MAKANAN popular tempatan seperti nasi lemak kini sudah mempunyai maklumat GI hasil usaha lima saintis Malaysia dan Singapura.
MAKANAN popular tempatan seperti nasi lemak kini sudah mempunyai maklumat GI hasil usaha lima saintis Malaysia dan Singapura.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Anda baru hendak menjamah nasi lemak dan pau kacang merah kegemaran, tetapi tiba-tiba terlintas mengenai kandungan Indeks Glisemik (GI) serta pengaruhnya terhadap tahap gula dalam darah.

"Apa agaknya GI untuk nasi lemak atau pau kacang merah ya? Anda mula tertanya-tanya dan segera mencari maklumat menerusi internet, namun tiada info yang ditemui.

Itu cabaran masyarakat rantau Asia hadapi, berbeza keadaannya apabila kita mencari maklumat GI makanan barat seperti 'shortcake' strawberi yang menyediakan banyak maklumat termasuk pelbagai versi masakan rendah kandungan GI.

Untuk itu, satu usaha sama yang baru-baru ini dimeterai antara dua institusi dari Malaysia dan Singapura bagi mencarta GI makanan Asia.

Ia membabitkan lima saintis dari Pusat Pemakanan dan Kesihatan Transformatif (CTNH) International Medical University (IMU) dan A-Star Singapura untuk bekerjasama bagi mengumpul ringkasan GI makanan tempatan sejak dua tahun lalu.

Pasukan itu diketuai Profesor Dr Jeyakumar Henry, seorang penasihat kanan Agensi Sains, Teknologi dan Penyelidikan bagi Institut Inovasi Bioteknologi dan Makanan Singapura (SIFBI).

Menurut Dr Jeyakumar, begitu sukar sekali untuk mendapatkan akses kepada nilai GI bagi makanan Asia dan makanan bukan dari barat kerana tiada langsung pangkalan datanya manakala pangkalan data antarabangsa pula tidak memberikan perhatian kepada rantau ini.

"Saya memulakan kerja dalam GI ini sejak 25 tahun lalu ketika di United Kingdom, apabila berpindah ke Singapura pada 2011, saya menjadi begitu peka akan kurangnya nilai GI untuk makanan Asia dan makanan bukan dari barat.

"Bersama pasukan, kami berjaya mengumpulkan satu senarai yang mengandungi 940 makanan dari 16 negara Asia dan Asia Tengah termasuk Malaysia, Singapura, Thailand, Taiwan, Hong Kong, India, Sri Lanka, Emiriah Arab Bersatu dan Arab Saudi.

"Termasuk dalam senarai itu adalah hidangan popular masyarakat setempat seperti nasi lemak, pau kacang merah, kek sifon dan banyak lagi," katanya.

Dr Sangeetha Shyam dari IMU-CTNH berkata, GI adalah nombor yang memberi indikasi kepada kualiti karbohidrat dalam makanan, semakin tinggi GI dalam sesuatu makanan, semakin tinggi dan cepat naiknya tahap gula dalam darah apabila ia dimakan.

Satu-satu makanan dikategorikan sebagai mempunyai GI yang tinggi apabila nilai GInya 70 dan ke atas.

Kata Dr Sangeetha, makanan dengan nilai GI 56 hingga 69 pula adalah dalam kategori sederhana, manakala makanan dengan nilai GI 55 dan ke bawah dalam kategori GI rendah.

"Sebagai contoh, GI roti jala dan kari ayam adalah 81, kek sifon pula 60 dan GI tembikai kuning adalah 47.

"Penting bagi pengguna untuk mengetahui nombor ini bagi memudahkan mereka membuat pilihan bermaklumat terutama bagi mereka yang menjaga berat badan atau mahu mengawal penyakit kencing manis (diabetes)," katanya.

Jelas Dr Sangeetha lagi, ia bukan satu keperluan dan boleh menjadi berbahaya apabila pengambilan karbohidrat dihentikan kerana bukti semasa dan konsensus umum menyatakan bahawa diet tinggi dan rendah karbohidrat meningkatkan kematian.

Kata beliau, diet keto atau rendah karbohidrat dilihat sebagai satu eksperimen dan kurang bukti dari segi keselamatan dalam jangka panjang.

Kata Dr Sangeetha, keseimbangan yang bagus adalah apabila karbohidrat menyediakan kira-kira separuh daripada keperluan tenaga.

FENOTIP orang Asia dikategorikan sebagai TOFI iaitu kurus di luar, gemuk di dalam (thin outside, fat inside).
FENOTIP orang Asia dikategorikan sebagai TOFI iaitu kurus di luar, gemuk di dalam (thin outside, fat inside).

