IBU hamil perlu menjalani pemeriksaan yang konsisten dan perlu memberitahu doktor jika mengalami sebarang simptom baharu.
IBU hamil perlu menjalani pemeriksaan yang konsisten dan perlu memberitahu doktor jika mengalami sebarang simptom baharu.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


MELEWATI fasa kehamilan bagi pasangan yang selama ini menanti kehadiran zuriat sememangnya mengujakan, namun pada masa sama ia juga perjalanan yang mendebarkan.

Meskipun teruja, tetapi jangan sesekali mengabaikan kesihatan kandungan dan sentiasa peka dengan keadaan bakal ibu kerana terdapat situasi yang boleh membuatkan kedua-duanya berada dalam bahaya.

Ia termasuk penyakit yang kurang dikenali seperti praeklampsia dan perkembangan penyakit itu yang lebih jarang berlaku iaitu eklampsia.

Menurut Pakar Perbidanan dan Sakit Puan dari Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Nor Elyana Noordin, praeklampsia adalah komplikasi kehamilan yang bercirikan tekanan darah tinggi dan petanda kerosakan pada organ lain, selalunya berlaku di buah pinggang di mana ia merembeskan protein (proteinuria).

Ia disebabkan pembentukan salur darah yang tidak normal dalam plasenta dan saluran darah si ibu, namun punca sebenarnya belum dapat dikenal pasti sehingga hari ini.

Kata Dr Nor Elyana, eklampsia pula adalah permulaan sawan untuk wanita yang sedang hamil dan komplikasi teruk bagi praeklampsia.

"Praeklampsia lazimnya berlaku pada fasa antenatal, lebih-lebih lagi ketika si ibu berada di trimester ketiga kehamilan mereka.

"Kira-kira 80 peratus daripada sawan eklampsia berlaku ketika proses melahirkan anak atau dalam masa 48 jam selepas melahirkan anak," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Nor Elyana berkata, berdasarkan statistik, kelaziman kes praeklampsia dan eklampsia berlaku adalah sebanyak 4.6 peratus dan 0.3 peratus.

Di Malaysia, eklampsia mewakili enam peratus daripada punca kematian ibu pada tahun lalu dan berada di kedudukan keempat bersama kelahiran luar rahim (ectopic pregnancy) selepas 'obstetric embolism', 'postpartum haemorrhage' serta 'gestational hypertension with significant proteinuria'.

Menurut Dr Nor Elyana, eklampsia dapat dielakkan dengan rawatan yang diberikan pada masa yang tepat serta melalui pemeriksaan berkala.

Ini kerana terdapat tanda gejala dan parameter klinikal yang dapat membantu untuk menghindari komplikasi praeklampsia yang lebih teruk.

JIKA usia kandungan mencecah 37 minggu atau lebih, bayi boleh dilahirkan melalui kaedah induksi kelahiran atau pembedahan caesarean.
JIKA usia kandungan mencecah 37 minggu atau lebih, bayi boleh dilahirkan melalui kaedah induksi kelahiran atau pembedahan caesarean.

"Kesihatan wanita hamil yang mengalami praeklampsia perlu dipantau secara kerap melalui pemantauan bacaan tekanan darah, pemeriksaan darah dan ujian protein urin untuk memastikan kesihatan ibu dan bayi yang bakal dilahirkan sentiasa berada di tahap yang baik.

"Jika bacaan tekanan darah tinggi masih tidak boleh dikawal walaupun selepas mengambil ubat-ubatan secara optimal atau bacaan keputusan ujian darah adalah tidak normal, bayi dalam kandungan perlu dilahirkan supaya praeklampsia tidak akan menjadi lebih teruk dan bertukar ke eklampsia," katanya.

Meskipun praeklampsia boleh berlaku tanpa sebarang tanda gejala, bacaan tekanan darah perlu diberi perhatian ketika wanita hamil sedang menjalani pemeriksaan antenatal.

Tanda gejala yang juga boleh berlaku apabila praeklampsia menjadi semakin teruk ialah sakit kepala yang keterlaluan, masalah penglihatan, sakit di bawah tulang rusuk, loya teruk dan muntah-muntah, berat badan naik secara mendadak dan bengkak (oedema) pada wajah atau tangan.

