PELBAGAI aktiviti diadakan untuk menceriakan lagi kanak-kanak yang menjadi mangsa bencana banjir.
PELBAGAI aktiviti diadakan untuk menceriakan lagi kanak-kanak yang menjadi mangsa bencana banjir.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


BENCANA banjir yang melanda 18 Disember lalu benar-benar menguji keprihatinan masyarakat sebagai Keluarga Malaysia.

Keperitan dilalui mangsa yang kehilangan orang tersayang, kediaman dan harta benda sememangnya menyentuh hati.

Ia mendorong pelbagai lapisan masyarakat bersatu hati membantu mangsa banjir dalam pelbagai cara.

Ada yang menghulurkan sumbangan wang ringgit, barangan keperluan mahupun makanan kepada mangsa dan ramai juga menyumbang masa serta tenaga untuk membantu mencuci kediaman pasca banjir.

Bagi Noor Hidawati Mohd Juki, dia memiliki cara tersendiri untuk membantu mengembalikan keceriaan mangsa banjir terutama kanak-kanak yang trauma dengan bencana itu.

Tampil dengan imej badut berhijab, Noor Hidawati melawat Pusat Penempatan Sementara (PPS) dan kampung yang terjejas teruk di sekitar Lembah Klang bagi menghiburkan mangsa.

Semua itu dilakukan secara sukarela kerana Noor Hidawati atau popular dengan panggilan Watt De Clown tersentuh melihat kanak-kanak mangsa banjir yang masih trauma dengan bencana melanda.

Dia bukan sahaja menghiburkan kanak-kanak dan penghuni PPS dengan persembahan silap mata malah turut mengadakan pelbagai aktiviti permainan.

NOOR Hidawati bersama rakan badut yang turun padang menghiburkan kanak-kanak mangsa banjir.
NOOR Hidawati bersama rakan badut yang turun padang menghiburkan kanak-kanak mangsa banjir.

Selain itu, dia dan rakan badut lain turut mengedarkan mainan yang disumbangkan orang ramai selain pelbagai bentuk belon kepada kanak-kanak mangsa banjir yang ada.

Menurut Noor Hidawati, idea itu tercetus apabila melihat kesungguhan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari negara jiran, Aku Badut Indonesia (ABI) yang aktif membantu menceriakan emosi kanak-kanak di negara berkenaan setiap kali mereka ditimpa bencana alam.

Katanya, apabila banjir besar melanda Selangor dan Kuala Lumpur pada 18 Disember lalu, dia terpanggil untuk turun padang membantu meringankan beban emosi mangsa.

"Dengan bantuan rakan-rakan Persatuan Badut Seniman (PSB) iaitu Mr Rio de Clown, Bijan de Clown dan Chemy de Clown, kami berkunjung ke beberapa PPS dan kampung yang terjejas teruk akibat banjir.

"Ramai kanak-kanak mangsa banjir yang masih sugul dan trauma dengan apa yang mereka lalui, diharapkan kehadiran kami sedikit sebanyak dapat menceriakan kembali hati mereka.

KELUARGA tidak menghalang minat Noor Hidawati.
KELUARGA tidak menghalang minat Noor Hidawati.

"Mereka mungkin kelihatan ceria di depan kita, di dalam hati tiada siapa yang tahu," katanya kepada Harian Metro.

Noor Hidawati berkata, tujuan utama pihaknya berkunjung ke PPS dan kampung yang terjejas teruk akibat banjir adalah untuk mengembalikan senyuman pada wajah mangsa banjir.

Katanya, selain kanak-kanak, mereka juga tidak melupakan golongan dewasa.

"Kami berkunjung ke rumah mangsa banjir dan cuba menceriakan suasana dengan membuat mereka ketawa.

"Melihat mereka gembira dan tertawa dengan lawak kami, itu sudah cukup berbaloi.

BADUT berhijab yang dikenali sebagai Watt De Clown.
BADUT berhijab yang dikenali sebagai Watt De Clown.

"Kami tidak boleh membantu mangsa banjir dari segi wang ringgit jadi, ini adalah cara untuk membantu menceriakan emosi mereka," katanya.

Bekas setiausaha eksekutif itu berkata, dia menceburi kerjaya sebagai badut sejak tahun 2016 dan pernah melakukan persembahan di pelbagai lokasi dan acara.

Katanya, dia bersyukur kerana diberi keizinan oleh suami, S Mohammad Fairus Shahuddin selain turut mendapat sokongan daripada ibu dan empat anaknya yang berusia antara 11 hingga 18 tahun.

Lulusan Diploma Pengurusan Hotel, Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu turut membawa anak-anaknya ke lapangan sebagai pembantu.

"Suami dan anak-anak memahami minat saya, mereka juga turut datang membantu jika ada kelapangan.

MANGSA banjir ceria menerima kehadiran Noor Hidawati dan rakan-rakan badut.
MANGSA banjir ceria menerima kehadiran Noor Hidawati dan rakan-rakan badut.

"Saya tidak pernah berasa malu malah 'enjoy' menjadi badut kerana ketika menjadi badutlah, semua masalah dapat dilupakan seketika.

"Seronok sebenarnya jika dapat bermain, menari, bergelak ketawa dan melayan karenah kanak-kanak," katanya.

Sementara itu, Noor Hidawati juga berharap supaya masyarakat tidak memandang rendah kerjaya sebagai badut kerana bukan mudah untuk menghiburkan orang ramai.

Katanya, dia sendiri turut 'berguru' dengan beberapa individu yang lebih berpengalaman hampir enam bulan untuk mendapatkan ilmu dan kemahiran yang diperlukan sebagai badut.

"Saya bersyukur kerana sejak kecil tidak pernah malu untuk berada di atas pentas, tambahan pula turut memiliki pengalaman sebagai artis teater.

KEHADIRAN Noor Hidawati dan rakan-rakan disambut gembira oleh  kanak-kanak dan mangsa banjir.
KEHADIRAN Noor Hidawati dan rakan-rakan disambut gembira oleh kanak-kanak dan mangsa banjir.

"Apapun, badut bukanlah individu yang tiada kerjaya lain kerana ada yang memiliki jawatan hebat seperti jurulatih tentera udara, wardar penjara, cef hotel terkemuka dan banyak lagi.

"Mereka memilih menjadi badut sebagai kerjaya sampingan semata-mata untuk menghiburkan orang ramai dan kehadiran mereka usahlah dipandang rendah," katanya.

RAKAN badut lain yang juga ahli PSB.
RAKAN badut lain yang juga ahli PSB.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 January 2022 @ 6:10 AM