Katanya, diet orang Asia agak tinggi kandungan karbohidratnya iaitu 50 ke 80 peratus tenaga dalam diet biasa masyarakat Asia datangnya dari karbohidrat berbanding diet masyarakat barat yang lebih cenderung kepada pengambilan protein.

"Namun, jika mengurangkan karbohidrat secara mendadak atau menghentikannya terus bermakna hidangan kita akan ada sedikit atau tiada langsung makanan ruji dan barangkali akan menjadikan diet kita lebih mahal.

"Diet yang rendah karbohidrat sebegitu kurang sesuai dan kosnya juga tidak berpatutan, apa yang lebih penting serta perlu diberi perhatian adalah jenis karbohidrat yang dimakan.

"Di sini GI memainkan peranan penting kerana ia memudahkan kita memilih jenis karbohidrat berdasarkan keperluan dan kualiti iaitu makanan rendah GI, berbanding memberi fokus kepada kuantiti semata-mata," katanya.

Dalam pada itu, meskipun kita mampu memilih karbohidrat lebih berkualiti, tetapi ada beberapa faktor lain yang mempengaruhi tahap glukosa dalam darah yang kita tidak boleh ubah iaitu fenotip.

Fenotip mengkategorikan manusia di bawah ciri-ciri yang dapat dilihat dan diamati termasuk tingkah laku, warna, bentuk dan saiz fizikal.

Sementara itu, Profesor Pemakanan dan Dietitik, IMU-CTNH, Profesor Winnie Chee Siew Swee berkata, fenotip orang Asia dikategorikan sebagai TOFI iaitu kurus di luar, gemuk di dalam (thin outside, fat inside).

Ia bermakna, lemak badan orang Asia lebih tinggi berbanding orang Kaukasia (berkulit putih) walaupun indeks massa tubuh (BMI) mereka adalah sama.

"Salah satu akibatnya ialah kita mendapat penyakit kronik iaitu diabetes pada BMI yang lebih rendah.

"Fenotip kita turut mempengaruhi cara tubuh kita menguraikan gula, berbanding orang Kaukasia, orang Asia menghasilkan tindak balas glukosa darah yang tinggi terhadap jumlah karbohidrat yang sama," katanya.

Kata Profesor Winnie lagi, semua faktor itu menunjukkan mengapa makanan dengan GI lebih rendah begitu penting kepada rakyat Malaysia.

"Gaya hidup kita lebih banyak duduk setempat berbanding masyarakat barat, selain itu waktu bekerja kita juga lebih panjang, masalah keselamatan, iklim yang panas dan lembap dan masyarakat kita juga mempunyai budaya malas bersenam.

"Ini semua boleh menyumbang kepada kadar obesiti dan diabetes yang tinggi dalam masyarakat kita," katanya.

Selain menolong individu membuat pilihan yang lebih baik, adalah diharapkan ringkasan itu dapat membantu usaha pemegang taruh utama dalam bidang pengurusan berat badan dan diabetes, termasuk pakar diet, pakar pemakanan, doktor keluarga dan umum serta pakar endokrinologi atau pakar diabetik; termasuk industri makanan yang bermatlamat untuk menyediakan pilihan makanan rendah GI yang lebih sihat.

Buat masa ini, 70 daripada 940 makanan dalam senarai adalah dari Malaysia dan biarpun ia mewakili hanya sebahagian kecil makanan kita, namun masih tetap tersenarai makanan karbohidrat ruji yang dimakan masyarakat negara ini.

Tidak dinafikan masih banyak yang perlu dilakukan, justeru CTNH merancang untuk mengetuai usaha menganalisis makanan dari semua negeri dalam Malaysia.

Masakan tradisional Asia memberi kita banyak rempah-ratus dan perasa seperti halba, kulit kayu manis, halia, bawang putih, cuka dan ramuan herba lain.

Semua diketahui mampu merendahkan tindak balas gula dalam darah dan potensi dalam eksperimen dengan bahan-bahan itu adalah besar.

Namun, berita baik untuk rakyat Malaysia yang sukakan makanan: bahan-bahan pelengkap seperti rempah-ratus, ia tidak termasuk dalam jadual GI kerana kandungan karbohidrat yang sangat sedikit.

"Apapun, dengan mengawal saiz porsi hidangan (suku protein, suku karbohidrat, separuh sayur dan buah) dan memberi perhatian kepada bagaimana mahu menggabungkan versi GI tinggi dengan makanan rendah GI, anda masih boleh menikmati hidangan Malaysia yang enak," kata Profesor Winnie.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 7:00 AM