DR Sharon ketika berada di bilik bedah.
DR Sharon ketika berada di bilik bedah.
Muhamaad Razis Ismail

Neurologi adalah cabang perubatan yang memberi tumpuan kepada diagnosis dan rawatan penyakit dan gangguan otak serta sistem saraf.

Pakar bedah otak dan saraf adalah doktor yang merawat pesakit menderita masalah neurologi yang memerlukan rawatan pembedahan sama ada di otak atau saraf tulang belakang.

Spektrum bidang ini sangat luas kerana ia membabitkan pembedahan mengeluarkan tumor di otak dan tulang belakang, pembedahan otak dan tulang belakang disebabkan trauma serta pembedahan untuk mengawal penyakit degeneratif seperti Parkinson.

Kerjaya ini menuntut kemahiran, pengetahuan dan fokus yang tinggi kerana perlu menjalankan pembedahan yang rumit dan berisiko untuk menyelamatkan pesakit.

Ketahanan fizikal dan mental amat diperlukan kerana kadangkala perlu menjalankan pembedahan dalam tempoh yang panjang.

Jadi, tidak hairan sebelum ini ramai pakar bedah saraf terdiri dalam kalangan doktor lelaki. Namun, kini semakin ramai wanita mula terbabit dalam bidang ini.

Antara mereka yang cukup disegani di negara ini adalah Dr Sharon Casilda Theophilus yang juga pakar bedah otak dan saraf wanita pertama negara, Dr Risdhawati Hassan dan Dr Cheah Pooi Pooi.

Mereka turut aktif menggerakkan Woman in Neurosurgery (WIN) untuk menyokong wanita yang menceburi bidang ini.

Dr Sharon Theophilus berkata, minat mendalam terhadap bidang neurologi dan pembedahan mendorongnya untuk mengejar cita-citanya menjadi pakar bedah saraf.

DR Sharon (dua dari kiri) turut menjadi tenaga pengajar di Monash University Malaysia.
DR Sharon (dua dari kiri) turut menjadi tenaga pengajar di Monash University Malaysia.

"Apabila mula menjalankan pembedahan semua masalah dan kebimbangan hilang kerana fokus saya hanya kepada pesakit.

"Saya sangat sukakan bidang ini kerana pembedahan otak dan saraf memberi keupayaan kepada saya merawat pesakit menggunakan tangan dan kemahiran selain mencabar diri ketika berdepan kes yang berbeza pada setiap hari," katanya.

Menurutnya, kerjaya ini menuntut ketahanan fizikal dan mental yang tinggi kerana perlu berdepan dengan tempoh pembedahan yang panjang.

"Setiap pembedahan adalah berbeza dan saya perlu sentiasa bersedia. Baru-baru ini saya berjaya menjalankan pembedahan memindahkan tumor di otak yang mengambil masa 24 jam.

"Bagi meningkatkan stamina, saya perlu sentiasa bersenam untuk kekal cergas dan fokus," katanya ketika dihubungi.

MENUNGGANG kuda antara aktivti Dr Sharon untuk kekal cergas.
MENUNGGANG kuda antara aktivti Dr Sharon untuk kekal cergas.

Beliau berkata, apabila memasuki bidang ini pada September 2000, dia langsung tidak memikirkan ingin menjadi pakar bedah otak dan saraf wanita pertama di negara ini.

"Bagi saya, pakar bedah otak dan saraf yang baik tidak dinilai menerusi jantina, tapi mengikut kemampuan diri.

"Pada asasnya, jika kita sanggup bekerja keras, komited dan bekerjasama, jantina tidak lagi akan menjadi faktor penentu," katanya yang juga Pengerusi WIN Asian Congress of Neurological Surgeons(ACNS).

Bagi Dr Risdhawati, kerjaya ini menuntut komitmen tinggi kerana pembedahan elektif neurosurgeri biasanya mengambil masa yang lama sehingga 10 atau 12 jam.

"Sepanjang tempoh itu doktor memerlukan kekuatan mental dan fizikal serta fokus yang tinggi untuk mencapai objektif pembedahan dan mengelakkan komplikasi.

"Peralatan pembedahan yang terbaik dan terkini juga sangat membantu kelancaran sesuatu pembedahan," katanya,

DR Risdhawati dan Dr Sharon menyertai Kongres Persekutuan Pakar Bedah Neurologi Sedunia di Beijing, China.
DR Risdhawati dan Dr Sharon menyertai Kongres Persekutuan Pakar Bedah Neurologi Sedunia di Beijing, China.

Sebagai ibu kepada tiga anak, dia perlu bijak membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga.

"Kerjaya ini memerlukan saya berada di hospital dalam tempoh yang lama tanpa mengira waktu. Saya perlu sentiasa bersedia 24 jam setiap hari melainkan ketika saya bercuti.

"Saya bersyukur kerana keluarga yang sangat memahami supaya kehidupan lebih harmoni," katanya.

Sementara itu, Dr Cheah Pooi Pooi berkata, kerjayanya itu memerlukan semangat kerja berpasukan yang tinggi.

"Ia bukan terletak di bahu seorang pakar bedah saraf sahaja. Setiap individu yang berada dalam bilik bedah perlu memainkan peranan dengan bekerjasama sebagai satu pasukan.

"Kejayaan sesuatu pembedahan itu adalah hasil kerjasama daripada pembantu pakar bedah, pakar bius, jururawat dan paramedik," katanya.

Menjadi pakar bedah saraf tiada apa yang lebih menggembirakan apabila melihat pesakit yang dirawat berjaya diselamatkan.

"Ia satu kepuasan yang sukar digambarkan dengan kata-kata apabila pesakit pulih selepas menjalani rawatan," katanya.

DR Cheah bersama ahli keluarganya.
DR Cheah bersama ahli keluarganya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 November 2021 @ 7:00 AM