PERUBAHAN tahun membuka peluang untuk  melakukan sesuatu yang baharu.
PERUBAHAN tahun membuka peluang untuk melakukan sesuatu yang baharu.
Muhamaad Razis Ismail


SUDAH menjadi kelaziman menjelang ketibaan tahun baharu, ramai yang merangka azam yang ingin dicapai.

Biarpun 1 Januari sudah berlalu lebih dua minggu, belum terlambat sebenarnya untuk menanamkan azam pada tahun ini.

Bagi sesetengah individu, azam sekadar tradisi yang diungkap sebagai pelengkap sambutan tahun baharu.

Bagaimanapun, ada individu yang menjadikan azam sebagai pembakar semangat untuk mencapai impian yang diinginkan.

Pakar Kepimpinan Diri Keluarga & Organisasi, Dr Azuraida Shahadan berkata, azam sebenarnya adalah salah satu faktor motivasi yang mampu menggerakkan seseorang itu untuk melakukan sesuatu.

"Sebab itu, apabila masuk tahun baharu, kita perlu membuat azam sebagai penggerak untuk bergerak ke hadapan.

"Menurut kajian, perubahan tahun menyebabkan manusia mampu mengambil peluang untuk memulakan atau melakukan sesuatu yang baru," katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, umpama membuka buku baharu yang kosong, kita bebas menulis kisah dan cerita baharu.

"Minda kita sudah diprogramkan dengan kepercayaan bahawa tahun baharu adalah lembaran baharu dan menurut sejarah, tahun baharu disambut sejak 4,000 tahun dahulu lagi dan ia sudah sebati sebagai suatu titik perubahan untuk mengubah kehidupan.

"Apabila kita sudah mempunyai kepercayaan itu, maka otak akan memproses lebih banyak hormon adrenalina yang akan merangsang emosi kita.

"Menurut journal Clinical Psychology, individu yang menetapkan azam pada tahun baharu, 10 kali mampu untuk mengubah sikap dan kelakuan mereka ke arah positif berbanding mereka yang tidak berazam," katanya.

Beliau yang juga pencipta peranti minda kesihatan minda keluarga Malaysia dikenali sebagai The Mind Tune itu berpandangan, bukan menjadi satu kesalahan besar apabila sesuatu azam yang dibuat gagal dicapai pada tahun sebelumnya.

DR Azuraida bersama peranti kesihatan minda keluarga Malaysia,  The Mind Tune yang diciptanya.
DR Azuraida bersama peranti kesihatan minda keluarga Malaysia, The Mind Tune yang diciptanya.

"Bagaimanapun, kita perlu lihat semula azam tahun lalu untuk dibuat analisis, sama ada azam itu praktikal dan realistik untuk dilaksanakan pada tahun ini atau sebaliknya.

"Tanpa membuat analisis, besar kemungkinan kita akan mengulangi kesalahan sama, sekali gus berdepan kegagalan dalam mencapai azam yang ditetapkan," katanya.

Jelasnya, antara kesalahan yang sering dilakukan adalah tidak fokus untuk menjadikan azam sebagai satu kenyataan.

PERLU sentiasa fokus untuk mencapai azam yang ingin dicapai.
PERLU sentiasa fokus untuk mencapai azam yang ingin dicapai.

"Maknanya, kita hanya terfikir mengenai azam itu yang dibuat sekadar suka-suka sahaja, kemudian kita tidak mengendahkannya," katanya.

Dalam membuat azam yang betul, individu perlu menetapkan sesuatu sasaran yang lebih spesifik.

"Sebagai contoh berbanding menetapkan azam untuk kurus, apa kata kita gantikan untuk turunkan berat badan sebanyak 10 kilogram yang dilihat lebih spesifik," katanya.

Selain itu, jangan membuat azam yang terlalu banyak sehingga sukar untuk dicapai semuanya

"Anda boleh cuba senaraikan dalam lima azam, kemudian apabila sudah tercapai, tambah lagi azam yang lain.

TENTUKAN berat badan yang diinginkan antara azam yang lebih spesifik.
TENTUKAN berat badan yang diinginkan antara azam yang lebih spesifik.

"Pada sama, anda boleh mengambil sedikit masa untuk merancang dan menulis setiap azam supaya ia dapat dilihat bukan sekadar disimpan dalam otak sahaja," katanya.

Beliau berkata, untuk terus kekal konsisten dalam mencapai azam adalah sentiasa menggunakan pengukuhan diri dalam membina keyakinan dalam diri.

"Anda perlu menjadi individu yang positif melihat kebaikan dalam musibah atau keburukan dan tidak berputus asa. Sentiasa bersyukur dalam setiap langkah dan perbuatan.

"Elakkan daripada merungut atau mengeluarkan kenyataan negatif.

"Sentiasa konsisten dan istiqamah dengan mengekalkan momentum impian sekurang-kurangnya selama sebulan supaya ia mampu menjadi rutin harian," katanya.

Baginya, perkara yang perlu dititikberatkan dalam mencapai azam adalah sentiasa yakin akan kemampuan diri sendiri, guna akal untuk berfikir dan letakkan kebergantungan yang penuh kepada Allah.

"Apa yang mustahil bagi manusia tidak pernah mustahil bagi Allah dengan syarat, kita perlu yakin dan tahu apa yang ingin dicapai.

"Jangan sia-siakan hari dan tahun baharu kerana boleh jadi, apa yang kita impikan itu, esok menjadi realiti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 7:00 AM