URUTAN dengan tuala panas bantu aliran darah.
URUTAN dengan tuala panas bantu aliran darah.
Nurul Husna Mahmud


DALAM penjagaan kulit biasanya wanita lebih fokus pada penjagaan bahagian wajah. Sedangkan kesihatan kulit kaki sama penting.

Tindakan mengabaikan rutin penjagaan kesihatan dan kecantikan kaki boleh mengundang masalah kulit mengelupas serta luka yang serius sehingga menjejaskan kualiti hidup individu terutama apabila berada dalam khalayak ramai.

Masalah kulit kaki bermula dengan keadaan kulit kering menjadi kematu dan akhirnya mengelupas sehingga membentuk garisan luka atau 'pecah' yang jelas kelihatan. Keadaan itu membuatkan individu terbabit berasa gelisah.

Sekali gus menyebabkan ada yang tidak berasa selesa atau malu untuk mengenakan selipar. Bagi yang mengenakan kasut, tidak akan berani menanggalkan stokin kerana rupa kaki yang 'buruk.'

Menurut Pengasas Expert Beauty Spa Academy Cheras, Mastura Idris, 33, kulit kaki mengelupas adalah masalah biasa yang sering dihadapi kebanyakan orang terutama wanita.

Rupa kaki tidak menarik disusuli rasa pedih dan tidak selesa turut menjejaskan kecantikan serta seri wajah seseorang itu.

"Rasa tidak selesa pada kaki boleh membuatkan air muka seseorang itu menjadi suram. Mereka juga tidak yakin dengan penampilan diri kerana memikirkan kemungkinan orang lain boleh nampak keadaan kaki yang 'buruk.'

"Biasanya yang datang untuk rawatan kulit, saya nasihatkan mereka menjalani rawatan kulit kaki terlebih dahulu sebelum rawatan lain. Ia penting bagi mengembalikan semula keadaan kulit kaki yang kemerah-merahan.

MASTURA turut menerangkan kepentingan penjagaan kulit termasuklah bahagian kaki.
MASTURA turut menerangkan kepentingan penjagaan kulit termasuklah bahagian kaki.

"Kita sarankan mereka ini menyingkirkan kulit kaki yang mati supaya kulit sihat boleh kembali tumbuh. Masalah kulit kaki mengelupas atau pecah sentiasa ada terutama pada wanita kerana kitaran hormon dihadapi setiap bulan," katanya.

Masalah kaki yang sering dihadapi ramai wanita termasuklah kulit kaki kering, kulit kaki kematu dan paling ketara ialah tumit kaki pecah bukan sahaja berkait dengan hal kecantikan malah ia adalah aspek kebersihan individu.

"Kulit kaki yang kering, pecah dan diikuti dengan luka yang bernanah boleh menjadikan bahagian kaki mudah dihinggapi bakteria.

"Ia boleh mengundang kepada masalah kesihatan lain kerana bahagian kaki yang tidak selesa akan mengundang individu itu kerap menyentuh bahagian terbabit.

"Berlakulah pemindahan bakteria pada bahagian lain dan menyebabkan timbulnya penyakit lain. Fikirkan pula situasi semasa yang mana penyebaran seperti Covid-19, individu berkenaan lebih terdedah jika tidak cakna dengan penjagaan kebersihan diri termasuklah kaki," katanya.

Tambah Mastura, masalah kaki mengelupas termasuklah tumit pecah boleh berlaku seawal usia 20-an. Jika diabaikan boleh menjadi lebih serius pada peringkat usia seterusnya.

"Masalah kulit kaki mengelupas dan tumit kaki pecah boleh jadi semakin serius apabila mereka tidak ambil langkah penjagaan lain antaranya pemakaian kasut dan stokin yang sesuai dengan kaki masing-masing.

"Selain itu pemakaian losyen pada bahagian kaki juga penting supaya lembap dan sihat. Kulit yang terlalu kering mudah koyak atau luka

"Ketika ini masalah kulit kaki mengelupas sudah berlaku seawal usia 16 tahun. Sebagai perunding kecantikan berpengalaman saya cuba teliti semua aspek termasuklah permakanan dalam membantu menangani isu serius membabitkan penjagaan kesihatan kaki," katanya.

MASUKKAN garam terapi.
MASUKKAN garam terapi.

BANCUHAN pupur juga menggunakan minyak dan susu.
BANCUHAN pupur juga menggunakan minyak dan susu.

Tip mudah, kata Mastura, individu terbabit boleh melakukan proses rutin penjagaan kaki dari rumah menggunakan apa yang ada di sekitar mereka.

"Antara yang boleh lakukan ialah menggosok kaki dengan tomato yang disejukkan terlebih dahulu dalam peti ais.

"Belah dua dan gosokkan ke bahagian tapak sehinggalah ke lutut. Biarkan kering sebentar kemudian bilas. Boleh gunakan cara sama menggunakan aloe vera.

"Bagi mereka yang tinggal berdekatan pantai, boleh gosokkan kaki dalam pasir untuk menyingkirkan kulit mati. Bilas bersih dan pakai losyen untuk beri kelembapan," katanya.

Sementara itu, Mastura turut berkongsi langkah atau rutin penjagaan kaki yang boleh dilakukan di rumah.

1. Sediakan air panas dan rendam kaki ke dalamnya.

2. Masukkan bahan untuk perawatan kulit kaki seperti ekstrak bunga, susu dan garam terapi.

3. Gosokkan bahan tadi menggunakan kayu atau berus khas untuk singkirkan kulit mati. Gosok bermula dari tapak kaki hingga ke lutut.

4. Sapukan pupur kaki (Mastura menggunakan pupur ekstrak ros dan campuran minyak argan). Ia untuk menyuntik kesegaran aroma bunga pada kulit selain melembutkan kulit. Seperti langkah ketiga, proses lumur pupur dari tapak kaki hingga ke lutut.

5. Bilas dengan tuala panas (tuala direndam dengan air panas terlebih dahulu sebelum dibilas sedikit). Lakukan urutan untuk bantu lancarkan perjalanan darah pada bahagian kaki.

Ulang rutin ini setiap tiga minggu sekali untuk dapatkan kulit cantik. Perlu juga pengambilan air mencukupi selain diet sihat termasuklah makanan tinggi antioksida dan suplemen penting untuk kulit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Oktober 2021 @ 7:00 AM