KEMURUNGAN dan stres adalah masalah dihadapi wanita ketika menjaga bayi mereka.
KEMURUNGAN dan stres adalah masalah dihadapi wanita ketika menjaga bayi mereka.
Nurul Husna Mahmud


ANTARA isu menarik perhatian penulis ketika melewati satu perkongsian wanita yang juga ibu kepada cahaya matanya mengakui trauma untuk memiliki anak lagi.

Menurut wanita terbabit, perkongsian itu bertujuan untuk meluahkan perasaan betapa 'lelahnya' menyusukan bayi dengan susu badan sehingga mengundang tekanan pada dirinya.

Jelasnya dia bukan berniat mementing diri sendiri tetapi setiap hari pengalaman menyusukan anak dikatakan terlalu 'perit' dan pernah terfikir enggan memiliki cahaya mata lagi kerana tidak mampu melalui pengalaman sama.

Katanya, setiap kali dia berusaha untuk merealisasikan tindakan itu kerana tanggungjawab, setiap kali itu jugalah dia mula rasa tertekan dan timbul 'hasutan' untuk mencederakan anak yang ketika itu sudah berusia lima bulan.

Apabila menyatakan hasrat ingin menghentian pemberian susu badan, suami dan ahli keluarga sebelah mentua pula tidak setuju. Mereka mendesak supaya wanita itu berhenti kerja untuk menguruskan rumah tangga dan anak sepenuh masa. Keadaan Itu menyebabkannya menjadi bertambah tertekan dan murung.

Hasrat berhenti menyusu badan menerusi platform media sosial juga mengundang kecaman ramai malah menuduhnya tidak memikirkan kesihatan bayi dan hanya mahu hidup bersenang lenang.

Ramai berpendapat ia satu tindakan yang kurang wajar. Sedangkan wanita itu mengakui setiap hari tertekan dan berasa marah bayi yang disusukan.

Katanya dia tidak lagi berasa seronok dengan pengalaman menjadi ibu kerana semua itu terlalu memenatkan dan hilang kualiti hidup. Sekarang hubungan wanita itu dan suami juga terganggu kerana isu berkenaan.

Kaunselor Laktasi Bertauliah, Noor Amalina Mohayidin, tidak menafikan penyusuan susu ibu kepada bayi adalah satu proses yang mencabar terutama bagi wanita yang menyusukan anak pertama.

"Memang diakui menyusukan bayi dengan susu badan bukanlah satu tugas mudah dan mempunyai pelbagai cabaran. Saya sendiri tidak terlepas menghadapinya ketika menyusu anak pertama dahulu.

"Bagi ibu yang berasa diri mereka tertekan, murung, trauma atau terlalu penat, banyak faktor menyumbang terhadap masalah terbabit. Kadang-kala menyusu badan hanyalah pencetus dan menjadikan keadaan emosi ibu bertambah buruk.

"Hal rumah tangga bukan tugas si ibu seorang diri dan perlukan sokongan terutama pasangan kerana jika semua itu dibebankan kepada si ibu, mudah jadi penat.

"Ditambah pula keadaan ibu tadi bekerja, persekitaran tempat kerja yang tidak menyokong mereka mengepam dan sebagainya, boleh menjadikan ia penyumbang kepada ibu yang menyusu badan," katanya.

Dalam aspek ini, tindakan wajar wanita terbabit ialah dapatkan sokongan pasangan dengan meluahkan rasa penat atau bantuan tugas mengurus rumah tangga.

DAPATKAN sokongan daripada pakar atau mengunjungi kelas dianjurkan khas untuk golongan ibu.
DAPATKAN sokongan daripada pakar atau mengunjungi kelas dianjurkan khas untuk golongan ibu.

Kata pakar berusia 33 tahun itu, rata-rata wanita keberatan berkongsi atau meluahkan rasa penat mereka dalam membesarkan anak. Apabila tidak tertanggung dan masalah itu menjadi rumit barulah dikongsi.

"Penting bagi ibu yang melalui proses penyusuan badan yang sukar untuk luahkan kepenatan dan tekanan kepada suami supaya dapat membantu. Jika masih tidak memadai dan tidak mencapai keperluan atau kehendak wanita terbabit, dapatkan sokongan daripada kaunselor laktasi berdekatan.

"Sekarang ini banyak kumpulan sokongan. Bagi ibu yang pertama kali mendapat cahaya mata, sebaiknya dapatkan sokongan seawal usia mengandung untuk mendapatkan teknik dan ilmu yang betul.

"Selain itu dapatkan juga sokongan keluarga dan orang sekeliling yang positif untuk membantu anda mengharungi detik sukar ketika menyusukan bayi. Semua ini dapat membantu ibu yang menyusukan anak mengurus emosi sekali gus menjadikan tempoh penyusuan itu suatu yang menyeronokkan," katanya.

Sementara itu, Kaunselor KS Consultancy & Training Noraniza Anwar berkata, ibu itu perlu menyayangi dan menjaga diri sebelum menjaga orang lain termasuk bayinya.

"Setiap wanita terutama ibu memiliki cara yang terbaik dalam menguruskan keluarga dan mereka tidak perlu meletakkan apa yang difikirkan betul atau tidak pandangan orang luar dalam menilai diri mereka.

"Mereka tahu kelebihan dan had diri. Jika mereka ini menguruskan keluarga atas dasar pandangan atau memuaskan orang lain, itu membuatkan mereka penat dan stres.

"Kongsikan juga tanggungjawab hal rumah tangga dengan suami. Suami yang baik boleh mententeram dan membantu meringankan tugas atau bebanan si ibu. Ibu akan berasa dipedulikan dan disayangi.

"Insya-Allah apabila keadaan itu dapat difahami, tempoh menjaga termasuk menyusukan bayi menjadi lebih mudah dan menyenangkan," katanya.

Saranan Noraniza, selain perlu mengikuti sesi penyembuhan terapeutik iaitu untuk meredakan tekanan emosi atau psikologi, si ibu juga perlu menemui kaunselor laktasi supaya dapat melihat kaedah terbaik dalam menyusukan anak.

"Bertemu mereka yang pakar antara langkah terbaik dalam mendapat penyelesaian atau membuat keputusan dalam hal penjagaan anak atau rumah tangga.

"Elakkan hanya merujuk kepada platform media sosial kerana ada kalanya komen atau maklum balas diterima hanya mengundang permasalahan lebih rumit. Pastikan sumber pandangan atau nasihat diterima ada kredibiliti dan raikan pandangan pelbagai bagi mengelak diri tertekan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 6:50 AM