setiap hari (awal dan akhir hari) kita diperuntukkan masa tertentu untuk membetulkan niat dan membebaskan diri daripada sifat riyak.

Jika tidak menepati kehendak Allah, bertaubatlah, berjanji tidak akan mengulangi lagi dan mohon husnul khatimah.

Umar al-Khattab mewasiatkan, “Hisablah dirimu sebelum kamu dihisab, timbangilah (amalanmu) sebelum kamu ditimbang dan bersedialah untuk hari pengadilan agung.”

Hakikat muhasabah seperti seorang usahawan beriman yang teliti dalam mengira untung rugi perniagaannya.

Modalnya ialah Islam iaitu segala perintah, larangan, kewajipan dan hukum-hakamnya.

Dia akan berasa beruntung jika melakukan ketaatan dan meninggalkan larangannya. Dia akan berasa rugi jika terpalit dosa dan maksiat.

Seterusnya, di Universiti Ramadan ini juga kita boleh menggilap takwa dengan mendenda diri atas kealpaan diri sendiri. Itu disebut mua’qabah.

Mu’qabah ialah dalam muhasabah diri kita yang banyak kekurangan atau melakukan dosa.

Maka, kenakan hukuman ke atas diri. Hukuman boleh menghalang kita daripada mengulangi kesalahan sama.

Ia membawa kepada takwa dan hidup sejahtera. Hukuman itu mestilah yang diharuskan syarak contohnya, Saidina Umar leka di kebun kurma hingga terlepas solat Asar berjemaah, lalu didenda dirinya dengan cara diinfak kebunnya kepada golongan fakir miskin.

Abu Talhah terlupa rakaat ketika solat di kebun kerana asyik mendengar bunyian burung, lalu diinfakkan kebunnya kepada fakir miskin.

Tamim ad-Dari tertidur satu malam dan tidak bertahajjud lalu dia mendenda dirinya tidak tidur setahun dan terus-terusan bertahajjud.

Kesimpulannya, sama-sama kita menjadi seperti atlet pecut yang tidak menoleh ke belakang lagi.

Rebutlah tawaran Ramadan dengan jalan mencapai takwa.

Penulis ialah pendakwah dan penulis buku

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mei 2018 @ 7:21 AM