MENYEDIAKAN ruang dan peluang kepada yang berminat dengan aktiviti bertukang
MENYEDIAKAN ruang dan peluang kepada yang berminat dengan aktiviti bertukang
Muhamaad Razis Ismail


SEJAK kecil, tidak pernah terlintas di fikirannya untuk menjadi seorang tukang kayu.

Aida Ihsani, 31, yang oernah bercita-cita menjadi seorang peguam kemudian melanjutkan pengajian dalam bidang perundangan di universiti.

Bagaimanapun selepas menamatkan pengajian, dia mengambil keputusan untuk bekerja dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebelum tergerak hati menjadi tukang kayu.

Anak keempat daripada lapan beradik ini berjaya membuktikan dia mampu menjadi tukang kayu biarpun tidak mempunyai latar belakang dalam bidang yang didominasi lelaki.

Malah, dia juga tidak lokek berkongsi ilmu dengan mengadakan pelbagai bengkel pertukangan termasuk khas untuk wanita.

Aida berkata, semuanya bermula enam tahun lalu, apabila dia dan suaminya menjadi sukarelawan membina rumah untuk Orang Asli.

Katanya, sejak berkenalan dengan suami, Adi Kamal, dia banyak belajar mengenai ilmu pertukangan.

"Dari situ, saya mula berjinak-jinak dalam bidang pertukangan dan mula belajar secara sendiri menggunakan peralatan pertukangan.

"Saya tidak mendapat latihan formal dalam bidang pertukangan. Semua pengetahuan dan kemahiran dipelajari sendiri," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

PERLU minat dan kesungguhan.
PERLU minat dan kesungguhan.

Menurutnya, selepas terjebak dalam pertukangan kayu, dia memilih untuk terus serius dalam bidang terbabit.

"Menerusi kerjaya ini, saya bukan sahaja dapat membina apa sahaja dengan tangan sendiri malah dapat belajar mengenai kemahiran insaniah.

"Selain itu, ada banyak yang saya boleh pelajari dan minda sentiasa terbuka untuk memikirkan idea kreatif selain berusaha menangani sesuatu cabaran," katanya.

AIDA bersama suami yang banyak memberi tunjuk ajar.
AIDA bersama suami yang banyak memberi tunjuk ajar.

Pada tahun 2016, dia dan suami menubuhkan ADIAIDA di Ara Damansara, Selangor dengan mula membina perabot untuk keluarga dan kawan sebelum menerima tempahan daripada pelanggan.

Awalnya, ramai yang beranggapan dia bertugas sebagai pereka bentuk atau akauntan.

"Mungkin sebab saya berbadan kecil dan ramai anggap kerja pertukangan hanya dijalankan suami sedangkan saya mampu mengangkat kayu, perabot dan mahir menggunakan peralatan pertukangan.

"Persepsi seperti ini disebabkan corak pemikiran masyarakat dan stereotaip bukan sahaja dalam bidang pertukangan tapi bidang lain juga," katanya.

UNIK dan menarik.
UNIK dan menarik.

Sebagai wanita, Aida akui berdepan cabaran dari segi fizikal termasuk mengangkat kayu dan menggunakan mesin gergaji.

"Perkara itu perlu diakui kerana kekuatan lelaki dan wanita adalah berbeza. Namun bagi saya itu bukanlah alasan untuk mengalah.

"Apa yang penting, saya perlu mencari jalan terbaik untuk menangani setiap cabaran yang mendatang," katanya.

Menyedari perkara itu, Aida mengambil inisiatif mengadakan kelas pertukangan khas untuk wanita yang pertama di negara ini pada 2019.

"Saya percaya ramai wanita yang berminat untuk bertukang cuma tiada tempat untuk belajar.

"Oleh itu, saya mengadakan bengkel ini untuk memberi tunjuk ajar bagaimana menggunakan mesin pertukangan dengan selamat dan cara membina sendiri perabot secara lakukan sendiri (DIY)," katanya.

Katanya, sambutan yang diberikan sangat menggalakkan apabila lebih 300 wanita sudah menyertai bengkel ini.

"Peserta terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk kanak-kanak berusia 12 tahun, korporat, suri rumah dan warga emas teruja dengan kemampuan diri apabila dapat menghasilkan sendiri perabot yang diinginkan.

"Saya merancang untuk menghasilkan video DIY sebagai rujukan kepada wanita di rumah ," katanya.

Aida berkata, jantina mahupun umur bukan halangan untuk menceburi bidang pertukangan.

"Sebenarnya wanita boleh melakukan apa jua yang diinginkan asalkan mempunyai kesungguhan dan dedikasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Oktober 2021 @ 7:00 AM