Dalam pada itu, siapakah sebenarnya golongan yang berisiko mendapat praeklampsia?

Mereka yang mempunyai penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi atau penyakit buah pinggang sedia ada mempunyai risiko untuk mendapat praeklampsia.

Selain itu, individu yang mempunyai penyakit lupus atau antifosfolipid juga berisiko tinggi untuk mendapat praeklampsia.

Faktor risiko lain termasuk kehamilan pertama, sejarah keluarga yang mengalami prakelampsia, berusia lebih 40 tahun, mempunyai jarak 10 tahun dari kehamilan sebelumnya, hamil dengan lebih dari seorang bayi (kembar atau kembar tiga) atau bacaan indeks jisim tubuh (BMI) 35 dan ke atas.

Menurut Pakar Perbidanan dan Sakit Puan dari hospital sama, Dr Wong Yen Shi, terdapat risiko sebanyak 15 peratus untuk seseorang wanita mendapat praeklampsia ketika kehamilan kedua jika mengalami praeklampsia ketika kehamilan pertamanya.

Begitupun kata Dr Wong, terdapat gaya hidup yang dapat membantu mengurangkan risiko untuk mendapat praeklampsia.

"Untuk wanita yang mempunyai masalah tekanan darah tinggi, adalah penting untuk memastikan bacaan tekanan darah anda terkawal sebelum membuat keputusan untuk hamil.

"Aspirin juga boleh digunakan untuk mengelak atau melambatkan praeklampsia berlaku.

UJIAN darah, ujian protein urin serta pemeriksaan berkala perlu untuk memantau keadaan ibu dan bayi.
UJIAN darah, ujian protein urin serta pemeriksaan berkala perlu untuk memantau keadaan ibu dan bayi.

"Selain itu, bersenam dan mengamalkan diet seimbang adalah penting untuk kesihatan secara amnya, namun ia tidak dapat menghalang praeklampsia dari berlaku," katanya.

Untuk rawatan praeklampsia dan eklampsia, Dr Wong berkata, rawatan paling berkesan untuk merawat praeklampsia adalah dengan cara melahirkan bayi.

Namun, jika usia kandungan belum mencukupi, keadaan itu boleh dikawal melalui ubat darah tinggi, ujian darah, ujian protein urin serta pemeriksaan berkala untuk memantau keadaan ibu dan bayi.

Kata beliau, jika usia kandungan mencecah 37 minggu atau lebih, bayi boleh dilahirkan melalui kaedah induksi kelahiran atau pembedahan caesarean.

"Bagi bakal ibu yang usia kandungan belum mencecah 37 minggu, tetapi sudah mengalami komplikasi praeklampsia, mereka perlu melahirkan anak dengan segera.

"Melahirkan anak dan plasenta adalah cara terbaik bagi merawat praeklampsia, selain itu magnesium sulfat juga digunakan untuk mengelak dan merawat eklampsia," katanya.

Sementara itu, pasti ramai yang tertanya apakah kesannya terhadap perkembangan bayi?

Memandangkan penyakit itu berpunca daripada plasenta, praeklampsia boleh menghalang bayi dari mendapat bekalan darah yang mencukupi.

Kesannya, bayi akan bersaiz kecil yang juga dikenali sebagai 'fetal growth restriction' kerana ia tidak dapat membesar secara normal dalam rahim.

Jelas Dr Wong lagi, praeklampsia dan komplikasinya juga boleh meningkatkan peluang untuk mendapat kelahiran pramatang dan antara komplikasi yang boleh dialami oleh bayi pramatang termasuk 'celebral palsy' (gangguan pergerakan yang tidak boleh dirawat).

"Selain itu, bayi juga berisiko mengalami masalah pembelajaran, masalah pemakanan atau usus serta gangguan penglihatan atau pendengaran," katanya.

Biarpun pengalaman hamil dan melahirkan anak adalah berbeza bagi setiap wanita, tetapi cara terbaik untuk menghindari praeklampsia seterusnya eklampsia adalah dengan cara diagnosis awal. Penjagaan pranatal dan postnatal adalah kunci utama.

Justeru, ibu hamil perlu menjalani pemeriksaan yang konsisten dan perlu memberitahu doktor jika mengalami sebarang simptom baharu untuk memastikan mereka dapat melahirkan anak dengan selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 7:01 AM