YAMADA jelaskan pendirian UNIQLO Malaysia komited tingkatkan usaha tempatan dengan pelbagai inisiatif.
YAMADA jelaskan pendirian UNIQLO Malaysia komited tingkatkan usaha tempatan dengan pelbagai inisiatif.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


MENGIKUTI jejak syarikat induknya, Fast Retailing yang mengumumkan pada Disember lalu mengenai sasaran kemampanan dan pelan tindakan untuk seluruh kumpulan menjelang 2030, UNIQLO Malaysia komited meningkatkan usaha tempatan dengan pelbagai inisiatif.

Antara tumpuan utama adalah aspek menjaga alam sekitar, manusia dan masyarakat dalam usaha mewujudkan Malaysia yang lebih baik.

Menjelaskan pendirian itu, Ketua Pegawai Eksekutif UNIQLO Malaysia dan Singapura, Yuki Yamada berkata, dunia menghadapi masalah teruk dalam bentuk perubahan iklim, kekurangan sumber, isu hak asasi manusia dan pelarian serta jurang ketidaksamaan pendapatan global yang semakin luas.

"Justeru, sebagai salah satu syarikat pakaian global terkemuka, kami melihatnya sebagai kewajipan untuk bertindak balas secara proaktif kepada keperluan masyarakat, pada masa sama membantu menyelesaikan isu alam sekitar dan sosial yang mendesak.

"Ketika mengembangkan perniagaan, kami sentiasa memastikan ia berkembang seiring dengan aspek kemampanan," katanya.

Bercakap pada taklimat media, Pengarah Kelestarian UNIQLO Malaysia, Evelyn Tan berkata, selama lebih 20 tahun, jenama itu dan syarikat induknya (Fast Retailing) berada di laluan ke arah kemampanan dan turut mengambil pendirian yang kukuh dalam menjadikan dunia lebih baik dengan kuasa pakaian.

Menurut Evelyn, sasaran kemampanan dan pelan tindakan syarikat diwujudkan berdasarkan keluasan konsep LifeWearnya.

Kata beliau, jenama itu sinonim dengan LifeWear iaitu sebuah konsep yang menggambarkan perniagaan kami menyediakan pakaian harian dengan penekanan pada kualiti, reka bentuk dan harga untuk masyarakat seluruh dunia membantu meningkatkan kehidupan mereka.

"Didorong niat untuk beralih kepada model perniagaan baharu yang merangkumi kedua-dua kemampanan dan pertumbuhan perniagaan, kami ingin melakukan lebih banyak lagi dengan pakaian dihasilkan selain menyampaikan nilai intrinsiknya kepada pelanggan.

"Jadi, kami perlu memastikan ia memenuhi definisi 'pakaian yang baik' dari sudut persekitaran, manusia dan masyarakat," katanya.

Selaras dengan itu, jenama berkenaan memberi tumpuan kepada dua inisiatif utama iaitu membuat pakaian yang lebih baik kepada alam sekitar serta membuat pakaian lebih baik untuk individu dan masyarakat.

BANTUAN untuk petugas
BANTUAN untuk petugas

Mereka juga komited untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau di rangkaian dan pejabatnya. Untuk itu, semua rangkaian kedai jenama itu sudah menukar kepada lampu LED sepenuhnya bagi mengurangkan jumlah pencahayaan.

Ia juga seiring dengan sasaran untuk mengimbangi 100 peratus pelepasan karbon daripada elektrik menjelang 2023.

Jelas Evelyn lagi, sejak 2019 jenama itu turut meningkatkan penggunaan bahan kitar semula dalam rangkaian produknya.

Di peringkat global pula, jenama itu menyasarkan untuk meningkatkan bahagian bahan kitar semula kepada 50 peratus menjelang 2030.

"Apa yang menariknya, UNIQLO Malaysia juga akan memperkenalkan koleksi pakaian untuk Musim Bunga/Musim Panas 2022 yang mana 15 peratus daripada material poliester yang digunakan dan diperoleh daripada botol PET kitar semula," katanya.

