SENTUHAN magikal ala Cinderella daripada Celest Thoi.
SENTUHAN magikal ala Cinderella daripada Celest Thoi.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Puteri dan heroin dalam animasi kartun Disney seperti Cinderella, Anna dan Elsa, Moana, Rapunzel, Mulan serta Jasmine sememangnya menjadi kegemaran ramai khususnya kanak-kanak.

Watak mereka yang berani dan baik hati turut menjadi inspirasi untuk masyarakat di alam nyata.

Justeru, sebagai sebahagian daripada Sambutan Puteri Terunggul di Malaysia (Ultimate Princess Celebration in Malaysia), Disney mengumumkan lapan pereka tempatan bekerjasama untuk menghasilkan koleksi menarik yang diinspirasikan watak heroin Disney kegemaran masing-masing.

Lapan pereka berkenaan terdiri daripada Alia Bastamam, Celest Thoi, Fiziwoo, Izrin Ismail (Innai Red), Khoon Hooi, Melinda Looi, Nurul Zulkifli (Mimpikita) dan Leslie Variyan (Variante).

Mereka menghasilkan 12 rekaan istimewa diinspirasikan watak heroin itu yang terkenal dengan semangat keberanian, keluhuran dan kebaikan hati.

Watak Mulan yang gagah berani misalnya diterjemahkan Melinda dalam rekaan sepasang pakaian unik.

WATAK Elsa menjadi pilihan ilham pereka terkenal, Melinda Looi.
WATAK Elsa menjadi pilihan ilham pereka terkenal, Melinda Looi.

Penampilan Cinderella yang penuh magikal dan menawan pula menjadi pilihan Celest dalam menghasilkan gaun malam menarik.

Apa yang istimewa, dengan sokongan Penaung Diraja Make-A-Wish Malaysia,

Yang Amat Mulia Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah, semua rekaan itu akan dilelong pada Disember ini.

Hasil daripada lelongan itu akan disalurkan kepada Make-A-Wish Malaysia.

INSPIRASI watak Moana daripada Izrin Ismail (Innai Red).
INSPIRASI watak Moana daripada Izrin Ismail (Innai Red).

Naib Presiden merangkap Pengurus Besar Syarikat Walt Disney bagi Produk Pengguna Asia Tenggara, India dan MENA, Dan Dossa berkata, adalah mengagumkan apabila melihat 'Ultimate Princess Celebration' yang meraikan kebaikan dan keberanian watak hero puteri Disney berjaya menyatukan serta memberi inspirasi kepada nama besar dalam industri fesyen Malaysia.

"Usaha murni itu dengan sokongan Tengku Zatashah sememangnya mampu memberi manfaat yang besar," katanya.

Dalam pada itu, Tengku Zatashah berkata, The Ultimate Princess Celebration sentiasa dekat di hati kerana ia benar-benar merangkumi nilai yang dipercayai iaitu mencari kekuatan dalam diri, kekal tidak gentar dalam menghadapi kesukaran dan bersikap baik dalam pemikiran, perkataan serta perbuatan.

GAYA ala watak Jasmine daripada Nurul Zulkifli (Mimpikita).
GAYA ala watak Jasmine daripada Nurul Zulkifli (Mimpikita).

"Ramai di antara kita dibesarkan dengan kisah puteri Disney dan ia masih mempunyai pengaruh hingga ke hari ini.

"Cerita mereka yang boleh dikaitkan secara universal memberi inspirasi kepada masyarakat pelbagai latar belakang untuk menjadi diri mereka sendiri.

"Ia turut memberi impak kepada dunia melalui tindakan besar dan kecil, sesuatu yang saya cita-citakan untuk diri sendiri melalui tanggungjawab di Make-A-Wish Malaysia," katanya.

Sementara itu, di peringkat global, Disney bekerjasama dengan Make-A-Wish sudah lebih 40 tahun bagi membantu merealisasikan harapan lebih 145,000 kanak-kanak yang mengidap penyakit kritikal di seluruh dunia.

PEREKA terkenal Khoon Hooi, menampilkan rekaan istimewa yang diinspirasikan oleh watak Rapunzel.
PEREKA terkenal Khoon Hooi, menampilkan rekaan istimewa yang diinspirasikan oleh watak Rapunzel.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 7:00 AM