SUSU yang sudah dipam disimpan dalam peti sejuk mengikut suhu yang sesuai.
SUSU yang sudah dipam disimpan dalam peti sejuk mengikut suhu yang sesuai.
Nurul Husna Mahmud


PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan enam bulan pertama kelahiran bayi sehinggalah usia ke dua tahun, menerima susu ibu.

Kaedah untuk si anak terus menerima susu bayi tidak hanya termaktub langsung daripada puting payudara semata-mata.

Sebaliknya ada menggunakan pam dan dibekukan sebelum diletakkan dalam botol atau cawan khas bagi membolehkan anak terus menerima manfaat itu.

Susu yang disimpan atau dibekukan turut dikenali dengan Expressed Breast Milk (EBM) itu adalah amalan penyediaan susu badan segera dengan kaedah dibekukan.

Amalan mengepam dan membekukan susu badan antara amalan biasa terutama ibu yang bekerja tetapi masih mahu memastikan anak mereka menerima manfaat susu badan.

MENGGUNAKAN syiling antara kaedah untuk mengetahui susu ebm.
MENGGUNAKAN syiling antara kaedah untuk mengetahui susu ebm.

Bukan sahaja diamalkan meluas oleh ibu bekerja di Malaysia, Amerika Syarikat dan Shanghai, China, malah amalan itu adalah suatu kebiasaan.

Kira-kira 85 peratus ibu di Amerika Syarikat menyusukan bayi mereka dengan EBM pada usia bayi enam hingga 44 minggu.

Begitu juga golongan ibu di Shanghai apabila 64 peratus mengakui menggunakan susu EBM untuk menyusu bayi mereka.

Terdapat kaedah pengendalian EBM yang perlu diteliti dalam memastikan manfaat susu ibu dapat sampai kepada bayi.

Susu ibu yang tidak dibeku atau disimpan dengan baik boleh mengakibatkan ia rosak dan tidak dapat diberikan kepada anak anda.

EBM yang dibekukan dalam peti sejuk atau peti beku boleh bertahan sekurang-kurangnya tiga bulan dan paling lama 12 bulan bergantung kepada jenis peti simpanan.

Dalam suhu bilik, EBM hanya dapat bertahan kira-kira empat jam, manakala dalam suhu dingin biasa (chiller), ia dapat bertahan kira-kira 24 hingga ke 48 jam mengikut tahap suhu dan bekas.

Sebaiknya simpan susu badan itu dalam bekas khas dan dilabel bagi memastikan urutan susu lama diikuti yang baru selain lebih tersusun.

Persiapan EBM sebelum sedia diberikan kepada bayi pula, sebaiknya susu terbabit direndam dalam air panas berbanding dipanaskan secara langsung.

Pastikan susu dipanaskan mencapai suhu badan supaya tidak terlalu panas untuk diberikan pada bayi. Jika terlalu panas, bibir dan mulut bayi boleh melecur selain khasiat baik dalam susu juga boleh terjejas.

Sementara itu, Kaunselor Laktasi Bertauliah, Nurun Nadia Masrom yang berkongsi dua kaedah memeriksa susu beku elok atau sebaliknya dengan pengikut saluran telegram, Tips Penyusuan LC Nad Masrom membantu ibu golongan memeriksa kualiti EBM selamat diberikan pada bayi.

Kata Nurun Nadia, tip berkenaan penting terutama ketika musim cuti sekolah yang panjang atau musim banjir kerana terdapat kemungkinan bekalan elektrik terputus atau peti ais rosak.

Mengelak rasa keliru atau bimbang dengan kualiti susu yang disimpan dalam peti sejuk sepanjang tiada di rumah, kata pakar itu dua kaedah berkenaan boleh digunakan.

"Paling ditakuti kebanyakan ibu ialah EBM rosak jika rumah terputus bekalan elektrik atau berlakunya banjir.

"Salah satu kaedah boleh digunakan untuk memeriksa ialah menggunakan duit syiling. Jika duit itu jatuh ke bawah, maksudnya susu itu sudah mencair ketika peti sejuk tidak berfungsi atau rosak.

"Kaedah lain, ibu berkenaan boleh terbalikkan salah satu botol yang mengandungi susu EBM. Jika susu turun ke bawah maknanya ia sudah mencair ketika peti ais tidak berfungsi," katanya.

Tambah pakar itu, andai sudah ada kemungkinan susu mencair dan membeku semula, susu terbabit perlu dibuang mengelak bayi minum susu yang sudah tercemar. Susu yang cair kurang 30 peratus masih boleh dibekukan semula.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Disember 2021 @ 6:40 AM