WARGA emas menerima suntikan dos penggalak vaksin Covid-19.
WARGA emas menerima suntikan dos penggalak vaksin Covid-19.

Bagi menyokong usaha Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Pusat Perubatan Sunway kini menyambung peranan dengan memberi suntikan dos penggalak vaksin Covid-19.

Sebagai permulaan, seramai 1,000 warga emas berusia 85 hingga 100 tahun dijangka menerima dos penggalak di pusat perubatan itu.

Pengarah perubatannya, Dr Seow Vei Ken berkata, pihaknya teruja apabila terpilih sebagai salah satu pusat vaksinasi pertama yang menjadi sebahagian daripada program dos penggalak Covid-19 di Lembah Klang.

"Kami sangat gembira apabila pusat vaksinasi sibuk dengan kehadiran warga emas yang secara sukarela mengambil suntikan penggalak ini.

"Ini adalah langkah terbaik untuk memastikan tahap perlindungan optimum bagi penerima vaksin Covid-19 di Malaysia," katanya.

Sementara itu, Soo Xi Quan, 27, berkata, neneknya, Saw Siew Har, 91, secara sukarela untuk menerima dos penggalak Covid-19 sebagai perlindungan.

"Sebelum ini nenek sudah menerima vaksin Sinovac. Selepas menerima pemberitahuan melalui aplikasi MySejahtera, nenek setuju menerima suntikan dos penggalak," katanya.

Malah, sebelum ini Pusat Perubatan Sunway adalah Zon Pemberian Vaksin (ZPV) fasa satu bagi Program Imunisasi Nasional dan memberikan vaksinasi kepada petugas barisan hadapan meliputi 12 hospital swasta di seluruh Lembah Klang.

Pada fasa dua dan tiga program ini, hospital ini juga dilantik sebagai Pusat Pemberian Vaksin Hospital Swasta (PPVHS) selain turut menjadi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid untuk pemberian vaksin kepada orang awam.

Pada 11 Oktober lalu hospital mula memberikan vaksin kepada remaja berusia 12 hingga 19 tahun.

Sehingga kini, Pusat Perubatan Sunway sudah membekalkan lebih 350,000 dos vaksin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 November 2021 @ 6:35 AM