Evelyn berkata, bagi mengurangkan sisa plastik, pihaknya akan terus mengitar semula plastik yang digunakan dalam penghantaran barangan ke kedai jenama itu dengan kerjasama perusahaan sosial.

Selain itu, jenama terbabit juga sudah menukar plastik untuk penghantaran e-dagang dengan kotak dan mengurangkan penggunaan kertas.

"Beg beli-belah pelanggan sudah ditukar daripada plastik kepada beg kertas pada 2014 dan caj (beg kertas) dilaksanakan pada tahun lalu untuk menggalakkan pelanggan membawa beg kitar semula ketika membeli-belah.

"Kami turut mengurangkan pembaziran pakaian dengan meluaskan lagi penggunaan kitar semula kepada barangan lain seperti perabot.

"Justeru, kami menyediakan perkhidmatan pembaikan dan kitar semula pakaian untuk membolehkan pelanggan menggunakan semula pakaian UNIQLO mereka dan memanjangkan nilai serta kitaran hayat pakaian berkenan," katanya.

Dalam aspek perlindungan biodiversiti pula, jenama itu terus menyokong Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF)-Malaysia dalam pemuliharaan marin yang bermula di Melaka dan meluaskan aktiviti pembersihan pantai serta projek pengurangan pencemaran laut ke negeri lain.

Bagi melaksanakan inisiatif membuat pakaian terbaik untuk individu dan masyarakat pula, jenama itu bekerjasama dengan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sejak 2019.

Ia termasuk menyediakan bantuan berkaitan Covid-19 seperti menderma 500,000 pelitup hidung, 80,000 pelitup muka dan barangan AIRism kepada petugas barisan hadapan di hospital dan pusat vaksinasi dan pelajar sekolah.

KHIDMAT baiki dan guna semula pakaian UNIQLO.
KHIDMAT baiki dan guna semula pakaian UNIQLO.

Mereka turut menyumbang peralatan perubatan kepada jabatan kesihatan mental hospital dan memperuntukkan sumbangan wang bagi menyediakan 500,000 pek makanan untuk komuniti yang terjejas dengan penularan pandemik itu.

Untuk mangsa banjir di Lembah Klang pula, jenama berkenaan turut menyumbang lebih 46,000 produk termasuk pakaian hangat dari siri HEATTECH dan pelitup hidung AIRism, disumbangkan kepada mangsa banjir melalui Agensi Bantuan Malaysia.

Kata Evelyn, beberapa bengkel dan pendidikan kelestarian turut dijalankan di beberapa sekolah untuk memastikan kanak-kanak mempunyai pemahaman yang lebih baik mengenai aspek kelestarian.

"Pada tahun ini, kami berharap dapat mendekati dan menyokong lebih ramai komuniti melalui aktiviti sumbangan sosial.

"Kami akan meningkatkan sokongan terhadap program pemulihan Covid-19 menerusi kerjasama dengan kerajaan untuk menyediakan pakaian yang sesuai kepada pencari kerja bagi menghadiri temu duga kerja.

"Selain itu, latihan keusahawanan akan disediakan kepada wanita yang terpilih bagi memastikan mereka celik digital untuk membantu mereka berdikari dari segi kewangan," katanya.

Sementara itu, Evelyn berkata, dari segi kesaksamaan jantina, pihaknya komited dalam menggalakkan kepimpinan dan pemerkasaan wanita.

Kata beliau, jenama terbabit turut menggaji, melatih dan membangun modal insan golongan orang kelainan upaya (OKU).

"Ketika ini, dua peratus daripada tenaga kerja UNIQLO Malaysia terdiri daripada OKU dan sasaran kami adalah untuk mengambil sekurang-kurangnya seorang pekerja OKU di setiap kedai.

"Jadi, dengan matlamat untuk mewujudkan Malaysia yang lebih baik bersama-sama rakyat untuk masa hadapan, kami akan terus mengambil langkah untuk melindungi dan mengurangkan risiko terhadap alam sekitar.

"Kami juga akan membantu menangani cabaran yang dihadapi masyarakat dengan menyediakan sokongan lebih mampan selain meneruskan amalan kepelbagaian dan keterangkuman korporatnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 6:45 AM