KELAS teori dan praktikal untuk melahirkan PBT berkualiti.
KELAS teori dan praktikal untuk melahirkan PBT berkualiti.
Muhamaad Razis Ismail


PANDEMIK Covid-19 yang melanda negara sejak penghujung tahun 2019, banyak mengubah cara kita menjalani kehidupan seharian kepada norma baharu.

Jika dahulu, untuk mendapatkan rawatan kesihatan dan kecantikan, ramai yang sanggup pergi ke spa namun kini tidak lagi.

Seiring dengan norma baharu, ramai yang lebih selesa untuk mendapatkan rawatan di rumah bagi mengurangkan risiko penularan pandemik.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Lawwa.Asia, Dr Nazlisyah Nadzaruddin atau lebih dikenali sebagai Che Nazz, pandemik Covid-19, turut membawa hikmah kepada penyedia perkhidmatan kecantikan dan kesihatan ke rumah.

Katanya, biarpun operasi perniagaan terjejas berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kini mereka kembali bangkit selepas dibenarkan beroperasi.

"Sebagai inisiatif syarikat, kami menubuhkan Program Komuniti Keusahawanan Kecantikan Bergerak Norma Baharu secara digital bagi melancarkan operasi perniagaan berkonsepkan Ekonomi-Gig.

TIDAK lokek berkongsi ilmu.
TIDAK lokek berkongsi ilmu.

"Kini zaman sudah berubah, apabila ramai pengguna lebih selesa untuk mendapatkan rawatan kecantikan dan kesihatan tanpa perlu keluar dari rumah.

"Menyedari keperluan itu, kami nampak peluang dari impak pandemik Covid-19 dengan membawa perkhidmatan terus ke kediaman mereka menerusi aplikasi Lawwa.Asia," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, idea untuk menubuhkan Lawwa.Asia tercetus apabila melihat ramai pengusaha perniagaan spa bergerak berdepan masalah untuk menguruskan perniagaan.

"Rata-rata mereka mengalami masalah pemasaran kerana terpaksa melakukan banyak perkara dalam satu masa sehingga perniagaan terjejas.

PERKHIDMATAN penjagaan berpantang mendapat sambutan menggalakkan.
PERKHIDMATAN penjagaan berpantang mendapat sambutan menggalakkan.

PERKHIDMATAN merias kuku.
PERKHIDMATAN merias kuku.

"Berdasarkan pengalaman sedia ada, saya nampak ini adalah satu peluang untuk membantu mereka yang berkemahiran untuk menjana pendapatan dengan lebih sistematik," katanya.

Mengulas lanjut, sehingga kini, terdapat 230 jurupulih kecantikan peribadi (PBT) di Lawwa.Asia yang terdiri dalam kalangan ibu tunggal, B40 dan graduan lepasan universiti.

"Kita cuba bantu mereka keluar kemelut kesusahan dengan menyediakan sistem sokongan untuk menjana pendapatan melalui bidang kecantikan," katanya.

Jelasnya, bagi melahirkan PBT berkualiti, pihaknya menjalankan sesi temuduga dan menyediakan kursus latihan.

"Kita mahu melahirkan ahli terapi yang terlatih, berkemahiran dan berkelayakan untuk menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan," katanya.

Katanya, seiring perkembangan teknologi, pihaknya membawa inovasi dalam industri kecantikan dengan menyediakan aplikasi untuk kemudahan pelanggan.

MAHU melahirkan lebih ramai jurupulih kecantikan peribadi.
MAHU melahirkan lebih ramai jurupulih kecantikan peribadi.

"Pengguna hanya perlu membuat tempahan di hujung jari dan perkhidmatan akan terus ke tempat mereka," katanya.

Nazlisyah berkata, kini mereka beroperasi di beberapa negeri iaitu Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Johor, Perak dan Pahang.

"Insya-Allah pada masa hadapan kita akan perluaskan perkhidmatan ke seluruh negara.

"Pada masa sama, kita juga berhasrat untuk bekerjasama dengan pengusaha salon, spa dan hotel," katanya.

Layari www.lawwa.asia atau Facebook Lawwa.asia untuk sebarang keterangan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Disember 2021 @ 6:11 AM