HASIL keluaran produk makanan Kemboja yang berpotensi dikomersialkan di pasaran negara ini.
HASIL keluaran produk makanan Kemboja yang berpotensi dikomersialkan di pasaran negara ini.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Sebut saja mengenai Kemboja, pasti perkara yang terbayang di fikiran adalah keindahan pemandangan alam semula jadi dan keunikan tapak arkeologinya, Angkor Wat.

Terletak di utara semenanjung Indochina, Kemboja yang bersempadan dengan Thailand, Laos dan Vietnam sememangnya memiliki keunikan tersendiri.

Selain kaya dengan budaya, Kemboja juga sebenarnya memiliki pelbagai hidangan menarik untuk dicuba.

Menurut Duta Kemboja ke Malaysia, Cheuy Vichet , cita rasa Kemboja sudah wujud sejak ribuan tahun dahulu seiring dengan sejarah negara itu terutama pada zaman kegemilangan Empayar Khmer.

Kata Cheuy, makanan sememangnya memainkan peranan penting dan menjadi sebahagian daripada budaya serta tradisi masyarakat Kemboja.

Katanya, hidangan tradisi diturunkan kepada generasi demi generasi bagi menyerlahkan lagi identiti budaya dan identiti Khmer.

"Negara kami memiliki banyak sumber alam semula jadi yang mudah didapati dan ia secara tidak langsung dapat menghasilkan pelbagai masakan enak.

"Antaranya Num Banh Chok yang kaya dengan bauan serai, pes ikan 'prahok' daripada ikan segar Tasik Tonle Sap dan Sungai Mekong serta banyak lagi.

ANTARA hidangan tradisi Kemboja yang enak.
ANTARA hidangan tradisi Kemboja yang enak.

"Selain itu, kami juga mengeluarkan pelbagai produk pertanian antaranya lada hitam, gula Melaka serta beras jasmin, iaitu beras wangi yang memenangi pelbagai anugerah di peringkat antarabangsa," katanya ketika berucap pada acara Citarasa Angkor di ibu negara, baru-baru ini.

Citarasa Angkor dianjurkan Kedutaan Kemboja ke Malaysia sempena sambutan Kemerdekaan Kemboja ke-68 dan Sidang Kemuncak Mesyuarat Asia-Eropah di Phnom Penh minggu ini.

Hadir sama pada acara itu, isteri beliau, Lokchumteav Chan Somphosneary,

Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA) , Datuk Dr Radzali Hassan, Presiden Persatuan Rangtaian Peruncit Malaysia (MRCA), Shirley Tay, Presiden Persatuan SME Malaysia, Ding Hong Sing dan Ketua Pegawai Eksekutif GenYouth Sendirian Berhad.

Pada majlis itu, pihak kerajaan Kemboja turut menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan MRCA, MFA, Persatuan SME Malaysia dan GenYouth Sendirian Berhad.

Cheuy berkata, pihaknya turut bersedia bekerjasama dengan mana-mana restoran yang berminat menyediakan hidangan negara itu dalam menu mereka.

"Untuk itu, pihak kedutaan (Kemboja) bersedia menawarkan khidmat rundingan dan kemudahan merangkumi skop MoU terbabit.

"Semua usaha itu diharapkan dapat membantu mempromosikan lagi keunikan dan keenakan masakan Kemboja kepada masyarakat Malaysia," katanya.

VICHET (tengah) pada majlis menandatangani MoU antara kerajaan Kemboja dengan  MRCA, MFA, Persatuan SME Malaysia dan GenYouth Sendirian Berhad.
VICHET (tengah) pada majlis menandatangani MoU antara kerajaan Kemboja dengan MRCA, MFA, Persatuan SME Malaysia dan GenYouth Sendirian Berhad.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 6:37 AM